Wednesday 15 October 2014

SABAR

Apakah yang dimaksudkan dengan kesabaran??
Dalam khazanah ilmu Islam, kita menemui banyak definisi yang diajukan oleh para ilmuwan mengenai sabar. Antaranya definisi yang dikemukakan oleh al-Ghazali dalam kitab Ilya Ulumuddin:

  • Sabar adalah menerima dengan lapang dada hal-hal yang menyakitkan dan menyusahkan serta menahan amarah atas perlakuan kasar. Sesiapa mengeluh apabila diperlakukan dengan buruk oleh orang lain, maka hal itu menunjukkan akhlaknya yang masih buruk. Akhlak yang mulia adalah menerima dengan lapang dada semua bentuk perlakuan yang menyakitkan.
  • Al-Ghazali juga berkata: Yang dimaksudkan dengan sabar adalah ketetapan hati yang didorongoleh motif keagamaan bagi melawan keinginan-keinginan yang muncul akibat dorongan hawa nafsu. Sabar diklafisikasi kepada dua. Pertama, kesabaran Fizikal seperti menahan sabar ketika menghadapi kesusahan dalam melaksanakan ibadah atau tindakan-tindakan lainya selagi tindakan tersebut selari dengan semangat ajaran Islam.
  • Kedua, kesabaran batin iaitu menahan diri daripada dorongan syahwat dan keinginan hawa nafsu. Sabar menahan keinginan nafsu perut dan kelamin dinamakan al-I'ffah atau menjaga kehormatan. Berjuang melapangkan dada menerima musibah dinamakan al-Sabru (kesabaran), lawanya al-Jaz'u (cemas) dan al-Hal'u (panik serta berkeluh-kesah). Sabar menahan nafsu daripada memburu kekayaan dinamakan menahan diri atau Dhabt an-Nafsi, lawannya al-Batru atau sombong dalam harta milikan. Sabar menghadapi musuh dalam peperangan dipanggil keberanian atau as-Syajaa'ah. Sabar menerima bencana alam adalah kelapangan dada ayau Sa'at as-Sadr dan lawannya adalah ad-Dhajru atau gelisah dan at-Tabarrum atau keluh-kesah. Sabar menahan keinginan untuk berbual kosong atau mengumpat adalah menyimpan rahsia atau kitmaanus-sirri. Sabar menahan diri daripada menikmati keperluan asas dalam hidup namanya qanaah atau menerima dengan senang hati dan lawannya asy-Syarah atau rakus dan tamak.
  • Kebanyakan perilaku yang muncul daripada dorongan semangat keimanan masuk dalam kategori sabar. Itulah sebabnya ketika Rasulullah SAW ditanya tentang maksud iman, baginda menjawab, "Iman adalah kesabaran" Kerana sabar adalah inti kepada amal kebajikan yang bersumber daripada keimanan, bahkan termasuk amalan paling utama sebagai wukuf di Afrah yang menjadi inti kepada ibadah haji.


Sumber : Indahnya Akhlak Rasulullah SAW

Followers