Friday, 24 February 2012

CINTA SEJATI SEORANG IBU TERHADAP ANAK-ANAKNYA



Wanita itu sudah tua, namun semangat perjuangannya tetap menyala seperti wanita yang masih muda. Setiap tutur kata yang dikeluarkannya selalu menjadi pendorong dan bualan orang disekitarnya. Maklumlah, ia memang seorang penyair dua zaman, maka tidak kurang pula bercakap dalam bentuk syair. Al-Khansa bin Amru, demikianlah nama wanita itu. Dia merupakan wanita yang terkenal cantik dan pandai di kalangan orang Arab. Dia pernah bersyair mengenang kematian saudaranya yang bernama Sakhr : 


"Setiap mega terbit, dia mengingatkan aku pada Sakhr, malang. Aku pula masih teringatkan dia setiap mega hilang dii ufuk barat Kalaulah tidak kerana terlalu ramai orang menangis di sampingku ke atas mayat-mayat mereka, nescaya aku bunuh diriku." 


Setelah Khansa memeluk Islam, keberanian dan kepandaiannya bersyair telah digunakan untuk menyemarakkan semangat para pejuang Islam. Ia mempunyai empat orang putera yang kesemuanya diajar ilmu bersyair dan dididik berjuang dengan berani. Kemudian puteranya itu telah diserahkan untuk berjuang demi kemenangan dan kepentingan Islam. Khansa telah mengajar anaknya sejak kecil lagi agar jangan takut menghadapi peperangan dan cabaran. 



Pada tahun 14 Hijrah, Khalifah Umar Ibnul Khattab menyediakan satu pasukan tempur untuk menentang Farsi. Semua Islam dari berbagai kabilah telah dikerahkan untuk menuju ke medan perang, maka terkumpullah seramai 41,000 orang tentera. Khansa telah mengerahkan keempat-empat puteranya agar ikut mengangkat senjata dalam perang suci itu. Khansa sendiri juga ikut ke medan perang dalam kumpulan pasukan wanita yang bertugas merawat dan menaikkan semangat pejuan tentera Islam. 

Dengarlah nasihat Khansa kepada putera-puteranya yang sebentar lagi akan ke medan perang, "Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan rela hati. Kemudian kamu berhijrah dengan sukarela pula. Demi Allah, yang tiada tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera dari seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan saudara-maramu, aku tidak pernah merendahkan keturuna kamu, dan aku tidak pernah mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu pahala yang disediakan oleh Allah s.w.t. kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah bahawasanya kampung yang kekal itu lebih baik daripada kampung yang binasa." 



Kemudian Khansa membacakan satu ayat dari surah Ali Imran yang bermaksud, "Wahai orang yang beriman! Sabarlah, dan sempurnakanlah kesabaran itu, dan teguhkanlah kedudukan kamu, dan patuhlah kepada Allah, moga-moga menjadi orang yang beruntung." Putera-putera Khansa tertunduk khusyuk mendengar nasihat bonda yang disayanginya. 


Seterusnya Khansa berkata, "Jika kalian bangun esok pagi, insya Allah dalam keadaan selamat, maka keluarlah untuk berperang dengan musuh kamu. Gunakanlah semua pengalamanmu dan mohonlah pertolongan dari Allah s.w.t.. Jika kamu melihat api pertempuran semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh api peperangan yang sedang bergejolak, masuklah kamu ke dalamnya. Dan dapatkanlah puncanya ketika terjadi perlagaan pertempurannya, semoga kamu akan berjaya mendapat balasan di kampung yang abadi, dan tempat tinggal yang kekal." 



Subuh esoknya semua tentera Islam sudah berada di tikar sembahyang masing-masing untuk mengerjakan perintah Allah s.w.t. iaitu solat Subuh, kemudian berdoa moga-moga Allah s.w.t. memberikan mereka kemenangan atau syurga. Kemudian Saad bin Abu Waqas panglima besar Islam telah memberikan arahan agar bersiap-sedia sebaik sahaja semboyan perang berbunyi. Perang satu lawan satu pun bermula dua hari. Pada hari ketiga bermulalah pertempuran besar-besaran. 41,000 orang tentera Islam melawan tentera Farsi yang berjumlah 200,000 orang. Pasukan Islam mendapat tentangan hebat, namun mereka tetap yakin akan pertolongan Allah s.w.t.. 



Putera-putera Khansa maju untuk merebut peluang memasuki syurga. Berkat dorongan dan nasihat dari bondanya, mereka tidak sedikit pun berasa takut. Sambil mengibas-ngibaskan pedang, salah seorang dari mereka bersyair,                             "Hai saudara-saudaraku! Ibu tua kita yang banyak pengalaman itu, telah memanggil kita semalam dan membekalkan nasihat. Semua mutiara yang keluar dari mulutnya bernas dan berfaedah. Insya Allah akan kita buktikan sedikit masa lagi." 

Kemudian ia maju menetak setiap musuh yang datang. Seterusnya disusul pula oleh anak kedua maju dan menentang setiap musuh yang mencabar. Dengan semangat yang berapi-api ia bersyair, 



"Demi Allah! Kami tidak akan melanggar nasihat dari ibu tua kami Nasihatnya wajib ditaati dengan ikhlas dan rela hati Segeralah bertempur, segeralah bertarung dan menggempur mush-musuh bersama-sama Sehingga kau lihat keluarga Kaisar musnah." Anak Khansa yang ketiga pula segera melompat dengan beraninya dan bersyair, "Sungguh ibu tua kami kuat keazamannya, tetap tegas tidak goncang Beliau telah menggalakkan kita agar bertindak cekap dan berakal cemerlang Itulah nasihat seorang ibu tua yang mengambil berat terhadap anak-anaknya sendiri. Mari! Segera memasuki medan tempur dan segeralah untuk mempertahankan diri Dapatkan kemenangan yang bakal membawakegembiraan di dalam hati Atau tempuhlah kematian yang bakal mewarisi kehidupan yang abadi." 



Akhir sekali anak keempat menghunus pedang dan melompat menyusul abang-abangnya. Untuk menaikkan semangatnya ia pun bersyair, "Bukanlah aku putera Khansa', bukanlah aku anak jantan Dan bukanlah pula kerana 'Amru yang pujiannya sudah lama terkenal Kalau aku tidak membuat tentera asing yang berkelompok-kelompok itu terjunam ke jurang bahay, dan musnah mangsa oleh senjataku." Bergelutlah keempat-empat putera Khansa dengan tekad bulat untuk mendapatkan syurga diiringi oleh doa munajat bondanya yang berada di garis belakang. Pertempuran terus hebat. Tentera Islam pada mulanya kebingungan dan kacau kerana pada mulanya tentera Farsi menggunakan tentera bergajah di barisan hadapan, sementara tentera berjalan kaki berlindung di belakang binatang tahan lasak itu. Namun tentera Islam dapat mencederakan gajah-gajah itu dengan memanah mata dan bahagian-bahagian lainnya. Gajah yang cedera itu marah dengan menghempaskan tuan yang menungganginya, memijak-mijak tentera Farsi yang lannya. Kesempatan ini digunakan oleh pihak Islam untuk memusnahkan mereka. Panglima perang bermahkota Farsi dapat dipenggal kepalanya, akhirnya mereka lari lintang-pukang menyeberangi sungai dan dipanah oleh pasukan Islam hingga air sungai menjadi merah. Pasukan Farsi kalah teruk, dari 200,000 tenteranya hanya sebahagian kecil sahaja yang dapat menyelamatkan diri. 


Umat Islam lega. Kini mereka mengumpul dan mengira tentera Islam yang gugur. Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan Kadisia itu berjumlah lebih kurang 7,000 orang. Dan daripada 7,000 orang syuhada itu terbujur empat orang adik-beradik Khansa. Seketika itu juga ramailah tentera Islam yang datang menemui Khansa memberitahukan bahawa keempat-empat anaknya telah menemui syahid. Al-Khansa menerima berita itu dengan tenang, gembira dan hati tidak bergoncang. Al-Khansa terus memuji Allah dengan ucapan, 



"Segala puji bagi Allah s.w.t., yang telah memuliakanku dengan mensyahidkan mereka, dan aku mengahrapkan darii Tuhanku, agar Dia mengumpulkan aku dengan mereka di tempat tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!" 

Al-Khansa kembali semula ke Madinah bersama para perajurit yang masih hidup dengan meninggalkan mayat-mayat puteranya di medan pertempuran Kadisia. Dari peristiwa peperanan itu pula wanita penyair ini mendapat gelaran kehormatan 'Ummu syuhada yang ertinya ibu kepada orang-orang yang mati syahid."

KEJUJURAN SEORANG SAUDAGAR PERMATA




Pada suatu hari, seorang saudagar perhiasan di zaman Tabiin bernama Yunus bin Ubaid, menyuruh saudaranya menjaga kedainya kerana ia akan keluar solat. Ketika itu datanglah seorang badwi yang hendak membeli perhiasan di kedai itu. Maka terjadilah jual beli di antara badwi itu dan penjaga kedai yang diamanahkan tuannya tadi. Satu barang perhiasan permata yang hendak dibeli harganya empat ratus dirham. Saudara kepada Yunus menunjukkan suatu barang yang sebetulnya harga dua ratus dirham. Barang tersebut dibeli oleh badwi tadi tanpa diminta mengurangkan harganya tadi. 

Ditengah jalan, dia terserempak dengan Yunus bin Ubaid. Yunus bin Ubaid lalu bertanya kepada si badwi yang membawa barang perhiasan yang dibeli dari kedainya tadi. Sememangnya dia mengenali barang tersebut adalah dari kedainya. Saudagar Yunus bertanya kepada badwi itu, "Berapakah harga barang ini kamu beli?" 

Badwi itu menjawab, "Empat ratus dirham." "Tetapi harga sebenarnya cuma dua ratus dirham sahaja. Mari ke kedai saya supaya saya dapat kembalikan wang selebihnya kepada saudara." Kata saudagar Yunus lagi. "Biarlah, ia tidak perlu. Aku telah merasa senang dan beruntung dengan harga yang empat ratus dirham itu, sebab di kampungku harga barang ini paling murah lima ratus dirham." Tetapi saudagar Yunus itu tidak mahu melepaskan badwi itu pergi. Didesaknya juga agar badwi tersebut balik ke kedainya dan bila tiba dikembalikan wang baki kepada badwi itu. Setelah badwi itu beredar, berkatalah saudagar Yunus kepada saudaranya, "Apakah kamu tidak merasa malu dan takut kepada Allah s.w.t. atas perbuatanmu menjual barang tadi dengan dua kali ganda?" Marah saudagar Yunus lagi. 


"Tetapi dia sendiri yang mahu membelinya dengan harga empat ratus dirham." Saudaranya cuba mempertahankan bahawa dia dipihak yang benar. Kata saudagar Yunus lagi, "Ya, tetapi di atas belakang kita terpikul satu amanah untuk memperlakukan saudara kita seperti memperlakukan terhadap diri kita sendiri." 


Jika kisah ini dapat dijadikan tauladan bagi peniaga-peniaga kita yang beriman, amatlah tepat. Kerana ini menunjukkan peribadi seorang peniaga yang jujur dan amanah di jalan mencari rezeki yang halal. Jika semuanya berjalan dengan aman dan tenteram kerana tidak ada penipuan dalam perniagaan. 

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah itu penetap harga, yang menahan, yang melepas dan memberi rezeki dan sesungguhnya aku harap bertemu Allah di dalam keadaan tidak seorang pun dari kamu menuntut aku lantaran menzalimi di jiwa atau diharga." (Diriwayat lima imam kecuali imam Nasa'i)


Monday, 20 February 2012

Pembakar Roti

Pembakar Roti





Diriwayatkan dari sebuah kitab, terdapat seorang wanita pembakar roti di zaman Nabi Isa (A.S.). Suatu hari sedang wanita tersebut membakar roti maka berkumandaglah panggilan untuk menyembah ALLAH SWT. Wanita tersebut dengan bingkas bangun dan meninggalkan roti yang sedang dibakar semata2 untuk mengadap ALLAH SWT yang Maha Besar.
Dengan hati yang penuh bimbang dan mengharap, wanita itu telah menyembahkan diri di hadapan Tuhan yang Agung. Ketika itu datanglah syaitan yang menyamar seperti seorang perempuan dan berkata kepada wanita itu “Sudah hangus agaknya roti engkau di tempat pembakaran.”
Jawab wanita itu “Tuhan lebih baik dari roti itu.” Syaitan berasa sangat putus asa kerana tidak berjaya menggoda wanita itu. Lalu syaitan itu mengambil anak wanita tersebut dan dicampakkannya ke dalam bara api. Tidak lama kemudian, suami wanita itu masuk dan didapatinya anaknya sedang bermain main dengan bara api. Melihatkan kejadian yang pelik itu, suami wanita itu terus pergi berjumpa Nabi Isa (AS) dan menceritakan segala yang terjadi. Nabi Isa (AS) berkata “Bawa daku kepada anakmu”. Setelah Nabi Isa (AS) melihat kanak kanak tersebut sedang bermain main dengan bara api maka beliau berasa amat takjub.
Lebih lebih lagi di celah celah bara api itu tumbuh sebatang pohon delima dengan buahnya dan kanak kanak itu menghisap buahnya. Bara api itu pun bertukar menjadi batu batu permata iaitu aked dan lukluk. Kanak kanak itu bermain main dengan gembira dengan batu batu permata itu.
Lalu Nabi Isa (AS) menyuruh membawa isteri lelaki itu untuk mendapat kepastian. “Apakah pekerjaan yang kamu telah lakukan sehingga ALLAH SWT memuliakan kamu dengan kemulian ini?”
“Jawab wanita itu “Aku selalu mengamalkan tiga perkara di dalam hidupku.
Pertama, wuduk tidak pernah hilang daripada diriku melainkan aku memperbaharuinya kembali apabila batal.
Kedua, aku selalu memikirkan orang mati diusung oleh orang hidup di kubur. Aku juga akan menemui nasib seperti mereka suatu hari nanti.
Ketiga, hajat manusia akan aku cuba capaikan sedaya upayaku semata mata untuk mencapai keredhaan di sisi ALLAH SWT.”
Setelah Nabi Isa (A.S.) mendengar kata kata wanita tersebut, maka beliau berkata “Inilah warisan para anbiya dan jikalau kamu lelaki nescaya aku akan naik saksi bahawasanya kamu adalah seorang Nabi. Tapi tidak ada nabi untuk perempuan.
Keikhlasan mempunyai kilauan dan sinar… meskipun ribuan mata tidak melihatnya …

Mengenali Syaitan Jin dan Iblis

Syaitan Jin dan Iblis

Beriman Kepada yang Ghaib.

Beriman kepada yang ghaib adalah termasuk salah satu asas dari akidah Islam, bahkan ianya merupakan sifat yang pertama dan utama yang dimiliki oleh Allah S.W.T. Justeru itu, bagi setiap orang Muslim, mereka wajib beriman kepada yang ghaib, tanpa sedikitpun ada rasa ragu. Dalam perkara ini Ibn Mas’ud mengatakan: Yang dimaksudkan dengan yang ghaib itu ialah segala apa saja yang ghaib dari kita dan perkara itu diberitahukan oleh Allah dan Rasul-Nya. Begitu juga jin. Jin termasuk makhluk ghaib yang wajib kita imani, kerana banyak ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadis Nabi yang menerangkan tentang wujudnya.
Walaupun jin itu tidak dapat dilihat, maka bukanlah bererti ia tidak ada. Sebab berapa banyaknya sesuatu yang tidak dapat kita lihat di dunia ini, akan tetapi benda itu ada. Angin misalnya, kita tidak dapat melihatnya, tetapi hembusannya dapat kita rasakan. Begitu juga roh yang merupakan hakikat dari kehidupan kita, kita tidak dapat melihatnya serta tidak dapat mengetahui tentang hakikatnya akan tetapi kita tetap meyakini wujudnya.

Apakah itu Jin?

Jin adalah nama jenis, bentuk tunggalnya adalah Jiniy ( dalam bahasa arab dahulu kala, dan Genie dalam bahasa Inggeris ) yang ertinya “yang tersembunyi” atau “yang tertutup” atau “yang tak terlihat”. Hal itulah yang memungkinkan kita mengaitkannya dengan sifat yang umum “alam tersembunyi”, sekalipun akidah Islam memaksudkannya dengan makhluk-makhluk berakal, berkehendak, sedar dan punya kewajipan, berjasad halus and hidup bersama-sama kita di bumi ini. Dalam sebuah hadith dari Abu Tha’labah yang bermaksud : “Jin itu ada tiga jenis iaitu : Jenis yang mempunyai sayap dan terbang di udara, Jenis ular dan jengking dan Jenis yang menetap dan berpindah-pindah.”

Awal Penciptaan Jin

Allah S.W.T. menciptakan jin sebelum menciptakan manusia, dengan selisih waktu yang lama bila dikiaskan pada manusia mahupun jin sendiri. Allah S.W.T. berfirman ( maksudnya ) : “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari tanah liat kering ( yang berasal ) dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Dan Kami telah menciptakan jin, sebelum itu dari api yang sangat panas. ( Surah Al-Hijr: 26-27 ).

Bagaimana Jin dan Syaitan Hidup?

Jin adalah makhluk yang sangat banyak sekali penduduknya, boleh dikatakan sama bilangan penduduk bumi sebanyak 5 bilion. Jarang ada suatu tempat di bumi ini yang tidak diduduki oleh jin, baik di daratan, lautan mahupun udara. Dunia mereka seperti dunia kita : Ada negara, kerajaan, berbagai bangsa & kabilah, penguasa dan rakyat jerata. Agama mereka pun tidak berbeza dengan agama manusia. Diantara mereka, alhamdulillah, ada yang Muslim dan memperoleh hidayah dari Allah S.W.T. Yang lain, beragama Masehi, Hindu, Buddha, penyembah berhala dan penganut ajaran komunis.

Tempat tinggal Jin?

Makhluk jin lebih mengutamakan untuk tinggal di tempat-tempat yang sunyi dan sepi dari manusia seperti di padang pasir. Ada yang tinggal di tempat-tempat kotor seperti di tempat pembuangan sampah kerana mereka memakan makanan lebihan manusia.
Ada juga mereka yang tinggal bersama manusia iaitu di dalam rumah. Abu Bakar bin Ubaid meriwayatkan: “Pada setiap rumah kaum muslimin ada jin Islam yang tinggal di atapnya, setiap kali makanan diletakkan, maka mereka turun dan makan bersama penghuni rumah.”
Jin juga menjadikan tandas sebagai tempat tinggalnya. Rasullullah s.a.w. telah bersabda: “Sesungguhnya pada tiap-tiap tempat pembuangan kotoran ada didatangi jin, kerana itu bila salah seorang kamu datang ke tandas maka hendaklah ia mengucapkan doa: ” Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadamu dari jin lelaki dan perempuan” (HR. Abu Dawud)
Jin juga sangat suka tinggal di lubang-lubang. Oleh kerana itu dalam sebuah hadis dijelaskan yang maksudnya: “Janganlah kamu kencing dilubang.” (HR. An-Nas’i)

Kerajaan Iblis?

* Iblis mempunyai kerajaan yang sangat besar. Ada menteri-menteri, pemerintahan dan pejabat-pejabat. Iblis juga mempunyai wakil-wakil, lima di antaranya wajib diwaspadai :
* Yang pertama, menurut kalangan Jin, bernama Tsabar. Dia selalu mendatangi orang yang sedang kesusahan atau ditimpa musibah, baik kematian isteri, anak ataupun kaum kerabat. Kemudian dia melancarkan bisikannya dan menyatakan permusuhannya kepada Allah. Diucapkannya, melalui mulut orang yang ditimpa musibah itu, keluh-kesah and caci-maki terhadap ketentuan Allah atas dirinya.
* Yang kedua, namanya ialah Dasim. Syaitan inilah yang selalu berusaha dengan sekuat tenaganya untuk mencerai-beraikan ikatan perkahwinan, membuat rasa benci antara satu sama lain di kalangan suami-isteri, sehingga menjadi penceraian. Dia adalah anak kesayangan Iblis di wilayah kerajaannya yang sangat besar.
* Yang ketiga, namanya ialah Al-A’war. Dia dan seluruh penghuni kerajaannya, adalah pakar-pakar dalam urusan mempermudah terjadinya perzinaan. Anak-anaknya menghiaskan indah bahagian bawah tubuh kaum wanita ketika mereka keluar rumah, khususnya kaum wanita masa kini, betul-betul menggembirakan Iblis di kerajaan yang besar. Segala persoalan yang menyangkut keruntuhan moral dan perzinahan berurusan dengan pejabat besar mereka.
* Yang keempat, namanya ialah Maswath, pakar dalam menciptakan kebohongan-kebohongan besar mahupun kecil. Bahkan kejahatan yang dia dan anak-anaknya lakukan sampai pada tingkat dia memperlihatkan diri dalam bentuk seseorang yang duduk dalam suatu pertemuan yang disenggarakan oleh manusia, lalu menyebarkan kebohongan yang pada gilirannya disebarkan pula oleh manusia.
* Yang kelima, namanya ialah Zalnabur. Syaitan yang satu ini berkeliaran di pasar-pasar di seluruh penjuru dunia. Merekalah yang menyebabkan pertengkaran, caci-maki, perselisihan dan bunuh-membunuh sesama manusia.
Untuk menghindarinya hendaklah mengucapkan :
Aku berlindung kepada Allah dari gangguan syaitan, ( ** Sebutkan namanya : Tsarbar / Dasim / Al-A’war / Maswath / Zalnabur ) yang terkutuk, serta pengikut-pengikut dan anak-anaknya.
Menurut buku Asy-Syibli meriwayatkan sebuah riwayat dari Zaid bin Mujahid yang mengatakan bahawa, “Iblis mempunyai lima anak, yang masing-masing diserahkan urusan-urusan tertentu. Kemudian dia memberi nama masing-masing anaknya : Tsabar, Dasim, Al-A’war, Maswath dan Zalnabur.”
Jin dan Iblis adalah salah satu makhluk ghaib.

Sumber : http://www.koleksiartikel.com

Monday, 6 February 2012

Berkat Membaca Basmallah


Ada seorang perempuan tua yang taat beragama, tetapi suaminya seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu berbuat kebaikan. Perempuan itu sentiasa membaca Bismillah setiap kali hendak bercakap dan setiap kali dia hendak memulakan sesuatu sentiasa didahului dengan Bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya. Suaminya berkata sambil mengejak, "Asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-sekejap Bismillah."

Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah s.w.t. supaya memberikan hidayah kepada suaminya. Suatu hari suaminya berkata : "Suatu hari nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu."

Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata, "Simpan duit ini." Isterinya mengambil duit itu dan menyimpan di tempat yang selamat, di samping itu suaminya telah melihat tempat yang disimpan oleh isterinya. Kemudian dengan senyap-senyap suaminya itu mengambil duit tersebut dan mencampakkan beg duit ke dalam perigi di belakang rumahnya.

Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan berkata, "Berikan padaku wang yang aku berikan kepada engkau dahulu untuk disimpan." Kemudian isterinya pergi ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh suaminya dengan berhati-hati dia menghampiri tempat dia menyimpan duit itu dia membuka dengan membaca, "Bismillahirrahmanirrahiim." Ketika itu Allah s.w.tmenghantar malaikat Jibrail A.S. untuk mengembalikan beg duit dan menyerahkan duit itu kepada suaminya kembali.

Alangkah terperanjat suaminya, dia berasa bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada isterinya, ketika itu juga dia bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah s.w.t., dan dia juga membaca Bismillah apabila dia hendak memulakan sesuatu kerja.

Friday, 28 October 2011

MUKJIZAT DI SEBALIK BISMILLAH





BISMILLAH adalah sebutan/nama singkatan dari lafaz ' BISMILLAHIR ROHMAANIR ROHIIM ' yang bermaksud ' Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. ' 



KELEBIHAN-KELEBIHAN BISMILLAH 



1. Yang pertama ditulis Qalam adalah BISMILLAH. Maka apabila kamu menulis sesuatu, maka tulislah BISMILLAH pada awalnya kerana BISMILLAH tertulis pada setiap wahyu yang Allah turunkan kepada Jibrail. 


2. 'BISMILLAH untukmu dan umahmu, suruhlah mereka apabila memohon sesuatu dengan BISMILLAH. Aku tidak akan meninggalkannya sekejap mata pun sejak BISMILLAH diturunkan kepada Adam. ' (Hadith Qudsi)


3. Tatkala BISMILLAH diturunkan ke dunia, maka semua awan berlari ke arah barat, angin terdiam, air laut bergelora, mendengarkan seluruh binatang dan terlempar semua syaitan. 



4. Demi Allah dan keagunganNya, tidaklah BISMILLAH itu dibacakan pada orang sa kit melainkan menjadi ubat untuknya dan tidaklah BISMILLAH dibacakan di atas sesuatu melainkan Allah beri berkat ke atasnya.


5. Barangsiapa yang ingin hidup bahagia dan mati syahid, maka bacalah BISMILLAH setiap kali memulakan sesuatu perkara yang baik. 



6. Jumlah huruf dalam BSMILLAH ada 19 huruf dan malaikat penjaga neraka ada 19 ( QS.AL       Muddatsir:30) .Ibnu Mas ' ud berkata: ' Sesiapa yang ingin Allah selamatkan dari 19 malaikat neraka maka bacalah BISMILLAH 19 kali setiap hari. ' 


7. Tiap huruf BISMILLAH ada JUNNAH (penjaga/khadam) hingga tiap huruf berkata, ' Siapa yang membaca BISMILLAH maka kamilah kekuatannya dan kamilah kehebatannya. ' 

8. Barangsiapa yang memuliakan tulisan BISMILLAH nescaya Allah akan mengangkat namanya di syurga yang sangat tinggi dan diampunkan segala dosa kedua orang tuanya. 

9. Barangsiapa yang membaca BISMILLAH maka akan bertasbihlah segala gunung kepadanya. 

10. Barangsiapa yang membaca BISMILLAH sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, maka akan terpelihara dari gangguan syaitan, kecurian dan kebakaran, maut mendadak dan bala. 

11. Barangsiapa yang membaca BISMILLAH sebanyak 50 kali di hadapan orang yang zalim, hinalah dan masuk ketakutan dalam hati si zalim serta naiklah keberanian dan kehebatan kepada si pembaca. 





Sumber : Kawan-kawan

Thursday, 13 October 2011

MALAS PUNCA KEGAGALAN



Dalam menempuh hidup yang serba mencabar, tidak dinafikan ada segelintir daripada kita yang akan ketinggalan. Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada kegagalan. Antaranya tidak mempunyai tujuan hidup, kurangnya keyakinan, tidak berdisplin dan tidak berani mengambil risiko. Namun faktor utama mungkin boleh dikaitkan dengan sifat malas. Perasaan itu wujud seiring dengan keengganan kita melakukan sesuatu tugas dan suka menunda kerja. Seterusnya melarikan diri daripada kewajipan. Implikasi yang diberikan oleh perasaan amat kuat. Apabila satu perasaan itu terdetik di hati secara langsungnya akan mempengaruhi fikiran dan fizikal kita. Keadaan ini akan menjadi teruk sekiranya rasa tersebut dilayan dalan jangkamasa yang lama. Pengaruhnya amat kuat dalam memberi impak kepada kejayaan seseorang.

Mungkin panduan yang di senaraikan ini mampu digunakan oleh remaja dan pekerja untuk terus menongkah arus perdana yang semakin sengit persaingannya.


  • Menetapkan tujuan : Orang malas tidak memiliki motivasi untuk berkembang ke arah kehidupan yang lebih baik. Ini membuatkan mereka tidak mempunyai tujuan atau matlamat hidup yang nyata dan jelas. Keadaan ini hanya mengakibatkan kehidupan mereka terumbang-ambing dan menjadi pasif. Seterusnya cenderung menyerah kepada nasib. Dengan itu, kehidupan yang kita jalani akan berasa bosan. Jika diamati, tujuan hidup ini mampu menyentuh emosi dan mencetuskan perasaan untuk berbuat sesuatu. Secara tidak langsung mendorong dan membakar semangat manusia agar berjaya. Setiap manusia yang dicipta itu adalah unik sama ada dalam aspek minat, kecenderungan, kebolehan, cara berfikir dan bertindak.

  • Berani hadapi cabaran : Orang yang malas juga boleh dikaitkan dengan mereka yang takut menghadapi kegagalan. Ia disebabkan mereka merasa malu dan kurang keyakinan untuk berdepan masalah yang dihadapinya. Berani menghadapi risiko untuk meraih kejayaan dalam hidup adalah penting bagi setiap individu. Setiap perjuangan perlu disertai dengan risiko. Di saat anda dihantui perasaan cemas dan takut, seharusnya jangan melarikan diri tetapi menghadapi dengan tenang kerana kejayaannya mampu membangkitkan keyakinan diri. Gunakan masa silam kita sebangai guru paling berguna untuk mengubah kehidupan. Kata orang, alah bisa tegal biasa.

  • Meningkatkan keyakinan diri : untuk terus memangkin kejayaan seharusnya kita perlu terus berlatih dan berusaha meningkatkan kemampuan diri. Berada dalam keadaan yang sama hanya mengakibatkan produktiviti dan motivasi untuk berjaya semakin berkurang. Belajar adalah kunci untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran. Sekiranya kita terus tekun, secara tidak langsung kemampuan kita juga akan meningkat. Semangat ketekunan itu boleh terus membara jika anda menyemat dalam fikiran dengan kata-kata "Saya ingin dan mahukan perkara tesebut".

  • Disiplin diri : disiplin melatih seseorang mengawal kelakuan untuk berjaya. ia menggabungkan sikap sabar berorientasi matlamat dan tanggungjawab dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Perkara yang perlu ada dalam pemikiran seseorang dalam mencapai tahap disiplin yang tinggi adalah kekuatan dalam melawan segala dugaan. Golongan berdisiplin adalah mereka yang menghormati janji dan kometmen yang telah dibuat dalam diri mereka. Sikap begini secara langsung membina semangat kemahuan tinggi, pengorbanan, tumpuan, sikap terbuka dan mencabar minda mereka untuk mencapai apa yang diingini.


                                                                                                                         Sumber Buletin AKRAB

Friday, 5 August 2011

Salah Satu Sebab Allah S.W.T Mewajibkan Puasa

NAFSU YANG DEGIL

Dalam sebuah kitab karangan 'Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama yang hidup dalam abad ke 13 Hijrah, menerangkan bahawa sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan akal, maka Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud : "Wahai akal mengadaplah engkau." Maka akal pun mengadap kehadapan Allah S.W.T., kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal berbaliklah engkau!", lalu akal pun berbalik.

Kemudian Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud : "Wahai akal! Siapakah aku?". Lalu akal pun berkata, "Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang daif dan lemah."
Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal tidak Ku-ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau."

Setelah itu Allah S.W.T menciptakan nafsu, dan berfirman kepadanya yang bermaksud : "Wahai nafsu, mengadaplah kamu!". Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku, dan Engkau adalah Engkau."

Setelah itu Allah S.W.T menyiksanya dengan neraka jahim selama 100 tahun, dan kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau."

Lalu Allah S.W.T menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu' selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan maka Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, " Aku adalah hamba-Mu dan Kamu adalah tuhanku."
Dalam kitab tersebut juga diterangkan bahwa dengan sebab itulah maka Allah S.W.T mewajibkan puasa.

Kesimpulan dalam kisah ini
, dapatlah kita mengetahui bahawa nafsu itu adalah sangat jahat, oleh itu hendaklah kita mengawal nafsu itu, jangan biarkan nafsu itu mengawal kita, sebab kalau dia yang mengawal kita maka binasalah kita.



Sumber : kawan-kawan

Wednesday, 3 August 2011

Keberkatan surah al-ikhlas




Ketika Memulakan Kerja

Bacalah ayat ini sebelum anda memulakan apa-apa saja kerja kerana dengan bacaan ini akan keluarlah iblis dan syaitan yang berada didalam tubuh kita dan juga di sekeliling kita, mereka akan berlari keluar umpama cacing kepanasan.

Sebelum Masuk Ke Rumah


Sebelum anda masuk rumah, bacalah surah Al-Ikhlas (sebanyak 3 kali. Masuklah rumah dengan kaki kanan dan dengan membaca bismillah. Berilah salam kepada anggota rumah dan sekiranya tiada orang di rumah berilah salam kerana malaikat rumah akan menyahut.

Amalkanlah bersolat kerana salam pertama (ianya wajib) yang diucapkan pada akhir solat akan membantu kita menjawab persoalan kubur. Apabila malaikat memberi salam, seorang yang jarang bersolat akan sukar menjawab salam tersebut. Tetapi bagi mereka yang kerap bersolat, amalan daripada salam yang diucap di akhir solat akan menolongnya menjawab salam malaikat itu.

Ketika Sakit


Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia, maka dia tidak akan membusuk di dalam kuburnya, akan selamat dia dari kesempitan kuburnya dan para malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi titian siratul mustaqim lalu menuju ke syurga. Demikian diterangkan dalam Tadzikaratul Qurthuby).

Khatam al-Quran


Rasulullah SAW pernah bertanya sebuah teka-teki kepada umatnya: Siapakah antara kamu yang dapat khatam Qur'an dalam jangka masa dua-tiga minit? Tiada seorang dari sahabatnya yang menjawab. Malah Saiyidina Ummar telah mengatakan bahawa ianya mustahil untuk mengatam Qur'an dalam begitu cepat.Kemudiannya Saiyyidina Ali mengangkat tangannya.. Saiyidina Ummar bersuara kepada Saiyidina Ali bahawa Saiyidina Ali (yang sedang kecil pada waktu itu) tidak tahu apa yang dikatakannya itu. Lantas Saiyidina Ali membaca surah Al-Ikhlas tiga kali. 



Rasulullah SAW menjawab dengan mengatakan bahawa Saiyidina Ali betul. Membaca surah Al-Ikhlas sekali ganjarannya sama dengan membaca 10 jus kitab Al-Quran. Lalu dengan membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali qatamlah Quran kerana ianya
sama dengan membaca 30 jus Al-Quran.



Pahala Membacanya

Berkata Ibnu Abbas r.a.. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Ketika saya (Rasulullah SAW) israk ke langit, maka saya telah melihat Arasy di atas 360,000 sendi dan jarak jauh antara satu sendi ke satu sendi ialah 300,000 tahun perjalanan. Pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang
sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang Sahara itu seluas dari timur hingga ke barat.

Pada setiap padang sahara itu terdapat 80,000 malaikat yang mana kesemuanya membaca surah Al-Ikhlas. Setelah mereka selesai membaca surah tersebut maka berkata mereka: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya pahala dari bacaan kami ini kami berikan kepada orang yang membaca surah Al-Ikhlas baik ianya lelaki mahupun perempuan.



Sabda Rasulullah SAW lagi: Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya Qul Huwallahu Ahadu itu tertulis di sayap malaikat Jibrail a.s, Allahhus Somad itu tertulis di sayap malaikat Mikail a.s, Lamyalid walam yuulad tertulis pada sayap malaikat Izrail a.s, Walam yakullahu kufuwan ahadu tertulis pada sayap malaikat Israfil a..s.

Nota


Jika sekiranya kawan-kawan ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada kawan2 yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: 'Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat'. Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama:
     (1) Sedekah/amal jariahnya,
           (2) Doa anak-anaknya yang soleh dan
                 (3) Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain..





Sumber : kawan-kawan

Monday, 1 August 2011

UNTUK PERINGATAN BERSAMA

Berita tentang bayi bermata satu yang dilahir di Israel beberapa tahun lalu menjadi gempar. Ramai yang membuat ramalan, inilah dajal yang dijanjikan Allah lewat hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w.. Kemunculan dajal di akhir zaman memang sentiasa ditunggu-tunggu. Dan memang kita pun sekarang ini telah berada di satu episod akhir zaman. Tanda-tanda kecil kiamat sudah kita lihat hampir keseluruhannya, setiap hari. Hanya menanti tanda-tanda besar saja yang belum berlaku. Antaranya dajal.

Dajal… popularnya manusia yang memiliki nama itu. Ada berbagai-bagai versi cerita tentangnya yang menimbulkan bermacam-macam persepsi. Tapi kebanyakan orang Islam di Malaysia dan Nusantara amnya beranggapan dajal adalah makhluk bermata satu melintang. Ada juga yang mengatakan bahawa dia separuh manusia dan separuh jin kerana ibunya berasal dari keturunan jin dan ayahnya daripada bangsa Yahudi.
 
Sebagaimana yang telah disebutkan di awal-awal tadi, dajal adalah manusia dan sememangnya dia adalah manusia biasa. Dia bukan keturunan jin, gergasi, dewa atau apa saja yang selain manusia. Banyak persoalan yang timbul tentang dajal menjadi salah faham. Antaranya: Siapa dajal? Di mana tempat tinggalnya? Siapa keturunannya? Bila dia dilahirkan? Bagaimana rupa fizikalnya? Bila dia akan muncul? Dan bagaimana untuk mengelakkannya?
 
 
Memang benar dajal tidak ada disebut di dalam al-Quran tetapi ia banyak disebut di dalam hadis nabi. Malah banyak hadis nabi yang salih menceritakan tentang dajal, yang menyebutnya sebagai salah satu tanda besar kiamat. Masalahnya banyak juga hadis yang palsu tentang dajal, ia menimbulkan salah faham masyarakat tentangnya.
 
Menurut pensyarah Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Fadlan Mohd. Othman, banyak hadis yang salih menceritakan perihal dajal yang lengkap termasuk untuk mengelakkan fitnah dajal.
 
Katanya berdasarkan dari hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, “Sesungguhnya dajal adalah lelaki yang pendek, badan gempal, matanya rosak (mengecut). Kalau kamu masih ragu-ragu tentang Tuhan kamu. Sesungguhnya Tuhan kamu tidak rosak matanya.

Dari situ sudah jelas bahawa dajal adalah manusia biasa yang diberikan Allah kekuasaan luar biasa. Setiap nabi yang diutus akan memberi peringatan berkenaan dajal yang matanya rosak dan pembohong.

Tambahnya lagi, dajal adalah manusia yang ada keistimewaan, telah hidup sejak zaman Nabi Muhammad. Dia digelar  al-Masihi ad-dajal kerana matanya yang rosak dan kebolehan luar biasanya menghidupkan orang mati.
 
“Tertulis di dahinya perkataan, ‘Kaf-Fa-Ra’ (kafir). Tulisan itu boleh dibaca oleh semua orang Islam sama ada dia pandai membaca atau tidak. Asalkan orang itu mengucap syahadat maka tulisan itu boleh dibaca.
 
“Yang pastinya dajal adalah manusia yang ditangguhkan ajalnya oleh Allah, sehingga suatu masa dengan keizinan Allah dia akan muncul semula untuk menguji keimanan manusia,” jelas Fadlan.

Terdapat lagi hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah di dalam sahih Muslim bermaksud, “Dajal ialah orang yang buta mata sebelah kirinya, lebat rambutnya serta mempunyai syurga dan neraka. Nerakanya itu merupakan syurga dan syurganya pula adalah neraka.”
 
 
KEISTIMEWAAN DAJAL

Allah memberikan dajal banyak keistimewaan untuk menguji keimanan manusia ketika akhir zaman nanti. Semua itu telah dijelaskan di dalam hadis sahih. Di antara keistimewaannya selain boleh menghidupkan orang mati, dajal juga ada beberapa keistimewaan. Antaranya:

Pertama, ada bersamaan syurga dan neraka. Dajal akan menggunakan kedua-duanya untuk menguji keimanan orang Islam. Apa yang dajal berikan sebagai syurga sebenarnya adalah neraka. Dan apa yang diperlihatkan sebagai neraka sebenarnya adalah syurga.
 
Kedua, dajal akan pergi ke daerah yang kemarau, kebuluran dan hasil dagangan tidak menjadi. Dajal akan menurunkan hujan di daerah itu jika penduduknya mengaku beriman kepadanya. Maka daerah itu akan kembali subur dan hasil dagangan melimpah ruah. Manakala bagi daerah yang penduduknya tidak mahu mengaku dajal sebagai tuhan, akan berada di dalam kebuluran dan kesusahan.
 
Ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bermaksud, “Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah, apa yang dimakan oleh orang Islam yang beriman pada hari itu nanti?”
 
Rasulullah menjawab, “Mereka akan menjadi kenyang dengan tahlil, takbir, tasbih dan bertaubat. Zikir-zikir itu yang akan menjadi makanan mereka.”
 
Ketiga, boleh menjelajahi seluruh pelosok bumi ini di dalam masa 40 hari dan kepantasan yang luar biasa. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim menjelaskan, “Kami bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana kepantasan perjalanannya di muka bumi ini? Nabi menjawab: “Kepantasan perjalanannya adalah seperti Al-Ghaist (hujan atau awan) yang dipukul angin kencang.” Hanya dua tempat saja yang tidak boleh dimasuki oleh dajal iaitu Mekah dan Madinah.

Menurut Fadlan, Nabi mengingatkan orang yang beriman supaya menghindarkan diri dari berjumpa dengan dajal. Malah nabi bersabda, hanya seorang lelaki dari Madinah yang dapat berdepan dengan dajal. Lelaki itu akan mengatakan bahawa kamu adalah dajal lalu lelaki itu dibunuh oleh dajal. Kemudian dajal menghidupkan semula lelaki itu. Lalu dajal berkata tidakkah kamu percaya kepada aku. Lelaki itu menjawab, “Tidak, melainkan bertambah keimananku kepada Allah.” Kemudian dajal cuba membunuh lelaki itu tetapi telah diselamatkan oleh Allah.
 
BILA DAJAL DILAHIRKAN
Menurut Fadlan, dajal telah ada di muka bumi ini sejak zaman nabi lagi. Ia telah dipenjarakan di sebuah pulau seperti mana yang disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Fatimah Qais, Nabi menceritakan tentang Tamin ad-Dari yang beragama Kristian tetapi telah memeluk Islam. Tamin pernah bercerita padaku tentang satu perkara yang pernah aku ceritakan kepada kalian mengenai al-Masihi ad-dajal.
 
Tamin telah berlayar bersama 30 orang anak kapalnya. Tiba-tiba kapalnya dipukul rebut dan mereka terdampar di sebuah pulau. Di pulau itu ada seekor binatang yang lebat bulunya hingga tidak dapat dikenal yang mana ekor dan kepalanya. Binatang itu yang dinamakan al-Jassasah (si pencari berita). Di situlah bermulanya dialog anataraTamim dan al-Jassasah.
 
Al-Jassasah: Wahai manusia pergilah kamu berjumpa dengan lelaki itu.
 
Lalu Tamim dan kumpulannya masuk ke dalam hutan dan berjumpa dengan manusia yang dimaksudkan. Lelaki itu mempunyai saiz badan yang besar daripada manusia biasa, dirantai dengan rantai yang cukup kuat, tangannya diikat ke leher, di antara lutut dan buku lalinya dirantai dengan besi.
 
Tamim: Siapakah kamu?
 
Dajal: Kamu akan tahu siapa aku nanti. Tapi siapa kamu?
 
Tamim pun jelaskan siapa dia sebenarnya dan kisah kapalnya yang dipukul badai lalu terdampar di pulau itu.
 
Tamim: Kami adalah orang Arab, kami sesat.
 
Dajal: Beritahu aku tentang kebun-kebun kurma di Bysan. Adakah ia sedang berbuah?
 
Tamim: Ya.
 
Dajal: sekejap lagi kebun itu tidak akan berbuah lagi. Beritahu aku tentang tasik Tabariah, adakah masih banyak airnya?
 
Tamim: Airnya banyak lagi.
 
Dajal: Tidak lama lagi airnya akan berkurangan dan kering. Beritahu aku tentang mata air Zughar. Adakah masih banyak airnya dan digunakan oleh penduduk untuk bertani.
 
Tamim: Banyak dan masih digunakan oleh penduduk.
 
Dajal: Tidak lama lagi air itu akan kering. Ceritakan padaku tentang nabi Arab yang buta huruf. Sudahkah dia keluar dari Mekah dan menetap di Madinah. Adakah orang Arab sudah memeranginya dan kemudian mentaatinya?
 
Tamim: Dia sudah keluar dari Mekah dan menuju Madinah. Orang Arab telah mentaatinya.
 
Dajal: Betulkah itu? Sesungguhnya mentaatinya adalah lebih baik. Aku akan mengatakan pada kamu tentang diri aku. Aku adalah al-Masihi ad-dajal sesungguhnya masanya sudah semakin hampir aku akan diizinkan untuk keluar. Aku akan berjalan di muka bumi dan masuk ke seluruh daerah di dalam tempoh 40 hari kecuali Mekah dan Madinah. Kedua-dua negeri itu dilarang bagiku, setiap kali aku ingin memasukinya aku akan diadang oleh malaikat yang di tangannya ada pedang berkilau dan tajam menghambatku.
 
DAJAL TINGGAL DI MANA?

Di manakah kedudukan pulau itu pun dijawab oleh Nabi Muhammad menerusi sabdanya,: “Ketahuilah bahawa dajal berada di laut Syam dan laut Yemen… akan datang dari arah Timur (lalu baginda menunjukkan tangannya sebelah Timur).” – Riwayat Muslim.
 
 Kemudian ada satu lagi hadis yang menunjukkan dengan tepat dari mana dajal keluar yang kemudian disertai oleh pengikutnya terdiri dari orang perempuan dan kanak-kanak. Daripada Abu Bakr al-Siddiq, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Dajal akan muncul ke bumi dari arah Timur bersama Khurasan.” Riwayat al-Tarmizi.
 
Di dalam hadis yang lain pula daripada Anas bin Malik, bersabda Rasulullah s.a.w.,: “Dajal akan keluar dari kota Yahudi, Khurasan bersama 70,000 Yahudi dari Isfahan.” – Riwayat Imam Ahmad.
 
Menurut Fadlan, ketika keluarnya dajal, ramai perempuan dan kanak-kanak akan menjadi pengikutnya. Sehinggakan orang lelaki terpaksa bertindak mengikat ahli keluarga perempuan mereka supaya tidak menjadi pengikut dajal.

“Menerusi penyelidikan yang saya lakukan juga, didapati bahawa air tasik Tabaria yang terletak di sempadan Syria-Palestin dan mata air Zughar si Selatan Syria sudah semakin berkurangan.

Adakah itu bermakna dajal sudah semakin hampir tempoh pembebasannya. Jika benar apakah persediaan kita untuk menghadapinya?
 
Jelas Fadlan, Rasulullah telah memberikan beberapa tip kepada umatnya untuk mengelakkan fitnah dajal. Perkara pertama perlu dilakukan adalah menghafal 10 ayat pertama surah al-Kahfi.

Kedua kita diarahkan oleh Rasulullah supaya membaca doa ini sebelum salam setiap kali solat, “Ya Allah, aku berlinding dengan-Mu dari azab neraka jahanam, azab kubur, ujian hidup dan mati dan kedahsyatan ujian al-Masihi ad-dajal.”
 
Katanya, dajal akan menjelajah seluruh dunia dan akan berakhir di Baitulmaqadis dan dibunuh oleh Nabi Isa. Seperti mana yang disebut di dalam sahih Muslim, “Dajal akan dibunuh oleh Nabi Isa, selepas Nabi Isa dan umat Islam bersolat di belakang al-Imam Mahdi, mereka berhadapan dengan dajal dan tenteranya. Bila dajal lihat Nabi Isa, dajal akan mula cair. Akan tetapi Nabi Isa dapat membunuhnya dengan menikamnya.”
 
(Dipetik dari Al-Islam keluaran November 2010)

SOAL JAWAB IBLIS DENGAN ALLAH S.W.T



Seorang sahabat Nabi s.a.w bernama Anas b. Malik telah meriwayatkan satu hadis Nabi s.a.w yg menceritakan mengenai pertanyaan-pertanyaan iblis kepada Allah s.w.t tentang banyak perkara. 


1. Iblis bertanya kepada Allah s.w.t: " Ya Tuhanku! Engkau telah memberikan kepada anak Adam itu tempat tinggal, iaitu rumah untuk berzikir kepadaMu.Tunjukkanlah kepadaku tempat kediamanku." Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Wahai iblis! tempat kediamanmu ialah bilik air (tandas)."

2. Iblis berkata:"Ya Tuhanku! Engkau telah memberikan kepada anak adam itu tempat mereka berkumpul (masjid, surau), dimanakah tempat bagiku berkumpul?." Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Wahai iblis! tempatmu berkumpul ialah di pasar-pasar, tampat-tempat hiburan (pusat membeli-belah, kelab malam, pesta-pesta, majlis maksiat) dan sebagainya."

3. Iblis berkata lagi:"Ya Tuhanku! Engkau telah memberikan mereka anak Adam itu kitab untuk mereka membacanya. Tunjukkanlah padaku apakah bahan bacaanku?" Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Wahai Iblis, bahan bacaanmu ialah syair (sajak, lagu, puisi yang melalaikan manusia dari mengingati Tuhan).

4. Iblis berkata:"Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan mereka cerita-cerita (kata-kata benar), apakah cerita-cerita bagiku?". Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Cerita-cerita bagimu adalah kata-kata dusta (bohong atau yng berkaitan dengannya)".


5. Iblis bertanya lagi: "Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan azan kepada anak Adam untuk mengajak atau mengumpulkan orang datang bersembahyang berjemaah, apakah azanku untuk mengumpul orang?". Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Wahai iblis, azan untuk mu ialah seruling."


6. Tanya iblis lagi: "Ya Tuhanku! Engkau telah mengutus para utusanmu (para nabi dan rasul) kepada anak Adam, siapakah yang menjadi utusan bagiku?". Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Wahai iblis para utusanmu ialah terdiri dari dukun (peramal nasib), ataupun yang lebih kurang sama dengannya."

7. Kata iblis:"Ya Tuhanku! Engkau telah berikan kitab bertulis (ayat-ayat Al-Quran)kepada anak Adam. Apakah tulisan bagiku?." Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Wahai iblis, tulisanmu adalah tulisan gincu yang palsu dibadan, (seperti gincu, tatu, tahi lalat yang diada-adakan dan yang lebih kurang sama dengannya).

8. kata iblis: "Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan kepada anak Adam itu perangkap-perangkap. Apakah perangkap bagiku?." Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:"wahai iblis, perangkap untukmu ialah wanita-wanita."

9. Kata iblis:"Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan makanan kepada anak-anak Adam (yang disebutkan namaMu), apakah makanan untukku?. "Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Wahai iblis, makanan untukmu ialah sesuatu yang tidak disebut nama Allah."

10. Kata iblis: "Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan minuman kepada anak-anak Adam, apakah minuman untukku? "Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Wahai iblis, minuman untukmu ialah sesuatu yang memabukkan dan yang tidak dimulakan dengan nama Allah."






Sumber : kawan-kawan

RENUNGAN DAN TIPS RAMADHAN 2011M/1432H






Syukur kehadrat Allah swt kerana kita masih berpeluang untuk menjalani ibadah puasa Ramadhan sekali lagi pada tahun ini.  Semoga kita mampu menjalani ibadah di bulan Ramadhan dengan cemerlang dan berkualiti.

Marilah kita menunaikan ibadah puasa sehingga mencapai tahap TAQWA seperti tuntutan Allah swt yang terpatri kukuh dalam surah Al-Baqarah ayat 183. Kita perlu menunaikan ibadah puasa dengan sempurna iaitu menahan diri dari makan dan minum serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Di sini saya ingin berkongsi dengan muslimin dan muslimat antara beberapa tips yang boleh membantu meningkatkan kesempurnaan ibadah dalam bulan Ramadhan ;

Ø  Konsisten ibadah dari hari pertama hingga akhir Ramadhan ( perlu ada mind-setting).

Ø  Tunaikan solat fardhu dengan sempurna, on-time, khusyuk dan faham makna bacaan.

Ø  Memelihara anggota zahir & batin daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mengurangkan kualiti dan pahala puasa seperti berkunjung ke tempat-tempat maksiat, mengumpat, dengki dan lain-lain lagi.

Ø  Berbuka puasa (iftar) dengan kurma dan teh ‘O’ suam / air suam. Solat maghrib dan sambung makan malam.

Ø  Makan sederhana ketika berbuka puasa, moreh dan sahur. Ketika mengunjungi Bazar Ramadhan, elakkan daripada  menjadi Bazir Ramadhan dan marilah kita berpesta Ibadah bukannya Pesta Juadah. Bagi peminat buffet Ramadhan di hotel-hotel, pastikan berbuka dengan sederhana & pilih makanan sihat sahaja DAN jangan lupa solat maghrib DAN pastikan ketika berbuka puasa tidak diiringi dengan acara-acara maksiat. Bertolak balik dari hotel sebelum masuk waktu Isyak supaya kita dapat tunaikan solat Terawikh atau solat Terawikh di surau hotel (jika ada).

Ø  Menunaikan solat terawikh 20 rakaat atau sekurang-kurangnya 8 rakaat pada setiap malam, jangan tertinggal walaupun satu malam.

Ø  Membaca Al-Quran pada setiap hari dan khatam Al-Quran pada penghujung Ramadhan. Tips : baca 4 muka surat@2 helai sahaja pada setiap kali solat fardhu, so 4 muka surat x 5 solat fardhu = 20 muka surat sehari/1 juzuk sehari, Insya-Allah sebulan boleh khatam Al-Quran.

Ø  Bayar zakat fitrah di awal bulan Ramadhan.

Ø  Ambil peluang beribadah di sepuluh malam terakhir Ramadhan supaya dapat mencapai malam LailatulQadr (mendapat pahala lebih baik dari 1000 bulan).

Ø  Tanamkan dalam jiwa kita satu semangat untuk menjalankan ibadah kepada Allah swt dan jika kita terlepas menjalani ibadah Ramadhan, lahirkan perasaan rugi dalam jiwa, sebagaimana perasaan seseorang peniaga@businessman yang merasai rugi dalam perniagaannya.

Sekian, wallahua’lam.

Dari Hamba Allah :-
Norzaidan Bin Hamad

Followers