Sunday 26 September 2010

SIFAT-SIFAT MAHMUDAH (TERPUJI)

Sifat Mahmudah Menurut Imam Al-Ghazali:


  1. Taubat
  2. Takut akan Allah SWT
  3. Kasih akan Allah SWT
  4. Zuhud
  5. Sabar
  6. Syukur
  7. Ikhlas dan benar
  8. Tawakal
  9. Reda dengan qadak Allah SWT
  10. Mengingati mati      

Huraian :

Taubat


Keazaman untuk meninggalkan segala kesalahan dan dosa-dosa besar melalui jalan ilmu, penyesalan dan niat (qasad) untuk tidak mengulanginya.

Takut akan Allah SWT


Apabila seseorang Muslim itu mengenali Zat Allah melalui mengenal sifat-sifat Nya, maka jiwanya akan mewarisi perasaan takut terhadap Allah.
Dengan adanya perasaan takut kepada Allah ini, akan membantu seseorang Muslim atau Mukmin itu melipatgandakan amalan soleh dan meninggalkan segala perbuatan yang dimurkai-Nya.


Mahabbah


Kasih akan Allah SWT itu dipuji oleh syarak dan dimuliakan oleh Rasulullah SAW.
Mengasihi Allah dan Rasul melebihi segala yang lain akan melahirkan jiwa insan yang benar-benar cintakan agama dan rela berjuang (berjihad) dan bekorban demi menegakkannya.

Zuhud


Satu corak kehidupan insan Mukmin yang mengekang jiwa daripada segala rupa kesenangan dunia sambil berusaha meninggalkan semua perkara yang tidak baik.

Tanda-Tanda Zuhud

  • Tidak terlalu gembira apabila mendapat sesuatu dan tidak terlalu sedih apabila kehilangan sesuatu
  • Sentiasa memandang sama kepada orang yang memuji dan mencela
  • Sentiasa berasa tenang ketika beribadat dan hati sentiasa terdorong untuk membuat amal taat.

Sabar


Sabar begitu sukar untuk dipraktikkan kecuali orang yang kuat imannya dan tabah menghadapi segala keadaan. Misalnya, sabar atas ketaatan seperti menyerjakan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa dan sebagainya.

Di samping itu, sabar dalam menjauhi maksiat juga diutamakan seperti menjauhi sifat sombong, mengumpat, bercakap yang sia-sia dan lain-lain. Seterusnya, bersabar atas kecelakaan dan musibah yang menimpa seperti penyakit, kemaru, kekurangan makanan dan sebagainya.

Syukur


Syukur itu meliputi ilmu, amalan dan suasana. Ilmu itu adalah dengan mengenal Allah SWT menerusi nikmat-Nya. Amalan adalah dengan melaksanakan tugas yang diamanahkan oleh Allah SWT. Suasana pula ialah menimbulkan kegembiraan atas nikmat yang dikecapi.

Ikhlas dan Benar


Mereka yang sentiasa membersihkan amalannya dinamakan orang yang ikhlas. Untuk mencapai tingkatan ikhlas ini, amat dituntut untuk mematahkan dorongan hawa nafsu dan kasih akan dunia.

Amalan ikhlas dan suci dalam perbuatan, tutur kata dan ibadat akan dapat mendekatkan diri insan kepada Allah SWT.

Hakikat Benar


Lima Cabang Hakikat Benar
  1. Benar dalam menepati janji
  2. Benar dalam perkataan
  3. Benar dalam niat dan kehendak
  4. Benar dalam keazaman
  5. Benar dalam amalan
Justeru itu, benar yang berlandaskan syariat itulah yang hakiki dan bukan benar menurut kaca mata manusia.

Tawakal

Tawakal ialah meletakkan pergantungan hanya pada Allah SWT setelah berazam. Seterunya diikuti dengan usaha.

Reda dengan Qadak Allah SWT

Ia merupakan salah satu daripada sifat-sifat mahmudah. Segala ketentuan Allah sama ada baik ataupun buruk diterima dengan syukur atau sabar oleh insan Mukmin. Tidak ada penyesalan atau keluh kesah menerima apa-apa sahaja ketentuan yang berlaku.

Bukanlah sesuatu yang mudah untuk mencapai maqam atau tingkatan iman yang sebegini tinggi. Namun dengan didikan rohani yang bersungguh, lambat-laun sifat murni ini akan dapat dimiliki juga.

Ingat Mati

Sifat mahmudah yang akhir menrut Imam Al-Ghazali ialah sentiasa mengingati kematian. Terdapat hadis yang diriwayatkan dari Nabi SAW bermaksud:

"Sepintar-pintar manusia ialah orang yang sentiasa ingat pada mati dan sentiasa bersedia menghadapinya, mereka itulah orang yang bijaksana"

Dengan mengingati mati sebagai penyudah kehidupan di dunia ini, insan Mukmin (Mukminah) akan terhindar daripada segala kemungkaran dan mentaati perintah Allah pada setiap masa.


Sumber: Indahnya Hidup Bersyariat

No comments:

Post a Comment

Followers