Sunday 24 June 2012

AZAN



PENGENALAN:


SERUAN PENYATUAN UMMAH


Azan bukan hanya himpunan lafaz-lafaz bahasa Arab yang dilaungkan untuk menyeru orang Islam menunaikan solat. Lebih daripada itu, ia ialah syiar Islam yang menjadi lambang dan simbul kedaulatan Islam dan penganutnya. Di seluruh pelosok dunia yang menerima cahaya Islam, laungan Azan pasti berkumandang lima kali sehari. Selain itu, azan juga adalah medium kesatuan dan keserasian masyarakat Muslim sedunia. Tanpa diikat dengan sempadan geografi, bahasa mahupun warna kulit, azan dilaungkan dengan lafaz yang sama, pada waktu yang sama (mengikut lokasi geografi masing-masing) dan untuk mengagungkan Tuhan Yang Satu.

KEISTIMEWAAN AZAN

Istimewanya azan di mata dunia adalah kerana ia menggambarkan kekuatan, kesepaduan dan kesucian Islam. Setiap lafaz yang tersusun menyimoan rahsia kekuatan akidah kepada Allah, motivasi kejayaan orang Islam, keutamaan Solat dan penyaksian keesaan Allah serta perakuan kenabian Muhammad SAW.

Bagi yang memusuhi Islam, azan ialah "senjata" menggerunkan dan amat ditakuti. Justeru, tidak hairanlah azan diharamkan di negara-negara "fobia Islam", tidak dibenarkan dilaungkan azan dengan menggunakan pembesar suara, dan didakwa mengganggu keamanan masyarakat setempat atau kononnya menyumbang ke arah pencemaran bunyi.

KEBESARAN AZAN

Kebesaran azan di sisi Allah dapat dilihat dengan ganjaran Allah SWT yang dijanjikan kepada para muazin atau bilal yang melaungkan azan. Mereka dijanjikan keampunan dosa-dosa dan imbuhan pahala yang besar.

Tambahan pula, pensyariatan azan ialah keistimewaan yang hanya dikurniakan kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai tanda rahmat dan kasih sayang Allah kepada kita semua.

"SEJARAH AZAN"

Azan mula diamalkan oleh orang Islam pada tahun pertama Hijrah. Dalam hadis yang diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn Umar r.a. : Pada mulanya ketika orang Islam berhijrah ke Madinah, mereka berkumpul dan menunggu untuk mengerjakan solat. Ketika itu, tidak ada orang yang menyeru (melaungkan azan) untuk menunaikannya. Pada suatu hari, Nabi SAW telah mengumpulkan para sahabat untuk bermesyuarat tentang cara untuk memberitahu masuknya waktu solat serta mengajak orang ramai agar ke masjid melakukan solat jemaah.

Dalam mesyuarat itu, terdapat beberapa cadangan. Ada yang mencadangkan supaya dikibarkan bendera sebagai tanda waktu solat. Ada yang mencadangkan ditiup serunai ataupun trompet; dan ada yang mencadangkan supaya dibunyikan loceng. Semua usul yang diajukan telah ditolak oleh Rasulullah SAW. Umar bin al-Khatab mencadangkan diteriakkan ucapan: "telah datang waktu solat". Usul itu telah diterima oleh Rasulullah SAW tetapi Baginda menukar lafaz itu dengan lafaz "assolata jami'ah" yang bererti" marilah solat berjemaah.

Pada suatu malam, Abdullah bin Zaid telah bermimpi mengenai cara yang lebih baik untuk menyeru orang ramai bersolat iaitu dengan mengumandangkan lafaz Allahu Akbar..(dan seterusnya lafaz-lafaz azan).

Pada pagi harinya, Abdullah bin Zaid menemui Rasulullah SAW dan baginda bersabda: "Mimpimu itu mimpi yang benar."

Nabi SAW memerintahkan Bilal bin Rabah melaungkan azan tersebut. Ketika Bilal menyeru azan, Umar mendengarnya lalu datang kepada Rasulullah SAW lalu menceritakan bahawa beliau juga bermimpi seperti Abdullah bin Zaid.

Al-Bazzar meriwayatkan bahawa: "Rasulullah SAW pada malam Israk telah diperlihatkan dengan azan dan diperdengarkan kepadanya di atas langit yang ketujuh. Kemudian Jibril a.s. datang dan menemui Baginda, lalu Baginda menjadi imam kepada ahli langit. Antara mereka ialah Nabi Adan a.s. dan Nabi Nuh a.s, Allah SWT menyempurnakan kemuliaan baginya ke atas penduduk langit dan bumi.


Sumber : Ensiklopedia Solat 

No comments:

Post a Comment

Followers