Saturday, 30 March 2013

HASAT DENGKI MEMBAKAR DIRI

 

Sejarah Hasat Dengki

Hasat dengki telah bermula sejak Allah s.w.t menciptakan Nabi Adam lagi. Apabila Allah memerintahkan para Malaikat dan iblis sujud kepada Nabi Adam, para Malaikat mematuhi perintah Allah, manakala iblis mengengkari-Nya. Ia berasa iri hati terhadap Nabi Adam dan merasakan dirinya lebih baik. Akibat kesombongan itu, Allah mengistiharkan iblis sebagai penghuni neraka. Inilah sifat permulaan hasat dengki.

Punca yang menghalang Iblis untuk sujud kepada Nabi Adam tidak lain dan tidak bukan adalah daripada dengki, bongkak, sombong dan riak. Ia berasa dirinya jauh lebih baik daripada Nabi Adam.

Sejarah Qabil dan Habil

Apabila berlaku konflik antara Qabil dan Habil, Allah menurunkan perintah agar kedua-duanya mempersembahkan korban. Habil menerima perintah tersebut dengan lapang dada dan memilih binatang ternakan yang paling berkualiti untuk dipersembahkan kepada Allah. Sebaliknya, Qabil menerima perintah Allah dengan rasa terpaksa dan mempersembahkan hasil pertanian yang paling buruk.

Dengan dua bentuk korban yang amat berbeza, sudah tentu Allah memilih korban yang dipersembahkan dengan hati ikhlas dan penuh pengharapan sebagai hamba. Walaubagaimanapun, Qabil tidak berasa senang dengan keadaan tersebut. Perasaan iri hati yang meluap-luap akhirnya menimbulkan perasaan dendam dalam dirinya. Akhirnya, Qabil membunuh Habil akibat hasad dengki yang tidak tertahan lagi.

Sebab-sebab Hasat Dengki

Imam Al Ghazali menyimpulkan sebab-sebab yang boleh menimbulkan perasaan hasad dengki, antaranya ialah:
  • Perasaan permusuhan dan kebencian
  • Berasa diri mulia
  • Takabbut
  • "Ujub
  • Takut terlepas sesuatu tujuan dan habuan
  • Ghairah menjadi ketua dan mencari populariti
  • Busuk hati
 
Ubat penyakit dengki

Ubat bagi penyakit dengki ialah dengan melakukan sifat yang berlawanan dengan sifat dengki. Ringkasnya, seseorang yang ingin menghindarkan sifat hasad dan dengki hendaklah menanam dalam jiwa perkara-perkara berikut:
  • Menanam sifat seorang hamba yang tawaduk kepada Allah
  • Tidak memperhambakan diri kepada keduniaan dan kebendaan
  • Bertakwa
  • Yakin kepada qada dan qadar
  • Tidak meninggalkan amalan wajib seperti solat lima waktu dan menghindarkan diri daripada perkara-perkara maksiat yang ditegah oleh Allah. 
Sumber : al-Ustas no 12 - Dr. Mohd Sukki Othman

Thursday, 28 March 2013

SEKSAAN BAGI ORANG YANG MENINGGALKAN SOLAT


 


Orang yang tidak solat akan diseksa dengan 15 seksaan; enam daripadanya akan diterima di dunia, tiga seksaan tatkala hendak mati, tiga seksaan berada di dalam kubur dan tiga lagi di hari kiamat.

6 SEKSAAN SEMASA HIDUP DI DUNIA
  • Umurnya tidak berkat
  • Akan dihapuskan tanda-tanda orang soleh daripada mukanya
  • Tiap-tiap amalan yang dikerjakan tiada diberikan pahala kepadanya
  • Segala doanya tiada diperkenankan oleh Allah
  • Dia dibenci oleh segala makhluk di dunia
  • Tidak ada baginya bahagian daripada doa untuk orang-orang soleh
3 SEKSAAN KETIKA HENDAK MATI
  • Mati dalam kehinaan
  • Mati dalam keadaan lapar
  • Mati dalam keadaan dahaga yang amat, sehinggakan jika dituangkan ke tekaknya semua air laut di dunia ini, dia tetap berasa dahaga
3 SEKSAAN DI DALAM KUBUR
  • Kuburnya disempitkan
  • Dinyalakan api, yang mana dia akan membalik-balikkan dirinya dalam bara api itu
  • Allah mengarahkan ular besar, dinamakan "Shajkul Akrak", untuk menyeksa si mayat. Ular itu akan berkata, "Sesungguhnya aku telah disuruh oleh Tuhanku untuk memukul engkau dari Subuh hingga Zuhur, sebab engkau sia-siakan waktu Zuhur; dipukul pula hingga Asar, sebab engkau sia-siakan waktu Asar..." Begitulah seterusnya setiap hari, siang dan malam, sehingga hari kiamat. 
3 SEKSAAN DI HARI KIAMAT
  • Allah memerintahkan malaikat azab menghela orang tidak solat itu ke dalam neraka
  • Allah menilik pada orang yang tidak solat itu dengan tilikan murka
  • Allah akan mengira orang yang tidak solat itu dengan kiraan yang paling berat dan terus disumbatkan ke dalam neraka, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud, "Apa yang membawa kamu ke neraka?"Mereka menjawab. "Kami tidak solat."




Sumber : Ensiklopedia Solat

HUKUM-HUKUM DASAR SYARIAT ISLAM


Hukum Halal

Takrif Halal
  • Sesuatu yang dibolehkan (tidak berdosa) memakai, memakan, atau mengerjakannya setelah ada pengesahan (sah) menurut syarak.
Firman Allah SWT:

Maksudnya: Makanlah daripada yang baik (halal) dan kerjakanlah amalan soleh.


Allah SWT memerintahkan kita makan dan minum daripada bahan-bahan yang baik iaitu halal, suci lagi bersih sebelum melakukan ibadat dan amalan soleh lain.

Di samping itu, binatang yang boleh dimakan seperti kambing, ayam, dan lembu perlu disembelih terlebih dahulu sebelum dimakan, sesuai dengan tuntutan Islam.


Hukum Haram

Takrif Haram
  • Sesuatu yang diberi pahala apabila meninggalkannya dan berdosa apabila mengerjakannya di sisi syarak. Hukum ini berlawanan dengan halal.
Terdapat hadis yang diriwayatkan dari Nabi SAW bermaksud:

"Setiap daging yang tumbuh daripada (hasil makanan) yang haram, maka neraka lebih layak baginya"

Antara makanan atau minuman yang haram ialah daging babi, arak dan sebagainya.

Di samping itu, islam juga menetapkan supaya kita menjauhi perbuatan-perbuatan haram seperti memakan harta anak yatim, bertenung nasib, bergaul bebas lelaki dan wanita yang bukan mahram, berjudi, membuka aurat (kecuali yang diharuskan oleh syarak) dan lain-lain amalan dilarang.


Hukum Wajib

Takrif Wajib
  • Sesuatu yang diberi pahala apabila dikerjakan dan berdosa apabila meninggalkannya. Contohnya: Amalan solat lima waktu, puasa pada bulan Ramadan dan sebagainya.
Allah SWT berfirman maksudnya:

Sesungguhnya solat (sembahyang) itu merupakan kewajipan yang telah ditetapkan atas orang Mukminin dan (Mukminah) (Surah al-Nisa : 103)


Hukum Sunat

Takrif Sunat
  • Sesuatu yang diberikan pahala jika dikerjakannya dan tidak bedosa apabila meninggalkannya, Contohnya: Solat Sunat, bersedekah, puasa sunat dan sebagainya.
Amalan-amalan sunat ini merupakan amalan tambahan atau sokongan untuk menampung mana-mana kekurangan dalam ibadat wajib yang kurang sempurna.

Di akhirat kelak, apabila setiap insan dihadapkan ke muka pengadilan Allah, setiap amalan wajib seperti solat dan puasa akan dinilai kesempurnaannya. Jika kurang sempurna, maka ditanya pula tentang amalan-amalan sunat seperti solat sunat dan puasa sunat untuk menokok amalan wajib.


Hukum Makruh

Takrif Makruh
  • Sesuatu amalan yang diberi pahala jika ditinggalkan dan tidak berdosa apabila mengerjakannya.
Amalan makruh seperti memakan makanan berbau seperti bawang mentah, petai dan segala makanan yang menyebabkan mulut berbau busuk sehingga mengganggu jemaah lain dalam solat juga dikira makruh.

Nabi SAW sendiri menggemari amalan-amalan sunat dan membenci perbuatan yang makruh. Ibadat seperti solat yang dilakukan pada waktu-waktu yang tidak digalakkan dalah makruh seperti waktu gelincir, terbit dan juga tenggelamnya matahari.


Hukum Harus

Takrif Harus
  • Sesuatu amalan yang tidak berpahala jika dikerjakan dan tidak berdosa apabila meninggalkannya seperti: Makan, minum, bersiar-siar dan sebagainya.

Hukum Sah

Takrif Sah
  • Sesuatu amalan yang cukup rukun dan sempurna syaratnya menurut syarak. Contoh: Antara syarat sah solat itu ialah suci daripada hadas besar dan hadas kecil.
Amalan-amalan sama ada yang wajib ataupun yang sunat apabila tidak cukup rukun atau syaratnya dianggap batal atau tidak sah. Ia tidak akan diterima oleh Allah SWT sebagai ibadah dan dianggap sia-sia sahaja. Hal ini menampakkan kejahilan seseorang itu dalam melaksanakan amal ibadahnya. 


Hukum Batal

Takrif Batal
  • Sesuatu amalan yang tidak cukup rukun dan syaratnya menurut syarak. Contohnya: Solat akan batal jika bergerak berturut-turut sebayak tiga kali.
Memahami segala rukun dan syarat dalam satu-satu amalan serta memberi perhatian pula kepada perkara-perkara yang boleh membatalkan amalan. Ini khususnya amalan wajib seperti solat, puasa dan haji yang akan membawa kepada kesempurnaan iman, islam dan akhlak umat islam itu sendiri.
Tidak dinafikan bahawa keampuhan akhlak umat Muhammad SAW masa kini boleh dikaitkan juga dengan pelbagai perkara rukun dan syarat amalan yang telah dan akan dilakukan. 


Sumber : indahnya hidup bersyariat

Wednesday, 6 March 2013

HUKUM KUCING KESAYANGAN

 



Bela Kucing Dalam Rumah

Memelihara haiwan-haiwan jinak seperti kucing dan sebagainya di dalam rumah adalah diharuskan. Ini kerana haiwan-haiwan tersebut tidak menyebabkan kemudaratan ke atas manusia di samping ia juga bukan jenis haiwan yang bernajis.


Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Kabshah binti Ka'ab. Suatu ketika Abu Qatadah iaitu bapa mertua yang merupakan sahabat Nabi datang ke rumahnya. Satu ketika sedang Abu Qatadah sedang berwuduk, tiba-tiba datang seekor kucing kepadanya untuk meminum air. Lantas beliau menyediakan bekas yang di dalamnya ada air supaya kucing tersebut mampu untuk meminumnya.

Bapa mertuanya itu perasan bahawa Kabshah sedang mermerhatikannya. Lantas dia berkata: "Adakah kamu berminat kepadanya?" "Ya" "Sesungguhnya kucing ini tidak najis dan menajiskan. Bahkan ia antara haiwan-haiwan yang sentiasa berkeliaran di sekeliling kamu." (al-Tirmizi)

Pukul Dengan Niat Mendidik

Memukul haiwan peliharaan atau haiwan ternakan sebagai langkan untuk mendidiknya adalah dibenarkan. Namun begitu, pukulan itu mestilah tidak menuebabkan ia luka atau mati. Sekiranya pukulan tersebut menyebabkan haiwan-haiwan berkenaan mati atau tercedera, maka hukumnya haram dan berdosa. Buktinya ialah sabda Nabi yang bermaksud:
"Sesungguhnya seorang perempuan telah dimasukkan ke dalam api neraka kerana seekor kucing. Dia telah mengurungnya tanpa memberinya peluang untuk mencari makanan sendiri." (Riwayat al-Bukhari dan al-Muslim)

Mengasi Kucing

Secara dasarnya, memudaratkan semua jenis haiwan sama ada yang diternak atau dipelihara di rumah dengan perbuatan-perbuatan tertentu tanpa sebarang keperluan adalah haram. Perlu diketahui bahawa perbuatan mengasi haiwan terbahagi kepada dua keadaan yang berbeza hukumnya:

  • Mengasi haiwan ternakan yang halal dimakan dagingnya - Mazhab Hanafi, Maliki, Syafi'i dan Hanbali bersepakat bahawa harus mengasi haiwan-haiwan ternakan yang boleh dimakan dagingnya seperti kambing, lembu, kerbau dan sebagainya. Antara hujahnya ialah hadis yang meriwayatkan bahawa Nabi pernah mengorbankan tiga ekor kibas besar yang telah dikasi. (Riwayat Ibn Majah)

  • Mengasi haiwan peliharaan yang haram dimakan dagingnya - Para fuqaha saling berbeza pendapat dalam isu ini. Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali berpendapat bahawa mengasi haiwan peliharaan seperti kucing adalah makruh. Jika tiada sebarang keperluan untuk berbuat demikian, maka lebih baik tidak dilakukan. Manakala mazhab Syafi'i pula mengharamkan perbuatan mengasi semua jenis haiwan peliharaan. Hujah mazhab Syafi'i ialah hadis Ibn Umar yang menyatakan bahawa Nabi melarang daripada perbuatan mengasi kuda. 

Bulu Kucing Melekat


Secara umumnya bulu kucing yang terkena atau melekat pada pakaian solat adalah tidak najis dan boleh dibuat solat. Perkara ini diperkuatkan dengan perbuatan Abdul Rahman Ibn Sahr yang dikenali sebagai seorang sahabat Nabi yang sangat menyangi kucing sehingga digelar dengan nama Abu Hurairah.


Menurut Ibn Abd al-Bar, terdapat riwayat yang menjelaskan bahawa Abu Hurairah sentiasa mendampingi kucing untuk bermain-main dengannya. Ada kalanya kucing-kucing itu masuk ke dalam jubahnya yang besar. Riwayat ini menunjukkan bahawa bermain dengan kucing sehingga menyebabkan bulu-bulunya melekat pada pakaian tidak menyebabkannya bernajis.

Namun begitu, tidak dinafikan jika didapati najis pada bulu tersebut secara jelas dan nyata, maka pakaian yang terkena bulu kucing itu dikira sebagai najis dan solat dengan pakaian tersebut adalah tidak sah.

Sumber : al-Ustaz No 11 - Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim A.M.S

Followers