Firman ALLAH SWT bermaksud : “ Dan sesungguhnya kesudahan ( akhirat ) keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya ( dunia ). “ (Surah Dhuha : 4)
ULASAN AYAT:
1) Kita tersilap jika merasakan bahawa hidup ini akan memberi kebaikan dan kebahgiaan sempurna seratus peratus kepada kita. Sekalipun sepanjang hidup kita tidak pernah ditimpa kesusahan, ujian, tanpa cacat cela dan kekurangan. Tidak seperti yang kita rasakan sama sekali, hal ini tidak pernah berlaku walau sedetik pun ketika di dunia ini, ianya hanya akan berlaku di Syurga nanti.
2) Di dunia ini segala sesuatu bersifat aib sekalipun zahirnya baik dan sempurna. Tidak semua yang baik itu baik untuk kita, dan tidak semua yang tidak baik itu buruk untuk kita. Jangan kita mimpi hidup kita semua ideal, tidak sakit, tiada bersedih, tiada kemiskinan, suami yang baik, isteri solehah dan kawan yang baik, semuanya tidak mungkin kita temui, pasti ada kekurangan.
3) Begitulah hakikat kehidupan di dunia yang perlu kita sedari agar kita tidak tergila-gila dan terkejar-kejar mencari dunia dan seisinya termasuklah makhluk-makhlukNya. Bukalah mata hati kita dengan seluas-luasnya, dan tutuplah serapat-rapatnya nafsu kita dari hal-hal yang menghinakan kita bahawa tiada yang indah di dunia sementara ini melainkan jika kita dapat menghiasi dan menjalaninya dengan ketaatan pada ALLAH dan meninggalkan laranganNya.
4) Andai kita menjalani dunia dengan penuh cinta pada ALLAH, maka pasti kita mampu menempuhi segala kekurangan hidup, ujian, keaiban dengan penuh redha serta ternanti-nanti akan kebahgiaan sempurna di akhirat kelak. Sudah pasti kita akan sanggup menempuh derita dunia sementara ini semata-mata merindukan kesempurnaan Syurga. insyaALLAH. Bersabarlah di atas segala kepayahan menjadi hamba ALLAH di dunia ini. WALLAHU’ALAM
No comments:
Post a Comment