Monday, 2 April 2012

Zina hancurkan fitrah hidup berpasangan ikut syariat


Oleh Mohd Rizal Azman Rifin



KITA sering membaca dan dihidangkan laporan media mengenai kes buang bayi yang seakan-akan menjadi perkara biasa saja dalam masyarakat hari ini. Saban minggu ada saja laporan perbuatan terhina itu. Antara punca peningkatan gejala itu disebabkan disebabkan perbuatan zina pada zaman ini.


Allah mengingatkan manusia keburukan zina ini menerusi ayat 32 surah al-Israk bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji yang membawa kepada kerosakan.” Ternyata, gejala zina mula menampakkan impak negatif yang cukup ketara dengan meningkatnya statistik kes buang bayi, menggugurkan janin dan jumlah kelahiran anak tidak sah taraf. Inilah kesan dibawa oleh perbuatan zina dan inilah juga yang dimaksudkan Allah sebagai satu jalan jahat yang membawa kerosakan.


Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji yang membawa kepada kerosakan. - Surah al-Israk, Ayat 32
Sesungguhnya perbuatan zina harus dilihat mengandungi impak buruk dari tiga sudut, iaitu kesannya terhadap agama, sosial dan kesihatan manusia. Dari segi agama, berzina menyebabkan lenyapnya cahaya iman kerana Rasulullah SAW pernah mengatakan bermaksud: “Tidak berzina seseorang penzina ketika dia berzina, dia dalam keadaan seorang beriman.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Perbuatan zina membawa akibat buruk kepada pelakunya bukan saja di akhirat kelak, tetapi impaknya sudah jelas diazabkan Allah di dunia lagi. Kemunculan gejala penyakit pelik dan kronik yang sukar diubati hingga kini membuktikan betapa dahsyatnya akibat dari zina itu.

Antara penyakit berbahaya yang berpunca daripada perbuatan zina ialah HIV/AIDS. Penyakit ini sangat dahsyat kerana sehingga kini, pakar perubatan masih bingung dalam usaha mereka mencari penawarnya.

Perbuatan zina yang semakin berleluasa berpunca daripada kurangnya pemahaman jitu terhadap ajaran agama, sebaliknya lebih ghairah meniru kehidupan Barat yang mengutamakan pergaulan bebas. 
Orang yang melanggar larangan Allah supaya menjauhi zina ialah golongan manusia yang mengikuti dorongan hawa nafsu liar mereka dan juga ditakluk syaitan. Ini kerana, apa saja perbuatan keji adalah hasil kejayaan syaitan mengawal diri seseorang sehingga tidak mampu membezakan yang benar dan salah di sisi agama.

Sebab itulah Allah berpesan kepada kita yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengikut langkah syaitan. Sesiapa yang mengikut langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, nescaya tidak seorangpun daripada kamu bersih (daripada perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nur, ayat 21)

Dalam sudut larangan berzina ini ada kisah yang dapat direnungi bersama iaitu perbualan seorang pemuda dengan Rasulullah SAW. Pemuda itu berkata: “Wahai Rasulullah, izinkanlah saya melakukan perbuatan zina.” Lantas dengan segera orang ramai menerpanya dan memperingatkannya: “Cukup. Cukup atau berhentilah berbicara demikian.” 

Rasulullah SAW kemudian berkata kepada pemuda itu: “Hampir kepadaku.” Pemuda itupun datang hampir kepada Baginda dan Baginda pun memintanya duduk.

Selepas pemuda itu duduk hampir dengan Rasulullah SAW, Baginda pun mengajukan soalan kepadanya: “Apakah kamu suka perzinaan itu berlaku kepada ibumu?” Jawab pemuda itu: “Tidak ada seorangpun yang menyukai hal itu terjadi pada ibu mereka.” Kemudian Rasulullah bertanya lagi: “Apakah kamu suka hal itu terjadi kepada puterimu?” Jawabnya: “Tidak demi Allah, saya menjadi tebusanmu dan tidak seorangpun menginginkan itu terjadi pada puteri mereka.” 

Rasulullah SAW meneruskan soalannya kepada pemuda itu: “Apakah kamu menyukai hal itu terjadi kepada saudaramu?” Katanya: “Tidak. Demi Allah saya menjadi tebusanmu, kemudian dia menyambung,” Tiada seorangpun inginkan hal itu berlaku.” 

Rasulullah SAW masih meneruskan soalannya kepada pemuda itu dan masih dijawab dengan jawapan yang sama dan akhirnya Rasulullah SAW meletakkan tangan pemuda itu ke atasnya dan berdoa untuknya: “Wahai Allah, ampunilah dosanya, bersihkan hatinya, peliharalah kemaluannya, setelah itu pemuda itu dilaporkan tidak lagi berkeinginan melakukan zina.” (Riwayat Imam Ahmad)

Peristiwa ini memberikan kita suatu gambaran bahawa Rasulullah SAW begitu komited mendidik umatnya menjauhi perbuatan zina. Kaedah yang digunakan Rasulullah SAW dalam peristiwa ini lebih menumpukan kepada pendekatan pemahaman dalaman atau psikologi dengan mengemukakan pertanyaan demi pertanyaan.

Justeru, haruslah kita insaf bahawa Islam menyediakan ramuan terbaik buat kita untuk menjalani kehidupan di dunia dalam satu acuan bersyariat yang luhur dan janganlah kita menjadi ingkar dengan melakukan perbuatan terlarang kerana kesannya sangat buruk bukan saja mendapat seksa di akhirat, malah ditimpa azab ketika di dunia, sama ada disedari atau tidak.


Sumber : Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment

Followers