TUAN ada penyakit ke? Kalau ada tanda demam yang kuat cepat-cepatlah pergi berjumpa doktor. Mana tahu ada apa-apa, boleh bertindak awal kerana bimbang juga dengan kedatangan gelombang kedua H1N1 sekarang.
Hari ini ramai yang sanggup berbelanja besar demi kesihatan, sebab kesihatan sangat berharga. Bila ada saja yang sakit, pasti ramai yang bersimpati. Semakin moden dan canggih dunia, semakin cepat kita dapat penyakit dan semakin cepat juga kita mengesan penularan sesuatu penyakit.
Pun begitu, semakin canggih dan prihatin manusia terhadap kesihatannya, manusia masih lupa memberi perhatian terhadap penyakit hati yang jauh lebih bahaya daripada penyakit fizikal. Penyakit hatilah yang akan merosakkan keharmonian rumah tangga. Mengganggu suami isteri orang, maka berlakulah kecurangan dan lupa tanggungjawab.
Tidak memberi nafkah akhirnya berkecai rumah tangga. Anak jadi tidak keruan dan hilang kasih sayang. Bila hati sudah berpenyakit maka akan hilang rasa takut kepada Allah, merosot serta comot integriti, tidak lagi rasa diperhati, depan orang alim tetapi di belakang menjadi "maling". Itu sekadar contoh kesan akibat penyakit hati yang terlalu banyak keburukannya. Siri kali ini penulis mahu bincangkan antara tanda penyakit hati. Kalau sudah ada tanda maka kena berhati-hatilah. Antara tanda penyakit hati tidak boleh dikesan sesiapa pun adalah:
1) Malas melakukan ketaatan dan amal kebaikan.
Malas menjalankan ibadah, bahkan meremehkannya pula. Contohnya melakukan solat bukan dengan "sengaja' tetapi dengan tidak sengaja dan terpaksa.
Kalau buat pun tidak khusyuk dan ada kesungguhan. Mereka merasa berat untuk menjalankan ibadah sunnah. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan mereka tidak mengerjakan solat, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan." (Surah at-Taubah ayat 54).
2) Tidak tersentuh ayat al-Quran
Ketika disampaikan ayat berkenaan janji dan ancaman Allah, maka tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyu atau tunduk dari membaca al-Quran dan mendengarnya.
Sedangkan Allah memperingatkan dalam al-Quran yang bermaksud: "Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut kepada ancaman-Ku." (Surah Qaaf ayat 45).
3) Tidak tersentuh dengan ayat kauniyah
Tidak tergerak dengan adanya peristiwa yang dapat memberikan pelajaran seperti kematian, sakit, bencana. Dia memandang kematian atau orang yang sedang diusung ke kubur sebagai sesuatu yang tidak kaitan dengannya. Nabi bersabda yang bermaksud: "Cukuplah kematian itu sebagai nasihat dan peringatan". 4) Berlebihan mencintai dunia serta melupakan akhirat
Himmah dan segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata. Segala sesuatu diperhitung, dikira berasaskan dunia. Cinta, benci dan hubungan dengan sesama manusia hanya untuk urusan dunia saja seolah hidup hanya untuk dunia dan berakhir di dunia .
5) Berkawan dengan orang yang melakukan maksiat
Ini salah satu sebab terbesar yang mempengaruhi kerasnya hati seseorang. Orang yang hidupnya di tengah gelombang kemaksiatan dan kemungkaran, bergaul dengan manusia yang banyak berkubang dalam dosa, banyak bergurau dan tertawa tanpa batasan, banyak mendengar muzik yang melalaikan serta menghabiskan harinya untuk tujuan maksiat.
6) Kemaksiatan berantai
Penyakit hati lahir dari kemaksiatan baru akibat kemaksiatan yang dilakukan sebelumnya sehingga menjadi lingkaran syaitan yang sangat sukar bagi seseorang itu melepaskan dirinya.
7) Meremehkan dosa kecil
Memang ada dosa kecil dan besar, tetapi perlu diingat semua dosa akan membawa ke neraka. Seperkara lagi, kita perlu faham dosa besar bermula dengan dosa kecil, banjir besar bermula dari titis hujan.
8) Tidak peduli sumber makanan
Orang yang hatinya berpenyakit dan keras ini biasanya kurang prihatin dengan sumber makanan, halal atau haram. Begitu juga dengan syubhat, yang dia kira sedap dan enak, selera kena tinggi. Makan di mana pun tidak kira kedai orang Islam atau bukan Islam yang penting kaw dan kaw. Begitu juga dengan punca pendapatan, sudah tidak peduli lagi sumber rezeki datang dari mana kerana yang pasti dapat banyak, hidup kaya raya. Rasuah, curi, seludup, ampu ke semua dibedal.
Sumber: Metro
No comments:
Post a Comment