Sunday, 30 September 2012

BERKAT HIDUP DENGAN BERSEDEKAH

 

Amalan bersedekah sangan berkait  dengan keberkatan hidup. Berkat ialah keadaan berterusannya kebaikan pada sesuatu perkara. Berkat boleh berlaku pada harta benda, umur, masa, tubuh badan, keturunan, rumah tangga atau apa-apa sahaja yang Allah kurniakan kepada hamba-Nya sebagai modal kehidupan.

Ada sebuah hadis, Rasulullah s.a.w menceritakan bahawa ada dua malaikat yang Allah tugaskan pada setiap pagi khusus untuk mendoakan hamba Allah yang gemar bersedekah. Malaikat itu mendoakan agar dia terus dikurniakan kebaikan oleh Allah. Manakala hamba Allah yang kedekut, malaikat mendoakan agar kehidupannya menjadi kerugian.

Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah bersabda: "Ubatilah sebagai penawar bagi penyakit dengan bersedekah." (Riwayat al-Tabarani)

Ada satu kisah, seorang lelaki yang menderita penyakit bisul di seluruh tubuhnya sejak tujuh tahun bertanya kepada Ibn al-Mubarak tentang penawar penyakitnya. Ibn al-Mubarak menjawab: "Ketika ini orang ramai memerlukan air kerana musim kemarau. Maka saya cadangkan supaya tuan buatkan telaga yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat. Insya-Allah, penyakit tuan akan sembuh.

Alhamdulillah, Allah menjadiakan sedekah itu sebagai sebab kesembuhan penyakit yang dideritainya itu.


Sumber: al-Ustaz 06 - Ustazah Norhafizah Hj. Musa

PERBETULKAN SAF SOLAT

 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhMelMdngIza3_-UI_FF9QWYspWEUCG2wZHjsCpnOKbKOBWyMmw1wnZqeCK-tQ3z5cuGDN49RReENLHi1b-R84qwlwD1lCo92wzKJuC_ekbnRZu8_9lT-Yuivy6EtLVH98d7iLp3m_pdlc/s400/solat-jemaah.jpg

 Berkaitan dengan saf solat, ada dua hadis yang patut kita renungkan. Dalam sebuah hadis riwayat Muslim daripada Abu Mas'ud berkata: "Rasulullah s.a.w pernah menyapu bahu-bahu kami semasa solat, lalu bersabda: "samakan oleh kamu semua akan barisan-barisan, dan jangan ada yang berselisih bahu (tidak sama di antara kamu semua). Kerana perbuatan ini menyebabkan hati kamu semua tidak sependapat (berselisihan). Orang yang dewasa dan berakal di antara kamu hendaklah berada berhampiran denganku, kemudian baris berikutnya (kanak-kanak yang cerdik, kemudian khunza dan terakhir sekali ialah perempuan).

Manakala hadis riwayat Abu Daud daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah bersabda: "Perbetulkan kedudukan saf-saf solat kamu semua. Samakanlah kedudukan antara bahu-bahu. Penuhilah semua ruang-ruang kosong. Dan berlemah lembutlah semasa mengajak saudara-saudaramu meluruskan saf-saf solat. Jangan sekali-kali kamu semua membiarkan ada ruang kosong kerana ia akan diisi oleh syaitan. Sesiapa yang merapatkan saf, maka Allah akan merapatkan hubungan dengannya. Dan sesiapa yang memutuskan saf (tidak suka memenuhi tempat-tempat yang kosong), nescaya Allah akan memutuskan hubungan dengannya.

Dalam hadis pertama, kita dapati Rasulullah menjelaskan bahawa saf solat yang bengkang-bengkok akan membawa kepada perselisihan dalam masyarakat Islam. Di dalam hadis kedua pula, Rasulullah menjanjikan saf solat yang tidak rapat akan membawa kepada putus hubungan dengan Allah. Dua janji buruk ini sebenarnya sudah cukup untuk menghancurkan umat ini jika ianya terlaksana.


Sumber : al-Ustaz 06 - Ustaz Muhammad Haidzir bin Husin

Wednesday, 26 September 2012

SABAR



Sabar itu bagaikan kristal yang dibakar api. Walaupun panas dibakar ia tetap bertahan sehingga terbentuk satu objek perhiasan yang cantik dan disukai ramai.

Begitu juga dengan manusia yang sabar dalam menempuh  dugaan Allah. Semakin kuat dan semakin hebat dugaan yang diterima jika dia menempuhnya dengan sabar pasti kesabarannya tidak sia-sia. Sesungguhnya ganjaran bagi orang yang bersabar amat besar disisiNya.

Oleh itu kita sebagai hambanya janganlah berputus asa atau merasa kecewa apabila kita ditimpa musibah. yakinlah setiap musibah itu adalah sekadar ujian yang diberikan kepada kita supaya kita kembali kepadaNya dan untuk membentuk kita menjadi manusia yang lebih baik apabila kita kembali kepadaNya.

Yakinlah setiap dugaan yang datang itu adalah dari Allah justeru kepada Allah jugalah yang wajib kita memohon pertolongan. Jangan sesekali kita menyekutukanNya, sesungguhnya syaitan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menyesatkan kita dari jalan Allah.

Banyakkan mengingati Allah dengan berzikir dan melakukan amalan kebajikan seperti bersedekah yang boleh mendekatkan kita kepadaNya dan apabila Dia berada dekat dengan kita pasti syaitan akan menjauhkan diri dari kita. Sesungguhnya perlindungan Allah adalah sebenar-benar perlindungan dari segala perlindungan yang ada di dunia ini.

Semoga kita sentiasa berada di bawah perlindungan Allah di dunia dan Akhirat yang kekal abadi.


Friday, 13 July 2012

BISIKAN SYAITAN

Para ulama membincangkan mengenai bisikan syaitan sebagaimana yang terdapat dalam surah al-Nas. Allah s.w.t berfirman, mafhumnya: "Katakanlah (wahai Muhammad): 'Aku berlindung kepada Rab (Allah) Pemelihara sekalian manusia. Yang menguasai sekaian manusia. Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam dada manusia.(Iaitu pembisik dan penghasut) daripada (golongan) jin dan manusia.

Al-Qadi Abu Ya'la berkata: "Boleh jadi makna al -waswas ialah tersembunyi atau bisikan yang hanya dirasakan di hati, yang kadang-kadang berlaku ketika seseorang berfikir dan kemudian beraloh anggota tubuh manusia. Berbeza dengan pendapat ahli teologi yang mengingkari perbuatan atau rasukan syaitan dalam tubuh manusia kerana mereka menganggap mustahil adanya dua roh dalam satu jasad.

Difinisi Bisikan Syaitan

Perkara ini dikuatkan dengan firman Allah SWT mafhumnya: "Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia." Begitu juga dengan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh imam al-Bukhari, Abu Daud, Ibn ajah dan lain-lain yang bermaksud: "Sesungguhnya, syaitan berjalan dalam diri anak Adam melalui aliran darah. Aku bimbang ia menyusup sesuatu ke dalam hati mereka." Imam Ibn Kathir mentafsirkan ayat ini sebagai: "Daripada kejahatan bisikan syaitan yang biasa bersembunyi iaitu syaitan berada di atas hati anak Adam. Jika dia lalai, maka syaitan membisik kepadanya, dan jika dia menyebut nama Allah, syaitan pun bersembunyi.

Imam Abu Daud meriwayatkan dari Ibn Abbas tentang ayat ini:"Perumpamaan syaitan seperti anak kecil yang meletakkan mulutnya pada hati seseorang, lalu dia membisikkan. Jika orang itu menyebut nama Allah, maka syaitan itu bersembunyi." Sa'id Masur dan Ibn Abi Daud meriwayatkan daripada 'Urwah bin Ruwaym bahawa Isa anak Maryam a.s berdoa kepada Tuhannya agar memperlihatkan kedudukan syaitan di sisi anak Adam.

Wednesday, 11 July 2012

TEWAS KERANA TIDAK IKHLAS








Dalam kitab Mukhtasar Minhaj al-Qasidin telah disebutkan satu kisah iaitu seperti berikut:

Terdapat sebatang pokok yang telah dijadikan tempat sembahan oleh penduduk kampung. Melihat perbuatan syirik itu, seorang lelaki berazam untuk menebang pokok tersebut bagi mengelak penduduk kampung daripada terus menjadi syirik. Lelaki itu pun mengambil kapak dan menuju ke arah pokok tersebut untuk menebangnya. Syaitan yang menyerupai manusia  menunggu pokok itu dan dan berkata: "Apa yang kau ingin lakukan?"
Lelaki itu menjawab: "Aku ingin menebang pokok ini. Ramai telah syirik kerana  meyembahnya".

Syaitan berkata: "Aku akan menghalang kamu. Kamu perlu mengalahkan aku untuk menebang pokok ini." Lalu terjadilah pergelutan dan lelaki itu berjaya menewaskan syaitan tersebut. Syaitan yang menyerupai manusia itu tidak berputus asa. Dia kemudian menawarkan kepada lelaki tersebut dua keping dinar emas setiap hari dengan syarat dia membatalkan niatnya untuk menebang pokok itu.

Lelaki tersebut pun terfikir bahawa itu mungkin sesuatu yang baik. Beliau tdiak perlu bersusah payah lagi untuk mencari rezeki kerana diberikan dua keping dinar emas setiap hari. Lelaki itu pun bersetuju. Pada keesokan harinya , dia mendapati ada dua keping dinar di bawah bantalnya. Namun pada hari yang ketiga tiada lagi dua keping dinar sebagaimana yang dijanjikan. Lelaki itu sangat marah, lalu mengambil kapak dan bertekad untuk menebang pokok kerana janji tidak ditepati.

Syaitan yang menyerupai manusia menunggu di bawah pokok itu sekali lagi dan berkata "Aku akan menghalang kamu. Kamu perlu mengalahkan aku untuk menebang pokok ini." Terjadilah pergelutan antara mereka berdua. Kali ini lelaki itu tewas dan syaitan dapat mengalahkannya.

Lelaki itu bertanya: "Mengapa hari itu aku dapat mengalahkan kau, tapi kali ini aku tidak dapat mengalahkan kau?"
Syaitan menjawab: "Kali pertam kau datang, niat kau ikhlas semata-mata kerana Allah sehingga aku tidak berdaya mengalahkan kau. Tetapi kali ini kau datang kerana  kau marah tidak dapat dua dinar. Apabila kau tidak ikhlas kerana Allah, maka aku berjaya mengalahkan kamu.

Sunday, 1 July 2012

SOLAT JAMAK

 



TAKRIF

Bahasa 
  • Jamak adalah perkataan Arab yang bermaksud menghimpunkan atau mengumpulkan sesuatu yang berselerak, atau mengarang kitab atau menyusun huruf.
Istilah
  • Menghimpun dua waktu solat fardu dengan melakukannya dalam satu waktu.
 Solat-solat yang boleh dijamakkan:
  • Solat Zuhur dan Solat Asar dalam waktu Zuhur
  • Solat Zuhur dan Solat Asar dalam waktu Asar
  • Solat Maghrib dan Solat Isyak dalam waktu Maghrib
  • Solat Maghrib dan Slat Isyak dalam waktu Isyak
Solat jamak disyariatkan pada tahun ketujuh hijrah, iaitu ketika Perang Tabuk.

SYARAT-SYARAT SOLAT JAMAK:

Syarat-Syarat Jamak Takdim

1. Tertib
  • Melakukan solat yang dalam waktunya, seperti melakukan solat Zuhur sebelum Asar dan Maghrib sebelum Ishak.
2. Niat Jamak Pada Solat Pertama
  • Selewat-lewatnya sebelum memberi salam. Tetapi lebih afdal jika melakukannya ketika takbiratulihram. Seperti  ketika takbiratulihram solat Zuhur, perlu ada niat untuk menghimpunkan solat Asar dengan Solat Zuhur.
3. Kedua-dua Solat Dilakukan Berturut-Turut
  • Solat kedua (Asar atau Isyak) hendaklah dilakukan selepas solat yang pertama (Zuhur atau Maghrib tidak boleh dipisahkan dengan tempoh yang panjang. Tidak mengapa jika temohnya sekadar untuk berwuduk, tayamum atau iqamat (kurang daripada tempoh solat dua rakaat).
 4. Berada Dalam Perjalanan Pada Solat Yang Kedua
  • Sekurang-kurangnya hingga sempurna takbiratulihram. Jika seorang musafir sampai ke tempat mukimnya sebelum sempat melakukan solat kedua, wajib dia melakukan dalam waktunya.
Syarat-Syarat Jamak Takhir

1. Berniat untuk melakukan Jamak Takhir Pada Waktu Kedua Ketika Masih Dalam Waktu Yang Pertama
  • Seperti berniat untuk menjamakkan solat Zuhur pada Waktu Asar, ketika masih pada waktu Zuhur. Jika tertidur sepanjang waktu solat pertama (Zuhur atau Maghrib) dan terlupa berniat untuk menjamakkan solat pertama kepada yang kedua, dia hendaklah mengqadakan solat pertama tanpa jamak dan qasar.
2. Berada Dalam Perjalanan Ketika Melakukan Kedua-dua Solat Ini.
  • Jika sampai ke tempat yang dituju pada waktu solat yang kedua, solat kedua hendaklah dilakukan dengan sempurna dan solat pertama dikira sebagai qada.
  • Seperti seorang musafir yang berniat untuk menjamakkan solat Maghrib dengan Isyak pada waktu Isyak, tetapi telah samapai kerumahnya pada waktu Isyak.
3. Sunat Tertib
  • Tidak diyariatkan pada jamak takhir ini tertib solat atau berturut-turut, tetapi disunatkan berbuat demikian.

Sumber: Insiklopedia Solat

    Followers