“UBAT tu memang bagus, kalau engkau makan, sekejap saja pening engkau tu hilang.” Itu antara dialog yang biasa kita dengar dalam perbualan kita bersama orang sekeliling.
Tidak kurang juga mengagumi seorang bomoh atau doktor yang disifatkan ‘pakar’ merawat penyakit tertentu. Lalu terkeluar pula ayat: “Aku dengan orang lain tak berapa serasi, bomoh tu saja yang faham penyakit aku.”
Dalam situasi lain, seorang lelaki ditinggalkan kekasih hatinya. Lalu terdetik di hatinya dan terungkap melalui kata-katanya: “Aku tak boleh teruskan hidup tanpa si dia. Aku lebih rela mati daripada melihat si dia berpacaran dengan lelaki lain.”
Lebih malang lagi apabila si lelaki tadi mengamalkan apa yang dilafazkannya dengan membunuh diri. Sudahlah berdosa mensyirikkan Allah, kemudian melakukan dosa besar dengan membunuh diri pula.
Mungkin juga kita pernah mengungkapkan dialog di atas secara sedar atau tidak apabila berdepan situasi sebegini. Kedengaran seperti tiada apa salah silapnya, mungkin juga ia hanya perkara remeh yang tidak perlu dibincangkan.
Namun hakikatnya, perkara yang sering dipandang remeh inilah kadangkala menggoncang iman kita secara sedar atau tidak. Daripada sekecil-kecil bintik hitam, lama-kelamaan ia bertukar menjadi barah kepada iman dan akidah.
Kebanyakan daripada kita memang menjaga perkara yang boleh mendatangkan syirik jali (syirik jelas). Kita sedaya upaya mengesakan Allah dengan tidak menyembah berhala yang zahir.
Namun bagaimana pula penyembahan kepada ‘berhala ghaib’ yang mungkin kita lakukan secara tidak sedar dalam kehidupan seharian kita. Ini yang dinamakan sebagai syirik khafi atau dalam bahasa Melayunya disebut syirik tersembunyi.
Penyembahan kepada berhala ghaib sebenarnya dapat dilihat dalam beberapa aspek seperti kebergantungan kepada sesuatu selain daripada Allah.
Contoh mudah adalah dengan meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa kesihatannya bergantung dengan ubat-ubatan. Jika tiada ubat, sakitlah dia.
Tidak dinafikan, mencari ubat terbaik adalah satu ikhtiar dan usaha baik. Namun, perlu disematkan dalam hati bahawa ubat hanya wasilah dan ikhtiar untuk sembuh daripada penyakit, tetapi kepercayaan kepada yang menyembuhkan harus diiktikad kepada Allah SWT.
Kerana itu, apabila bercerita mengenai kehebatan sesuatu ubat kepada seseorang, jangan lupa lafazkan insya-Allah.
Sama juga seperti dalam kes seseorang yang baru putus cinta. Merasakan hidupnya tidak lagi bermakna selepas ditinggalkan kekasihnya, padahal ramai lagi wanita dan lelaki yang jauh lebih baik di luar sana.
Ahli ibadah juga adakala tidak terlepas daripada ‘penyembahan’ kepada berhala ghaib. Penyakit sangat ditakuti menyerang secara tidak sedar ini tidak lain dan tidak bukan adalah sifat riak.
Riak ketika melakukan amal ibadah membuatkan sesuatu ibadah itu tiada harga di sisi Allah. Contoh paling mudah ialah merasakan orang memerhatikannya sambil memuji: “Rajinnya si polan ini. Ada saja muka dia bersolat jemaah di masjid.”
Allah berfirman di dalam surah An-Nisa ayat 176, yang bermaksud: “... Mereka (orang munafik) pula apabila berdiri hendak solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan solatnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan solat) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).”
Dalam senario lain, penyembahan kepada pangkat dan kekayaan juga berlaku secara tidak sedar. Tidak dinafikan sebagai manusia kita digalakkan menghargai nikmat yang kita kecapi sekarang dengan mengimbau kesusahan yang pernah kita tempuhi pada zaman silam.
Namun, berhati-hatilah dengan penyakit ‘ujub’ yang boleh menjadi parasit dalam hati. Ujub membuatkan manusia berasa bangga dengan diri sendiri atas hasil titik peluhnya. Merasakan semua adalah usahanya, lantas tidak pernah terdetik di hati untuk mensyukuri nikmat Allah.
Lebih parah lagi, seolah-olah ada perasaan ‘dendam’ terhadap Allah kerana ‘membiarkan’ dia dalam kesusahan satu ketika dulu.
Ujub juga boleh berlaku apabila kita bersendirian. Kadangkala merasakan dirinya paling mulia lantaran amal ibadah dilakukan.
Jika diimbau kembali kisah penciptaan manusia, bagaimana iblis yang satu ketika dulu dimuliakan, akhirnya menjadi makhluk paling dilaknat Allah.
Bermula dengan syirik kecil, dengan merasakan dia lebih mulia kerana diciptakan daripada api, sedangkan manusia daripada tanah.
Lantas timbul perasaan ujub dan riak dalam diri iblis dan seterusnya enggan menuruti perintah Allah untuk sujud kepada penciptaan Allah ke atas manusia.
Lalu terakamlah dialog antara Allah dengan iblis yang membuatnya tersingkir daripada makhluk yang dimuliakan sebagaimana firman Allah: “Hai iblis, apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud itu?”
Iblis menjawab: “Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia daripada tanah liat yang kering, yang berasal daripada tanah kental yang berubah warna dan baunya.”
Allah berfirman: “Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau dari sekarang ke masa depan adalah (satu makhluk yang) diusir.” (Al-Hijr, ayat 32-34)
Sebenarnya, banyak lagi contoh syirik khafi berada dalam amalan manusia. Namun ia selalunya dipandang kecil oleh manusia.
Kita selalu sibuk menjaga diri daripada melakukan syirik jali (nyata), tetapi dalam diam rupa-rupanya syirik khafi menghakis keimanan kita dari hari ke hari.
Sememangnya syirik khafi tidak membatalkan iman manusia. Namun, harus diingat, sebesar-besar sesuatu itu bermula daripada kecil.
Kerana itu Rasulullah SAW menyatakan kegusaran baginda terhadap syirik yang tidak sedar ini melalui sepotong hadis bermaksud: “Syirik yang dilakukan oleh umatku lebih tersembunyi daripada semut halus yang merayap di atas batu besar.”
Di dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya, yang paling aku khuatir atas kamu sekalian adalah syirik kecil (syirik khafi), riak. Pada hari kiamat, ketika memberi balasan manusia atas perbuatannya, Allah berfirman: Pergilah kalian kepada orang- orang yang kalian tujukan amalanmu kepada mereka di dunia. Lihatlah, apakah engkau dapati balasan di sisi mereka?” (Riwayat Imam Ahmad)
Kerana itu, syirik khafi dikhuatiri boleh mencederakan tauhid kepada Allah jika tidak benar-benar diawasi
Sumber : Metro
No comments:
Post a Comment