Wednesday 6 March 2013

HUKUM KUCING KESAYANGAN

 



Bela Kucing Dalam Rumah

Memelihara haiwan-haiwan jinak seperti kucing dan sebagainya di dalam rumah adalah diharuskan. Ini kerana haiwan-haiwan tersebut tidak menyebabkan kemudaratan ke atas manusia di samping ia juga bukan jenis haiwan yang bernajis.


Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Kabshah binti Ka'ab. Suatu ketika Abu Qatadah iaitu bapa mertua yang merupakan sahabat Nabi datang ke rumahnya. Satu ketika sedang Abu Qatadah sedang berwuduk, tiba-tiba datang seekor kucing kepadanya untuk meminum air. Lantas beliau menyediakan bekas yang di dalamnya ada air supaya kucing tersebut mampu untuk meminumnya.

Bapa mertuanya itu perasan bahawa Kabshah sedang mermerhatikannya. Lantas dia berkata: "Adakah kamu berminat kepadanya?" "Ya" "Sesungguhnya kucing ini tidak najis dan menajiskan. Bahkan ia antara haiwan-haiwan yang sentiasa berkeliaran di sekeliling kamu." (al-Tirmizi)

Pukul Dengan Niat Mendidik

Memukul haiwan peliharaan atau haiwan ternakan sebagai langkan untuk mendidiknya adalah dibenarkan. Namun begitu, pukulan itu mestilah tidak menuebabkan ia luka atau mati. Sekiranya pukulan tersebut menyebabkan haiwan-haiwan berkenaan mati atau tercedera, maka hukumnya haram dan berdosa. Buktinya ialah sabda Nabi yang bermaksud:
"Sesungguhnya seorang perempuan telah dimasukkan ke dalam api neraka kerana seekor kucing. Dia telah mengurungnya tanpa memberinya peluang untuk mencari makanan sendiri." (Riwayat al-Bukhari dan al-Muslim)

Mengasi Kucing

Secara dasarnya, memudaratkan semua jenis haiwan sama ada yang diternak atau dipelihara di rumah dengan perbuatan-perbuatan tertentu tanpa sebarang keperluan adalah haram. Perlu diketahui bahawa perbuatan mengasi haiwan terbahagi kepada dua keadaan yang berbeza hukumnya:

  • Mengasi haiwan ternakan yang halal dimakan dagingnya - Mazhab Hanafi, Maliki, Syafi'i dan Hanbali bersepakat bahawa harus mengasi haiwan-haiwan ternakan yang boleh dimakan dagingnya seperti kambing, lembu, kerbau dan sebagainya. Antara hujahnya ialah hadis yang meriwayatkan bahawa Nabi pernah mengorbankan tiga ekor kibas besar yang telah dikasi. (Riwayat Ibn Majah)

  • Mengasi haiwan peliharaan yang haram dimakan dagingnya - Para fuqaha saling berbeza pendapat dalam isu ini. Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali berpendapat bahawa mengasi haiwan peliharaan seperti kucing adalah makruh. Jika tiada sebarang keperluan untuk berbuat demikian, maka lebih baik tidak dilakukan. Manakala mazhab Syafi'i pula mengharamkan perbuatan mengasi semua jenis haiwan peliharaan. Hujah mazhab Syafi'i ialah hadis Ibn Umar yang menyatakan bahawa Nabi melarang daripada perbuatan mengasi kuda. 

Bulu Kucing Melekat


Secara umumnya bulu kucing yang terkena atau melekat pada pakaian solat adalah tidak najis dan boleh dibuat solat. Perkara ini diperkuatkan dengan perbuatan Abdul Rahman Ibn Sahr yang dikenali sebagai seorang sahabat Nabi yang sangat menyangi kucing sehingga digelar dengan nama Abu Hurairah.


Menurut Ibn Abd al-Bar, terdapat riwayat yang menjelaskan bahawa Abu Hurairah sentiasa mendampingi kucing untuk bermain-main dengannya. Ada kalanya kucing-kucing itu masuk ke dalam jubahnya yang besar. Riwayat ini menunjukkan bahawa bermain dengan kucing sehingga menyebabkan bulu-bulunya melekat pada pakaian tidak menyebabkannya bernajis.

Namun begitu, tidak dinafikan jika didapati najis pada bulu tersebut secara jelas dan nyata, maka pakaian yang terkena bulu kucing itu dikira sebagai najis dan solat dengan pakaian tersebut adalah tidak sah.

Sumber : al-Ustaz No 11 - Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim A.M.S

No comments:

Post a Comment

Followers