Monday, 18 January 2010

KETIKA DITIMPA MUSIBAH

Terfikir kita apakah hikmah yang cuba tuhan tunjukkan setiap kali ditimpa sakit? Kebiasaannya kita akan menangis dan merintih mengenangkan nasib diri yang malang. Penderitaan yang dialami membuatkan diri seseorang pesakit itu tidak berada didalam keadaan waras.
Emosi jadi tidak terkawal malah perasaanya lebih sensitive berbanding hari-hari dirinya berada dalam keadaan normal. Ketahui bahawa penyakit yang dialami merupakan salah satu bentuk ujian dan cubaan yang Allah berikan kepada hambanya untuk menguji keimanan dan kesyukurannya. Apakah adab yang perlu diamalkan oleh seseorang apabila ditimpa musibah terutama sakit.
Sabar dan Ikhlas menghadapi ujian

Bagi orang islam tatkala menghadapi ujian, seseorang perlu bersabar dan ikhlas menerima keadaan dirinya itu. Dalam pada itu bermohon pada Allah agar dipermudahkan laluan anda. Jangan sesekali berputus asa dengan apa yang anda lalui. Sentiasa bersyukur dengan ujian itu. Sekurang-kurangnya apabila anda ikhlas, hati akan menjadi tenang lantas membuatkan anda positif menerima ujian itu.

Kawal Perasaan

Firmah Allah, “Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk.” (Hud:114)
Seseorang yang tidak dapat mengawal kemarahannya ketika ditimpa musibah tentu sekali tidak mendapat kebaikan malah sakit yang sepatutnya menjadi penghapus dosa-dosa kecilnya menjadi sebaliknya. Bukankah menjadi kerugian bagi dirinya.

Hargai Nikmat Sihat

Tatkala sakit inilah anda perlu lebih menghargai nikmat sihat yang pernah dikecapi sebelum ini. Bagi yang sihat, seharusnya mereka menghargai diri dan berbuat baik sementara dirinya masih sihat. Kesakitan merupakan satu peringatan berharga yang Allah berikan kepada hambanya.

Mencari Penawar Sakit

Mencari penawar kesakitan boleh dilakukan oleh seseorang yang ditimpa musibah asalkan cara rawatan itu tidak bertentangan dengan syariat.
“Tidak Allah menurunkan satu penyakit pun melainkan Allah turunkan pula ubat baginya. Telah mengetahui orang-orang yang tahu, dan orang yang tidak tahu tidak akan mengetahui.” (hadis riwayat al-Bukhari, diriwayatkan juga oleh Al-Imam Muslim dar Jabir R.A).
Selain rawatan moden, rawatan cara tradisional juga boleh dicuba, antaranya denga menggunakan madu, berbekam, penggunaan herba, habbatussauda, kurma atau mengamalkan surah-surah atau ayat-ayat yang tidak mempunyai kesyirikan.

Elak Memohon Doa ke Arah Kematian

Jika penyakit tidak berkurangan, jangan sesekali berdoa atau memperkatakan sesuatu tentang kematian. Mohonlah pada Allah agar diberikan kemudahan dan ketenangan hati untuk menghadapi penyakit. Jangan sesekali berputus asa dengan rahmat Allah.

Selesaikan Tanggungjawab

Bagi anda yang mempunyai tanggungjawab dan bebanan hutang, sebaik-baiknya selesaikan. Jika tidak berdaya minta bantuan ahli keluarga atau individu yang rapat. Ditakdirkan jangka hayat tidak panjang, anda telah menyelesaikan setiap tanggungjawab di dunia ini.

Sumber : MW

No comments:

Post a Comment

Followers