Tuesday 3 April 2012

SUJUD SYUKUR

Ust Bahruddin Mansur


Dari Abu Bakrah: Apabila Rasulullah s.a.w. menemukan sesuatu yang menggembirakan baginda atau disampaikannya kepada baginda sesuatu berita sukacita, maka baginda melakukan sujud  syukur sebagai tanda bersyukur kepada Allah s.w.t. (HR Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi).

Dalam salah satu riwayat dinyatakan bahawa Abdul-Rahman bin Auf melihat Nabi Muhammad Saw. sedang melakukan sujud. Kerana baginda bersujud lama sekali, maka timbullah  kebimbangan kepada Abdul-Rahman bin Auf kalau-kalau Rasulullah saw. dalam keadaan'bahaya', mungkin baginda dipanggil Tuhan secara mendadak. Dengan segera Abdul-Rahman bin Auf mendatangi Rasulullah saw. untuk mengetahui keadaan baginda yang sebenarnya.

Sejenak kemudian Rasulullah saw.mengangkat kepalanya, bangun dari sujud dan bertanya kepada Abdul-Rahman bin Auf : " Ada Apa gerangan, wahai Sahabatku, maka anda nampak seperti orang yang  bingung ?"

Abdul-Rahman bin Auf menjelaskan kebimbangannya itu, sepertimana yang dinyatakan di atas.

Akhirnya Rasulullah saw.. menyatakan yang  maksudnya : " Bahawasanya Jibril datang kepadaku dan berkata : Sukakah engkau : Barangsiapa  yang mengucapkan salawat ke atas engkau, maka Allah Swt. akan memberikan salawat kepadanya. Barangsiapa yang memberikan salam kepada engkau,maka Allah akan memberikan salam (pula) kepadanya..Mendengar hal itu, maka saya (Rasulullah) terus melakukan sujud kepada Allah sebagai tanda bersyukur". (HR Ahmad)

Berdasar  ke atas Sunnah Nabi itu, maka ianya  tidak hairanlah apabila para Sahabat sering  melakukan sujud syukur  tatkala mereka mendapat nikmat atau memperoleh berita yang menggembirakan.  Amalan  sujud syukur itu adalah   antara manifestasi untuk menyatakan  kesyukuran atau  terimakasih  kepada Allah swt.

Tatacara sujud syukur

Sujud syukur itu  dilakukan secara spontan (seketika) tatkala mendapat nikmat atau menerima berita  menggembirakan.

Adapun cara mengerjakan sujud syukur itu tidak berbeza  seperti mana sujud  tatkala solat. Hanya syarat-syarat yang diwajibkan dalam mengerjakan solat, seperti harus mempunyai wuduk (air sembahyang), menghadap qiblat, pakaian yang bersih daripada najis dan lain-lain, itu semua adalah tidak di syaratkan di dalam sujud syukur.

Juga tidak di syaratkahn untuk dilakukan di tempat-tempat tertentu seperti masjid/surau, tetapi di bolehkan dilakukan disetiap tempat, asalkan  tidak di tempat-tempat yang kotor, seperti tandas dan lain-lain. Boleh ianya dilakukan di tepi jalanan, di pasar, di kebun, di kilang, di tepi pantai, di atas kereta dan sebagainya.

Dalam pada itu, tidak ada bacaan-bacaan yang khusus pada waktu melakukan sujud syukur itu. Menurut penjelasan Jumhur Ulama, cara melakukannya ialah dengan mengucapkan takbir lebih dahulu, kemudian sujud, sesudah itu bagkit dari sujud dan terus memberi salam. Ada juga sebatengah Ulama yang  berpendapat bahawa  sujud syuklur tidak perlu dimulakan dengan takbir dan disudahkan dengan salam, tetapi ianya cukup dengan bersujud sahaja, kemudian bangkit dan duduk kembali. 


Monday 2 April 2012

Balasan Baik Hindari Marah



Balasan baik hindari marah ABU Hurairah dan Said Al-Magburi meriwayatkan: "Ada seseorang lelaki memarahi Saidina Abu Bakar. Ketikaitu Rasulullah duduk disebelahnya.

Nabi diam saja, begitu juga Abu Bakar.

Selepas orang itu selesai memaki hamun dengan mengeluarkan kata-kata kesat, Abu Bakar membalas makian itu, tetapi Rasulullah bangun dan beredar dari situ. 

Abu Bakar hairan dan terus mengekori Nabi Muhammad sambil berkata: "Ya Rasulullah, dia memaki saya dan engkau pula diam. Ketika saya menjawab maki hamun itu, tiba-tiba engkau bangun lalu pergi."

Rasulullah lantas menjawab: "Sesungguhnya malaikat mengembalikan semua makian orang itu kepadanya ketika engkau diam, tetapi ketika engkau membalas makian itu, maka malaikat pergi dan syaitan pula masuk dan saya tidak suka duduk bersama syaitan." 

Rasulullah kemudian bersabda lagi: "Allah akan memuliakan hamba-Nya ketika sedang dianiaya lalu memberikan kemaafan sambil mengharapkan keredaan Allah."

Abu Said al-Khurdi pula berkata: Rasulullah ada bersabda: "Awaslah kamu daripada sifat marah kerana marah itu menyalakan api dalam hati anak Adam.

"Maka sesiapa yang berasakan demikian ketika berdiri, hendaklah dia duduk dan jika dia duduk hendaklah ia berbaring."

Abu Hurairah al-Bahili berkata bahawa Rasulullah pernah bersabda: "Sesiapa yang pemarah tetapi dapat menahan marahnya dengan sabar, maka Allah akan mengisi hatinya dengan keredaan pada hari kiamat."

Zina hancurkan fitrah hidup berpasangan ikut syariat


Oleh Mohd Rizal Azman Rifin



KITA sering membaca dan dihidangkan laporan media mengenai kes buang bayi yang seakan-akan menjadi perkara biasa saja dalam masyarakat hari ini. Saban minggu ada saja laporan perbuatan terhina itu. Antara punca peningkatan gejala itu disebabkan disebabkan perbuatan zina pada zaman ini.


Allah mengingatkan manusia keburukan zina ini menerusi ayat 32 surah al-Israk bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji yang membawa kepada kerosakan.” Ternyata, gejala zina mula menampakkan impak negatif yang cukup ketara dengan meningkatnya statistik kes buang bayi, menggugurkan janin dan jumlah kelahiran anak tidak sah taraf. Inilah kesan dibawa oleh perbuatan zina dan inilah juga yang dimaksudkan Allah sebagai satu jalan jahat yang membawa kerosakan.


Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji yang membawa kepada kerosakan. - Surah al-Israk, Ayat 32
Sesungguhnya perbuatan zina harus dilihat mengandungi impak buruk dari tiga sudut, iaitu kesannya terhadap agama, sosial dan kesihatan manusia. Dari segi agama, berzina menyebabkan lenyapnya cahaya iman kerana Rasulullah SAW pernah mengatakan bermaksud: “Tidak berzina seseorang penzina ketika dia berzina, dia dalam keadaan seorang beriman.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Perbuatan zina membawa akibat buruk kepada pelakunya bukan saja di akhirat kelak, tetapi impaknya sudah jelas diazabkan Allah di dunia lagi. Kemunculan gejala penyakit pelik dan kronik yang sukar diubati hingga kini membuktikan betapa dahsyatnya akibat dari zina itu.

Antara penyakit berbahaya yang berpunca daripada perbuatan zina ialah HIV/AIDS. Penyakit ini sangat dahsyat kerana sehingga kini, pakar perubatan masih bingung dalam usaha mereka mencari penawarnya.

Perbuatan zina yang semakin berleluasa berpunca daripada kurangnya pemahaman jitu terhadap ajaran agama, sebaliknya lebih ghairah meniru kehidupan Barat yang mengutamakan pergaulan bebas. 
Orang yang melanggar larangan Allah supaya menjauhi zina ialah golongan manusia yang mengikuti dorongan hawa nafsu liar mereka dan juga ditakluk syaitan. Ini kerana, apa saja perbuatan keji adalah hasil kejayaan syaitan mengawal diri seseorang sehingga tidak mampu membezakan yang benar dan salah di sisi agama.

Sebab itulah Allah berpesan kepada kita yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengikut langkah syaitan. Sesiapa yang mengikut langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, nescaya tidak seorangpun daripada kamu bersih (daripada perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nur, ayat 21)

Dalam sudut larangan berzina ini ada kisah yang dapat direnungi bersama iaitu perbualan seorang pemuda dengan Rasulullah SAW. Pemuda itu berkata: “Wahai Rasulullah, izinkanlah saya melakukan perbuatan zina.” Lantas dengan segera orang ramai menerpanya dan memperingatkannya: “Cukup. Cukup atau berhentilah berbicara demikian.” 

Rasulullah SAW kemudian berkata kepada pemuda itu: “Hampir kepadaku.” Pemuda itupun datang hampir kepada Baginda dan Baginda pun memintanya duduk.

Selepas pemuda itu duduk hampir dengan Rasulullah SAW, Baginda pun mengajukan soalan kepadanya: “Apakah kamu suka perzinaan itu berlaku kepada ibumu?” Jawab pemuda itu: “Tidak ada seorangpun yang menyukai hal itu terjadi pada ibu mereka.” Kemudian Rasulullah bertanya lagi: “Apakah kamu suka hal itu terjadi kepada puterimu?” Jawabnya: “Tidak demi Allah, saya menjadi tebusanmu dan tidak seorangpun menginginkan itu terjadi pada puteri mereka.” 

Rasulullah SAW meneruskan soalannya kepada pemuda itu: “Apakah kamu menyukai hal itu terjadi kepada saudaramu?” Katanya: “Tidak. Demi Allah saya menjadi tebusanmu, kemudian dia menyambung,” Tiada seorangpun inginkan hal itu berlaku.” 

Rasulullah SAW masih meneruskan soalannya kepada pemuda itu dan masih dijawab dengan jawapan yang sama dan akhirnya Rasulullah SAW meletakkan tangan pemuda itu ke atasnya dan berdoa untuknya: “Wahai Allah, ampunilah dosanya, bersihkan hatinya, peliharalah kemaluannya, setelah itu pemuda itu dilaporkan tidak lagi berkeinginan melakukan zina.” (Riwayat Imam Ahmad)

Peristiwa ini memberikan kita suatu gambaran bahawa Rasulullah SAW begitu komited mendidik umatnya menjauhi perbuatan zina. Kaedah yang digunakan Rasulullah SAW dalam peristiwa ini lebih menumpukan kepada pendekatan pemahaman dalaman atau psikologi dengan mengemukakan pertanyaan demi pertanyaan.

Justeru, haruslah kita insaf bahawa Islam menyediakan ramuan terbaik buat kita untuk menjalani kehidupan di dunia dalam satu acuan bersyariat yang luhur dan janganlah kita menjadi ingkar dengan melakukan perbuatan terlarang kerana kesannya sangat buruk bukan saja mendapat seksa di akhirat, malah ditimpa azab ketika di dunia, sama ada disedari atau tidak.


Sumber : Berita Harian Online

Waspada Syirik Khafi



“UBAT tu memang bagus, kalau engkau makan, sekejap saja pening engkau tu hilang.” Itu antara dialog yang biasa kita dengar dalam perbualan kita bersama orang sekeliling.

Tidak kurang juga mengagumi seorang bomoh atau doktor yang disifatkan ‘pakar’ merawat penyakit tertentu. Lalu terkeluar pula ayat: “Aku dengan orang lain tak berapa serasi, bomoh tu saja yang faham penyakit aku.”

Dalam situasi lain, seorang lelaki ditinggalkan kekasih hatinya. Lalu terdetik di hatinya dan terungkap melalui kata-katanya: “Aku tak boleh teruskan hidup tanpa si dia. Aku lebih rela mati daripada melihat si dia berpacaran dengan lelaki lain.”

Lebih malang lagi apabila si lelaki tadi mengamalkan apa yang dilafazkannya dengan membunuh diri. Sudahlah berdosa mensyirikkan Allah, kemudian melakukan dosa besar dengan membunuh diri pula.

Mungkin juga kita pernah mengungkapkan dialog di atas secara sedar atau tidak apabila berdepan situasi sebegini. Kedengaran seperti tiada apa salah silapnya, mungkin juga ia hanya perkara remeh yang tidak perlu dibincangkan.

Namun hakikatnya, perkara yang sering dipandang remeh inilah kadangkala menggoncang iman kita secara sedar atau tidak. Daripada sekecil-kecil bintik hitam, lama-kelamaan ia bertukar menjadi barah kepada iman dan akidah.

Kebanyakan daripada kita memang menjaga perkara yang boleh mendatangkan syirik jali (syirik jelas). Kita sedaya upaya mengesakan Allah dengan tidak menyembah berhala yang zahir.

Namun bagaimana pula penyembahan kepada ‘berhala ghaib’ yang mungkin kita lakukan secara tidak sedar dalam kehidupan seharian kita. Ini yang dinamakan sebagai syirik khafi atau dalam bahasa Melayunya disebut syirik tersembunyi.

Penyembahan kepada berhala ghaib sebenarnya dapat dilihat dalam beberapa aspek seperti kebergantungan kepada sesuatu selain daripada Allah.

Contoh mudah adalah dengan meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa kesihatannya bergantung dengan ubat-ubatan. Jika tiada ubat, sakitlah dia.

Tidak dinafikan, mencari ubat terbaik adalah satu ikhtiar dan usaha baik. Namun, perlu disematkan dalam hati bahawa ubat hanya wasilah dan ikhtiar untuk sembuh daripada penyakit, tetapi kepercayaan kepada yang menyembuhkan harus diiktikad kepada Allah SWT.

Kerana itu, apabila bercerita mengenai kehebatan sesuatu ubat kepada seseorang, jangan lupa lafazkan insya-Allah.

Sama juga seperti dalam kes seseorang yang baru putus cinta. Merasakan hidupnya tidak lagi bermakna selepas ditinggalkan kekasihnya, padahal ramai lagi wanita dan lelaki yang jauh lebih baik di luar sana.

Ahli ibadah juga adakala tidak terlepas daripada ‘penyembahan’ kepada berhala ghaib. Penyakit sangat ditakuti menyerang secara tidak sedar ini tidak lain dan tidak bukan adalah sifat riak.

Riak ketika melakukan amal ibadah membuatkan sesuatu ibadah itu tiada harga di sisi Allah. Contoh paling mudah ialah merasakan orang memerhatikannya sambil memuji: “Rajinnya si polan ini. Ada saja muka dia bersolat jemaah di masjid.”

Allah berfirman di dalam surah An-Nisa ayat 176, yang bermaksud: “... Mereka (orang munafik) pula apabila berdiri hendak solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan solatnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan solat) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).”

Dalam senario lain, penyembahan kepada pangkat dan kekayaan juga berlaku secara tidak sedar. Tidak dinafikan sebagai manusia kita digalakkan menghargai nikmat yang kita kecapi sekarang dengan mengimbau kesusahan yang pernah kita tempuhi pada zaman silam.

Namun, berhati-hatilah dengan penyakit ‘ujub’ yang boleh menjadi parasit dalam hati. Ujub membuatkan manusia berasa bangga dengan diri sendiri atas hasil titik peluhnya. Merasakan semua adalah usahanya, lantas tidak pernah terdetik di hati untuk mensyukuri nikmat Allah.

Lebih parah lagi, seolah-olah ada perasaan ‘dendam’ terhadap Allah kerana ‘membiarkan’ dia dalam kesusahan satu ketika dulu.

Ujub juga boleh berlaku apabila kita bersendirian. Kadangkala merasakan dirinya paling mulia lantaran amal ibadah dilakukan.

Jika diimbau kembali kisah penciptaan manusia, bagaimana iblis yang satu ketika dulu dimuliakan, akhirnya menjadi makhluk paling dilaknat Allah.

Bermula dengan syirik kecil, dengan merasakan dia lebih mulia kerana diciptakan daripada api, sedangkan manusia daripada tanah.

Lantas timbul perasaan ujub dan riak dalam diri iblis dan seterusnya enggan menuruti perintah Allah untuk sujud kepada penciptaan Allah ke atas manusia.

Lalu terakamlah dialog antara Allah dengan iblis yang membuatnya tersingkir daripada makhluk yang dimuliakan sebagaimana firman Allah: “Hai iblis, apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud itu?”

Iblis menjawab: “Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia daripada tanah liat yang kering, yang berasal daripada tanah kental yang berubah warna dan baunya.”

Allah berfirman: “Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau dari sekarang ke masa depan adalah (satu makhluk yang) diusir.” (Al-Hijr, ayat 32-34)

Sebenarnya, banyak lagi contoh syirik khafi berada dalam amalan manusia. Namun ia selalunya dipandang kecil oleh manusia.

Kita selalu sibuk menjaga diri daripada melakukan syirik jali (nyata), tetapi dalam diam rupa-rupanya syirik khafi menghakis keimanan kita dari hari ke hari.
Sememangnya syirik khafi tidak membatalkan iman manusia. Namun, harus diingat, sebesar-besar sesuatu itu bermula daripada kecil.

Kerana itu Rasulullah SAW menyatakan kegusaran baginda terhadap syirik yang tidak sedar ini melalui sepotong hadis bermaksud: “Syirik yang dilakukan oleh umatku lebih tersembunyi daripada semut halus yang merayap di atas batu besar.”

Di dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya, yang paling aku khuatir atas kamu sekalian adalah syirik kecil (syirik khafi), riak. Pada hari kiamat, ketika memberi balasan manusia atas perbuatannya, Allah berfirman: Pergilah kalian kepada orang- orang yang kalian tujukan amalanmu kepada mereka di dunia. Lihatlah, apakah engkau dapati balasan di sisi mereka?” (Riwayat Imam Ahmad)

Kerana itu, syirik khafi dikhuatiri boleh mencederakan tauhid kepada Allah jika tidak benar-benar diawasi

Sumber : Metro

10 sikap buruk manusia yang dicela Allah


SYEIKH Abdul Kadir Abdul Mutalib dalam buku tasauf Penawar Bagi Hati menjelaskan mengenai sepuluh celaan Allah kepada manusia akibat dari kelakuan dan tabiat manusia sendiri ketika menempuh kehidupan seharian. 


Sepuluh celaan itu berdasarkan sepuluh sikap yang lazim dilakukan manusia iaitu:

1. Gelojoh ketika makan

Dalam erti kata lain, seseorang yang kuat dan tidak bersopan ketika makan. Sikap ini juga meliputi maksud makan terlalu kenyang, menyediakan makanan dalam jumlah yang berlebihan, yang akhirnya membawa kepada pembaziran.

2. Banyak bercakap

Allah mencela manusia yang suka bercakap perkara yang sia-sia, fitnah memfitnah, umpat keji dan kata mengata kerana semua jenis percakapan itu menjurus kepada permusuhan dan perbalahan sesama manusia.

3. Suka marah-marah

Kemarahan boleh membuat seseorang itu bertindak di luar batas kemanusiaan. Perbuatan marah akan diikuti dengan maki hamun, mengherdik dan perkelahian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau pembunuhan.

4. Hasad dengki

Seseorang yang bersifat dengki sanggup melakukan apa saja dalam bentuk kejahatan atau jenayah. Perbuatan menipu dan sanggup memusnah hidup orang lain adalah antara sifat keji yang lahir dari perasaan hasad dengki. Rasulullah bersabda: 'Dengki itu memakan segala kebaikan' (riwayat Muslim).

5. Kedekut

Rezeki yang Allah kurniakan lebih suka disimpan hingga bertimbun banyaknya. Sifat kedekut menghijab (menutup) seseorang dari membelanjakan sebahagian dari hartanya ke jalan kebaikan termasuk menderma, membuat kebajikan ke jalan Allah dan membantu orang yang memerlukan.

6. Bermegah-megah

Ia termasuk sikap suka status atau jawatan, gelaran dan menerima sanjungan.

7. Cintakan dunia

Terlalu menghambakan diri kepada perkara duniawi hingga melupakan tuntutan ukhrawi. Rasulullah bersabda: "Bekerjalah kamu di dunia seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun, dan beramallah kamu untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari."
(riwayat Bukhari dan Muslim).

8. Ego atau sombong

Sifat membuat seseorang merasakan dirinya mempunyai kelebihan dalam banyak perkara dari orang lain hingga mereka lupa bahawa hanya Allah saja yang bersifat maha besar.

9. Ujub dan suka bangga diri

Perbuatan ini ada unsur megah dan sombong dengan kelebihan dan kepandaian yang dikurniakan Allah. Rasa bersyukur tidak ada lagi dalam diri kerana telah diselaputi perasaan ego.

10. Gemarkan pujian atau riak

Manusia jenis ini suka meminta dipuji dalam setiap perkara yang dilakukan. Sikap baiknya, jasa dan baktinya mahu dikenang sampai bila-bila. Ini jelas membayangkan bahawa sikap baiknya selama ini, tidak diiringi dengan kejujuran dan keikhlasan.

Sepuluh sikap yang dicela Allah ini, jika diamalkan, akan termasuk dalam kategori melakukan dosa besar.

Ilmu akan lenyap tanpa amal




(Tafsir Surah al-Maidah ayat 66) Jika mereka beramal dengan apa yang diturunkan oleh Allah nescaya Dia menjamin rezeki mereka dengan menurunkan hujan, hasil bumi yang berkat kepada mereka sebagai kurniaan Allah, sebagaimana firman-Nya kepada orang-orang yang beriman yang bermaksud: “Kalaulah penduduk negeri itu beriman dan bertakwa nescaya Kami bukakan kepada mereka keberkatan yang datang dari langit dan bumi.” (Surah al-Anfal: 96)Allah Taala beri keberkatan kepada mereka. Bagaimanapun ada perbezaan antara berkat dan kekayaan. Ada negeri yang kaya raya tetapi tidak ada keberkatan dalam pentadbiran kerajaannya.

Negeri itu kaya tetapi susah dengan banyaknya maksiat dan sebagainya dengan sebab kekayaan yang diperolehi.

Ini menandakan tidak adanya keberkataan dalam kekayaan yang diperolehi itu akibat penyalahgunaan kekayaan untuk tujuan yang bercanggah dengan ajaran Allah SWT.Sementara perkataan berkat hanya ada dalam Islam sahaja. Dalam ilmu ekonomi Barat tidak ada perkataan berkat. Begitu juga semua sistem atau teori Barat termasuk kapitalisme, liberalisme, nasionalisme, sosialisme, komunisme, dan sebagainya tidak ada persoalan yang berkaitan dengan keberkatan. Apa yang ada ialah persoalan kekayaan, kesenangan dan kemajuan.

Berkat bermakna sekiranya kita kaya, kita menjadi baik dengan kekayaan yang diperolehi. Rezeki yang sedikit membawa kebaikan yang banyak.Berkat yang dikurniakan oleh Allah apabila seseorang itu beriman dan bertakwa. Ini perkara yang dijanjikan oleh Allah.

Tetapi Allah Taala nyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Telah zahir keburukan di darat dan di laut hasil dari kerja yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia supaya dirasakan kepada mereka sebahagian daripada apa yang mereka kerjakan mudah-mudahan mereka kembali kepada Allah.” (Suratur Rum: 41)

Senang pada zahirnya tetapi susah pada hakikatnya. Antara lain ialah duit banyak tetapi tidak tahu bagaimanakah cara menggunakannya.Wang yang digunakan untuk membuat sesuatu, tidak memberi faedah dan tidak mendatangkan pahala serta kebaikan daripada Allah SWT.Ini adalah janji dari Allah untuk mengurniakan rezeki kepada orang Yahudi. Wahai orang Yahudi, wahai ahlil kitab, masuk Islamlah kamu. Kamu tegakkan Taurat dan Injil, nescaya kamu selamat.Ramai di kalangan pendita-pendita Yahudi takut masuk Islam. Mereka menyangka Jika masuk Islam mereka akan bertukar perwatakan, yang menjadi pemimpin tidak lagi menjadi pemimpin, dan yang kaya menjadi miskin.

Mereka nampak dunia semata-mata tetapi mereka tidak nampak apakah kebaikan yang akan diperolehi di hari akhirat kelak. Rasulullah s.a.w. menyatakan kepada orang yang beriman dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hatim bahawa suatu hari Nabi s.a.w. telah bersabda yang bermaksud; “Hampirlah ilmu itu dihilangkan oleh Allah.”

Dalam hadis yang lain diriwayatkan bahawa makna menghilangkan ilmu itu ialah dimatikan ahli-ahli ilmu (para ulama). Sementara orang Islam tidak beramal dengan ilmu. Akibat itu ilmu menjadi hilang dan ilmu yang paling pertama hilang ialah ilmu pembahagian harta pesaka yang menjadikan tanda hampirnya kiamat, sehingga tidak ada seorang pun yang mengetahui cara pembahagian harta pusaka mengikut hukum Islam.

Ada perancangan di peringkat antarabangsa untuk menghapuskan sistem pembahagian pusaka menurut Islam kerana mendakwa kononnya Islam tidak berlaku adil terhadap lelaki dan perempuan dalam pembahagian pusaka. Akhirnya perancangan itu akan berjaya sekiranya orang Islam tidak mempertahankan hukum Islam. Bila para ulama membisu seribu bahasa, tidak berani menegakkan yang hak, akhirnya Allah Taala menghilangkan ilmu dengan mematikan ulama.

Apabila Nabi s.a.w. mengatakan hampirlah diangkat ilmu, lalu seorang sahabat yang bernama Ziad bin Labit berkata, “wahai Rasulullah, bagaimana diangkatkan ilmu pada hal kami membaca al-Quran dan kami mengajarkannya kepada anak-anak kami.” Dalam satu riwayat yang lain, “kami ajar kepada anak-anak kami, anak-anak kami pula mengajar kepada cucu-cucu kami, cucu-cucu kami mengajar kepada cicit-cicit kami, mana boleh diangkatkan ilmu.”

Nabi menjawab dengan sabdanya yang bermaksud; “Apakah engkau ni wahai Ibnu Labit, sesungguhnya aku berpendapat engkaulah orang yang paling faham di kalangan penduduk Madinah. Tetapi di dalam perkara ini kamu tidak memahaminya.” 

“Tidakkah, Taurat dan Injil berada di tangan orang-orang Yahudi dan Nasara? Taurat dan Injil tidak boleh berbuat apa-apa kepada mereka itu kerana mereka meninggalkan perintah Allah. Allah berfirman yang bemaksud; “kalaulah sekiranya mereka itu menegakkan Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka daripada Tuhan mereka (al-Quran) nescaya mereka itu boleh makan rezeki dari atas mereka dan dari bawah kaki mereka. Di kalangan mereka itu ada golongan yang sederhana dan kebanyakan mereka itu alangkah buruknya apa yang mereka lakukan.” (Surah al-Maidah:66)

http://www.muslimdiary.com/articles.php?article_id=1555

Followers