Thursday 13 October 2011

MALAS PUNCA KEGAGALAN



Dalam menempuh hidup yang serba mencabar, tidak dinafikan ada segelintir daripada kita yang akan ketinggalan. Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada kegagalan. Antaranya tidak mempunyai tujuan hidup, kurangnya keyakinan, tidak berdisplin dan tidak berani mengambil risiko. Namun faktor utama mungkin boleh dikaitkan dengan sifat malas. Perasaan itu wujud seiring dengan keengganan kita melakukan sesuatu tugas dan suka menunda kerja. Seterusnya melarikan diri daripada kewajipan. Implikasi yang diberikan oleh perasaan amat kuat. Apabila satu perasaan itu terdetik di hati secara langsungnya akan mempengaruhi fikiran dan fizikal kita. Keadaan ini akan menjadi teruk sekiranya rasa tersebut dilayan dalan jangkamasa yang lama. Pengaruhnya amat kuat dalam memberi impak kepada kejayaan seseorang.

Mungkin panduan yang di senaraikan ini mampu digunakan oleh remaja dan pekerja untuk terus menongkah arus perdana yang semakin sengit persaingannya.


  • Menetapkan tujuan : Orang malas tidak memiliki motivasi untuk berkembang ke arah kehidupan yang lebih baik. Ini membuatkan mereka tidak mempunyai tujuan atau matlamat hidup yang nyata dan jelas. Keadaan ini hanya mengakibatkan kehidupan mereka terumbang-ambing dan menjadi pasif. Seterusnya cenderung menyerah kepada nasib. Dengan itu, kehidupan yang kita jalani akan berasa bosan. Jika diamati, tujuan hidup ini mampu menyentuh emosi dan mencetuskan perasaan untuk berbuat sesuatu. Secara tidak langsung mendorong dan membakar semangat manusia agar berjaya. Setiap manusia yang dicipta itu adalah unik sama ada dalam aspek minat, kecenderungan, kebolehan, cara berfikir dan bertindak.

  • Berani hadapi cabaran : Orang yang malas juga boleh dikaitkan dengan mereka yang takut menghadapi kegagalan. Ia disebabkan mereka merasa malu dan kurang keyakinan untuk berdepan masalah yang dihadapinya. Berani menghadapi risiko untuk meraih kejayaan dalam hidup adalah penting bagi setiap individu. Setiap perjuangan perlu disertai dengan risiko. Di saat anda dihantui perasaan cemas dan takut, seharusnya jangan melarikan diri tetapi menghadapi dengan tenang kerana kejayaannya mampu membangkitkan keyakinan diri. Gunakan masa silam kita sebangai guru paling berguna untuk mengubah kehidupan. Kata orang, alah bisa tegal biasa.

  • Meningkatkan keyakinan diri : untuk terus memangkin kejayaan seharusnya kita perlu terus berlatih dan berusaha meningkatkan kemampuan diri. Berada dalam keadaan yang sama hanya mengakibatkan produktiviti dan motivasi untuk berjaya semakin berkurang. Belajar adalah kunci untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran. Sekiranya kita terus tekun, secara tidak langsung kemampuan kita juga akan meningkat. Semangat ketekunan itu boleh terus membara jika anda menyemat dalam fikiran dengan kata-kata "Saya ingin dan mahukan perkara tesebut".

  • Disiplin diri : disiplin melatih seseorang mengawal kelakuan untuk berjaya. ia menggabungkan sikap sabar berorientasi matlamat dan tanggungjawab dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Perkara yang perlu ada dalam pemikiran seseorang dalam mencapai tahap disiplin yang tinggi adalah kekuatan dalam melawan segala dugaan. Golongan berdisiplin adalah mereka yang menghormati janji dan kometmen yang telah dibuat dalam diri mereka. Sikap begini secara langsung membina semangat kemahuan tinggi, pengorbanan, tumpuan, sikap terbuka dan mencabar minda mereka untuk mencapai apa yang diingini.


                                                                                                                         Sumber Buletin AKRAB

No comments:

Post a Comment

Followers