Sunday, 30 September 2012

BERKAT HIDUP DENGAN BERSEDEKAH

 

Amalan bersedekah sangan berkait  dengan keberkatan hidup. Berkat ialah keadaan berterusannya kebaikan pada sesuatu perkara. Berkat boleh berlaku pada harta benda, umur, masa, tubuh badan, keturunan, rumah tangga atau apa-apa sahaja yang Allah kurniakan kepada hamba-Nya sebagai modal kehidupan.

Ada sebuah hadis, Rasulullah s.a.w menceritakan bahawa ada dua malaikat yang Allah tugaskan pada setiap pagi khusus untuk mendoakan hamba Allah yang gemar bersedekah. Malaikat itu mendoakan agar dia terus dikurniakan kebaikan oleh Allah. Manakala hamba Allah yang kedekut, malaikat mendoakan agar kehidupannya menjadi kerugian.

Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah bersabda: "Ubatilah sebagai penawar bagi penyakit dengan bersedekah." (Riwayat al-Tabarani)

Ada satu kisah, seorang lelaki yang menderita penyakit bisul di seluruh tubuhnya sejak tujuh tahun bertanya kepada Ibn al-Mubarak tentang penawar penyakitnya. Ibn al-Mubarak menjawab: "Ketika ini orang ramai memerlukan air kerana musim kemarau. Maka saya cadangkan supaya tuan buatkan telaga yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat. Insya-Allah, penyakit tuan akan sembuh.

Alhamdulillah, Allah menjadiakan sedekah itu sebagai sebab kesembuhan penyakit yang dideritainya itu.


Sumber: al-Ustaz 06 - Ustazah Norhafizah Hj. Musa

PERBETULKAN SAF SOLAT

 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhMelMdngIza3_-UI_FF9QWYspWEUCG2wZHjsCpnOKbKOBWyMmw1wnZqeCK-tQ3z5cuGDN49RReENLHi1b-R84qwlwD1lCo92wzKJuC_ekbnRZu8_9lT-Yuivy6EtLVH98d7iLp3m_pdlc/s400/solat-jemaah.jpg

 Berkaitan dengan saf solat, ada dua hadis yang patut kita renungkan. Dalam sebuah hadis riwayat Muslim daripada Abu Mas'ud berkata: "Rasulullah s.a.w pernah menyapu bahu-bahu kami semasa solat, lalu bersabda: "samakan oleh kamu semua akan barisan-barisan, dan jangan ada yang berselisih bahu (tidak sama di antara kamu semua). Kerana perbuatan ini menyebabkan hati kamu semua tidak sependapat (berselisihan). Orang yang dewasa dan berakal di antara kamu hendaklah berada berhampiran denganku, kemudian baris berikutnya (kanak-kanak yang cerdik, kemudian khunza dan terakhir sekali ialah perempuan).

Manakala hadis riwayat Abu Daud daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah bersabda: "Perbetulkan kedudukan saf-saf solat kamu semua. Samakanlah kedudukan antara bahu-bahu. Penuhilah semua ruang-ruang kosong. Dan berlemah lembutlah semasa mengajak saudara-saudaramu meluruskan saf-saf solat. Jangan sekali-kali kamu semua membiarkan ada ruang kosong kerana ia akan diisi oleh syaitan. Sesiapa yang merapatkan saf, maka Allah akan merapatkan hubungan dengannya. Dan sesiapa yang memutuskan saf (tidak suka memenuhi tempat-tempat yang kosong), nescaya Allah akan memutuskan hubungan dengannya.

Dalam hadis pertama, kita dapati Rasulullah menjelaskan bahawa saf solat yang bengkang-bengkok akan membawa kepada perselisihan dalam masyarakat Islam. Di dalam hadis kedua pula, Rasulullah menjanjikan saf solat yang tidak rapat akan membawa kepada putus hubungan dengan Allah. Dua janji buruk ini sebenarnya sudah cukup untuk menghancurkan umat ini jika ianya terlaksana.


Sumber : al-Ustaz 06 - Ustaz Muhammad Haidzir bin Husin

Wednesday, 26 September 2012

SABAR



Sabar itu bagaikan kristal yang dibakar api. Walaupun panas dibakar ia tetap bertahan sehingga terbentuk satu objek perhiasan yang cantik dan disukai ramai.

Begitu juga dengan manusia yang sabar dalam menempuh  dugaan Allah. Semakin kuat dan semakin hebat dugaan yang diterima jika dia menempuhnya dengan sabar pasti kesabarannya tidak sia-sia. Sesungguhnya ganjaran bagi orang yang bersabar amat besar disisiNya.

Oleh itu kita sebagai hambanya janganlah berputus asa atau merasa kecewa apabila kita ditimpa musibah. yakinlah setiap musibah itu adalah sekadar ujian yang diberikan kepada kita supaya kita kembali kepadaNya dan untuk membentuk kita menjadi manusia yang lebih baik apabila kita kembali kepadaNya.

Yakinlah setiap dugaan yang datang itu adalah dari Allah justeru kepada Allah jugalah yang wajib kita memohon pertolongan. Jangan sesekali kita menyekutukanNya, sesungguhnya syaitan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menyesatkan kita dari jalan Allah.

Banyakkan mengingati Allah dengan berzikir dan melakukan amalan kebajikan seperti bersedekah yang boleh mendekatkan kita kepadaNya dan apabila Dia berada dekat dengan kita pasti syaitan akan menjauhkan diri dari kita. Sesungguhnya perlindungan Allah adalah sebenar-benar perlindungan dari segala perlindungan yang ada di dunia ini.

Semoga kita sentiasa berada di bawah perlindungan Allah di dunia dan Akhirat yang kekal abadi.


Followers