Wednesday, 7 November 2012

DIRI SENDIRI WAJAR JADI CONTOH




KITA seringkali memikirkan apa yang berada di luar kita. Ramai juga yang ingin melihat orang lain berubah. Malah, kita berkeinginan untuk berubah, tetapi masih tidak kesampaian.

Kita mahu negara kita berubah, kita mahu orang berubah, kita bercita-cita mahu ubah pekerja kita, tetapi malangnya anak dan isteri kita masih tidak mampu kita ubah. Kenapa kita tidak mampu mengubah orang lain? Antara sebabnya, kita tidak pernah bersungguh-sungguh untuk mengubah diri sendiri. Rahsia mengubah orang adalah dengan mengubah diri sendiri. Betapa besar pun hasrat untuk mengubah orang lain sekiranya kita tidak mula daripada diri sendiri tidak berkesan. Kadangkala hasrat mengubah orang lain akan menjadi bahan ketawa. Orang di sekeliling kita akan menyaksikan cakap kita itu tidak serupa bikin dengan apa yang kita laungkan.

Elok juga kita fikirkan perbandingan ini, kalau kita hendak membina rumah apalah ertinya kita memikirkan dinding, pintu dan atap sekiranya tapak tidak dibina. "Mulakan dengan dirimu," kata pepatah Arab. Inilah kunci orang yang berjaya. Berani mengejek itu mudah, berani berhujah itu mudah, tetapi tidak ramai orang yang berani melihat kekurangan diri sendiri. Ramai orang berani melihat kekurangan orang lain, tetapi jarang sekali membincangkan kelemahan diri sendiri. Sebenarnya apabila kita mengubah diri dengan penuh sedar sudah pasti ia dapat mengubah orang lain. Walaupun tidak sepatah kata kita ucapkan untuk ubah orang lain, perbuatan yang berubah itu menjadi ucapan yang sangat bererti bagi orang lain. Pengaruh daripada kegigihan mengubah diri tidak akan dirasakan. Tetapi percayalah ia akan membekas dalam minda orang lain. Makin lama orang akan simpati dan terdorong untuk turut sama berubah. Lantas bagaimana kaedah mengubah diri dan orang lain?

Pertama: Mulalah dengan mengubah diri sendiri. Mana mungkin kita mahu mengajak orang berubah sedangkan diri kita masih di takuk lama. Jadilah seperti `ketam mengajar anak berjalan betul' nanti cakap tidak serupa bikin.

Kedua: Mulakan dengan melakukan perkara yang kecil. Perkara kecil jika dilazimi akan membantu dan memudahkan untuk melakukan yang besar. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Perkara yang kecil jika sering diabaikan nanti berjangkit, yang besar pun akan mudah diingkari. Banjir besar dimulakan dengan titik hujan yang kecil.

Ketiga: Mulakan sekarang. Jangan bertangguh lagi. Semakin bertangguh semakin melarat. Masalah yang kecil akan jadi lebih besar jika terus dibiarkan.

Keempat: Paksa diri dengan sepenuh hati. Nafsu jika tidak dipaksa nanti jadi degil.

Kelima: Belajar menghukum diri sendiri. Kalangan sahabat pernah menghukum diri dengan berpuasa kerana mengumpat.

Keenam: Kena ulangi kebaikan sehingga sebati dengan diri.
 
                                                                 
 Sumber : Metro

Tuesday, 6 November 2012

KASIHNYA ALLAH



Maha suci Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang lagi Maha Pemurah.

Syukur di atas segala nikmat pemberianNya yang tidak terhingga. Nikmat sihat untuk kita beribadah dan mencari rezeki untuk diri dan keluarga serta melakukan kebaikan di atas bumiNya. Nikmat sakit untuk kita lebih mendekatiNya dan menginsafi setiap kesilapan lalu. Ia juga sebagai hadiah dariNya sebagai tanda kasih sayang Allah kepada kita. Dengan sakit kita akan kembali kepadanya kerana semasa sihat kita sering melupakannya.

Tanda kasih sayang Allah kepada kita adalah ujian. Sama ada ujian dari segi kesenangan atau kesusahan. Setiap manusia akan menghadapi pelbagai ujian dan kita mestilah bersedia untuk melalui ujian itu dengan penuh kesabaran dan keiman. Kepada mereka yang berjaya melalui ujian Allah dengan penuh kesabaran dan mengharapkan bantuan dari Allah mereka adalah golongan yang berjaya di sisi Allah. 

Ingatlah Allah menguji hambaNya berdasarkan kepada kemampuan manusia itu dan Dia sentiasa disisi kita. Lagi berat dugaanNya lagi dekatlah Dia dengan kita. Beruntunglah bagi mereka yang ditimpa musibah dan dia bersabar menghadapinya dengan mengharapkan kasih sayang Allah.

Ingatlah wahai sahabat setiap musibah yang menimpa kita pasti ada hikmahnya. Setiap musibah adalalah penghapus dosa jika kita tabah menempuhnya dengan penuh keinsafan dan mengharapkan kasih sayang dariNya.

Maha Suci Allah.

Tidak terhitung nikmat yang telah Engkau berikan. Walaupun Engkau sering dilupakan dek kerana kurang nya kekuatan iman di hati namun tidak sedikitpun Engkau melupakan kami malah semakin bayak nikmat yang diberi, sesungguhnya  Engkau Maha Pengasih dan Maha Penyayang serta Maha Pengampum. Hanya kepada Mu Ya Allah kami berserah dan memohon keampunan. 

"Berimanlah, kerana iman boleh menghilangkan keresahan dan melenyapkan kegundahan. Keimanan adalah penyejuk mata hati bagi mereka yang mengesakan Allah dan hiburan bagi orang yang suka beribadah"

Followers