Friday, 1 July 2011

DI BURU DOSA

Firman ALLAH SWT bermaksud : “ Dan ALLAH hendak (membersihkan kamu dari dosa dengan) menerima taubat kamu, sedang orang-orang (yang fasik) yang menurut keinginan hawa nafsu (yang diharamkan oleh ALLAH itu) hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng (dari kebenaran) dengan penyelewengan yang besar bahayanya. “ (Surah An Nisa’ : 27) 

ULASAN AYAT:

1.        SUATU hari seorang wanita yang hamil kerana perzinaan datang bertemu Rasulullah SAW Dia meminta supaya Baginda menjatuhkan hukuman rejam ke atasnya. Bagaimanapun Rasulullah memanggil wali wanita itu dan bersabda, Jagalah dia baik-baik dan apabila dia sudah melahirkan anak, bawa dia kepadaku. Selepas melahirkan anak, wanita berkenaan sekali lagi mengadap Rasulullah dan dia dihukum rejam sampai mati. Baginda menyempurnakan sembahyang jenazah untuknya. Ketika itu Umar al-Khattab bertanya, Ya Rasulullah, kenapa Tuan menyembahyangkannya , sedangkan wanita itu telah melakukan zina? Rasulullah s.a.w. menjawab, Dia telah bertaubat, jika taubatnya dibahagikan kepada 70 orang di Madinah ini, ia masih mencukupi. Apakah ada orang yang lebih utama daripada seseorang yang telah menyerahkan dirinya kepada hukum Allah?'

2.        Sememangnya di dalam menjalani kehidupan di alam fana ini, kita tidak akan terlepas daripada melakukan dosa. Malah ada ketikanya ketenangan kita sering diganggu oleh dosa-dosa silam yang pernah kita lakukan. Ketika itu kita menjadi resah dan mungkin juga ada yang menitiskan air mata mengenang dosa-dosa yang pernah dilakukan. Namun menitiskan air mata sahaja tidak akan dapat memberi ketenangan kepada kita.

3.        Justeru, tiada jalan yang lebih baik selain menginsafi dosa-dosa yang telah kita lakukan dan bertaubat kepada Allah kerana sesungguhnya sebaik-baik orang yang bersalah ialah orang-orang yang suka bertaubat. Taubat harus dilakukan dengan segera tanpa menunggu ajal tiba, ini kerana taubat yang dilakukan ketika nyawa sudah di kerongkongan merupakan taubat yang sia-sia.

WALLAHU’ALAM

Friday, 27 May 2011

STRESS TEST









BERWASPADA SELALU



Maksudnya : Apabila kamu ingin menjatuhkan hukuman ke atas dua orang lelaki ( yang diadili kes mereka), janganlah kamu membuat hukuman kepada yang pertama (selepas mendengar katanya), sehinggalah kamu mendengar penjelasan pihak yang satu lagi, ketika itu, barulah kamu akan tahu bagaimana untuk menetapkan hukuman ( Riwayat At-Tirmizi; Hadis bertaraf Hasan)


ULASAN AYAT:


1) Tergesa-gesa dalam menjatuhkan hukuman tanpa mendengar keterangan atau penjelasan daripada kedua-dua belah pihak adalah merupakan satu kesalahan.


2) Perkara ini bukan hanya perlu diguna pakai oleh hakim atau qadhi dalam membuat keputusan, malah ia juga perlu diaplikasikan oleh kita dalam kehidupan seharian.


3) Dalam hidup bermasyarakat, kadangkala kita mudah mendengar fitnah atau khabar angin yang tidak diketahui sumber atau kesahihannya menyebabkan kita mudah menjatuhkan hukum tanpa usul periksa.


4) Dalam konteks bekerja, apabila seseorang pekerja melakukan kesilapan terutamanya berkaitan tugasan yang diberikan, sudah sepatutnya pihak yang berautoriti mendengar terlebih dahulu penjelasan daripada individu tersebut tanpa menerima ’bulat-bulat’ apa yang disampaikan orang lain.

5) Jika perkara seumpama ini diaplikasikan dan apa yang disabdakan oleh Nabi Muhammad S.A.W. diikuti, sudah pasti kita akan hidup dalam suasana harmoni, tanpa ada prasangka dan hasad dengki.

6) Jangan disebabkan satu kesalahan lampau, kita menghakimi seseorang dengan tidak sewajarnya. 
WALLAHU’ALAM

DOA DIKELUARKAN DARI KESUSAHAN



Firman ALLAH SWT bermaksud : “ Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya ALLAH)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri. “ (Surah Al Anbiya’ : 87)


ULASAN AYAT:


1) Nabi Yunus Alaihissalam, telah mengalami ujian, baginda berada di dalam perut ikan. Ketika dalam keadaan yang gelap, lemas, gelisah itu, Nabi Yunus A.S meminta tolong daripada ALLAH SWT. Baginda meminta dengan ungkapan doa di atas.


2) Setelah daripada itu ALLAH SWT memberi pertolongan dengan segera kepada Nabi Yunus A.S. dengan berfirman sesudah ayat di atas, yang bermaksud : ” Maka Kami kabulkan permohonan doanya dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya dan sebagaimana Kami menyelamatkannya, Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami). (Surah Al Anbiya’ : 88) 


3) ALLAH SWT telah menyuruh ikan itu mengeluarkan Nabi Yunus A.S di tanah yang luas. Nabi Yunus A.S keluar dari perut ikan di dalam keadaan lemah dan sakit lalu ALLAH SWT telah menumbuhkan sebuah pohon di situ supaya dimakan oleh Nabi Yunus A.S sehingga sembuh. 


4) Begitulah keadaan orang yang mengingati ALLAH. Pada waktu senang kenal ALLAH, maka ALLAH SWT akan segera memberi pertolongan ketika seseorang hamba itu di dalam keadaan susah dan memerlukan pertolongan. Sandaran kita hanya pada ALLAH.  WALLAHU’ALAM



Tuesday, 24 May 2011

MENDOAKAN KEBAIKAN SAUDARA

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) tanpa sepengetahuannya, melainkan malaikat akan berkata, “Dan bagimu juga kebaikan yang sama.” ( Riwayat Muslim )



ULASAN HADIS:


1. Sebagai manusia terkadang kita merasa tamak atau bakhil. Kita tidak mahu memberikan sesuatu kepada orang lain, seakan-akan sesuatu yang kita miliki itu adalah benar-benar milik kita. Sedangkan segala sesuatu hanya kepunyaan ALLAH.

2. Sehingga kita juga enggan mendoakan (yang baik-baik) untuk orang lain? Seolah-olah sesuatu kebaikan hanya berhak didoakan buat kita sahaja tidak untuk orang lain.

3. Padahal dengan mendoakan orang lain kita juga akan didoakan oleh malaikat sepertimana doa kita kepada diri kita sendiri.

4. Tidak akan rugi jika kita mendoakan orang lain lebih-lebih lagi tanpa pengetahuan dirinya, karena ALLAH pasti menggantinya dengan yang setimpal bahkan lebih dari itu. Yakinlah.

5. Mendoakan sesama muslim tanpa sepengatahuan orangnya termasuk dari sunnah hasanah (sunnah yang baik) yang telah diamalkan turun-temurun oleh para Nabi dan juga orang-orang saleh yang mengikuti mereka. Abu Darda’ berkata; Aku sentiasa mendoakan untuk 70 orang dari sahabatku ketika aku dalam keadaan sujud terhadap ALLAH, aku sebutkan nama mereka satu-satu.

6. Mereka gembira kalau kaum muslimin mendapatkan kebaikan, sehingga mereka  turut mendoakan saudaranya di dalam doa mereka tatkala mereka mendoakan diri mereka sendiri. Dan ini di antara sebab terbesar tersebarnya kasih sayang dan kecintaan di antara kaum muslimin, serta menunjukkan kesempuraan iman mereka. Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak beriman salah seorang di antara kalian sampai dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


7. Sewajarnyalah seorang sahabat mendoakan sahabatnya dengan doa yang baik-baik, bagi diri sahabat itu dan ahli keluarganya serta sekalian orang yang dalam tanggunggannya, sebagaimana dia mendoakan bagi dirinya sendiri; sama ada sahabat itu masih hidup dalam dunia ini, mahupun sudah mati.WALLAHU’ALAM

BAHAGIA HANYA ADALAH DI SYURGA

Firman ALLAH SWT bermaksud : “ Dan sesungguhnya kesudahan ( akhirat ) keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya ( dunia ). “ (Surah Dhuha : 4)

ULASAN AYAT:

1)    Kita tersilap jika merasakan bahawa hidup ini akan memberi kebaikan dan kebahgiaan sempurna seratus peratus kepada kita. Sekalipun sepanjang hidup kita tidak pernah ditimpa kesusahan, ujian, tanpa cacat cela dan kekurangan. Tidak seperti yang kita rasakan sama sekali, hal ini tidak pernah berlaku walau sedetik pun ketika di dunia ini, ianya hanya akan berlaku di Syurga nanti. 

2) Di dunia ini segala sesuatu bersifat aib sekalipun zahirnya baik dan sempurna. Tidak semua yang baik itu baik untuk kita, dan tidak semua yang tidak baik itu buruk untuk kita. Jangan kita mimpi hidup kita semua ideal, tidak sakit, tiada bersedih, tiada kemiskinan, suami yang baik, isteri solehah dan kawan yang baik, semuanya tidak mungkin kita temui, pasti ada kekurangan. 

3) Begitulah hakikat kehidupan di dunia yang perlu kita sedari agar kita tidak tergila-gila dan terkejar-kejar mencari dunia dan seisinya termasuklah makhluk-makhlukNya. Bukalah mata hati kita dengan seluas-luasnya, dan tutuplah serapat-rapatnya nafsu kita dari hal-hal yang menghinakan kita bahawa tiada yang indah di dunia sementara ini melainkan jika kita dapat menghiasi dan menjalaninya dengan ketaatan pada ALLAH dan meninggalkan laranganNya.

4) Andai kita menjalani dunia dengan penuh cinta pada ALLAH, maka pasti kita mampu menempuhi segala kekurangan hidup, ujian, keaiban dengan penuh redha serta ternanti-nanti akan kebahgiaan sempurna di akhirat kelak. Sudah pasti kita akan sanggup menempuh derita dunia sementara ini semata-mata merindukan kesempurnaan Syurga. insyaALLAH. Bersabarlah di atas segala kepayahan menjadi hamba ALLAH di dunia ini. WALLAHU’ALAM

BERLUMBA DALAM MELAKUKAN DOSA

Firman ALLAH SWT bermaksud : “ Dan engkau lihat kebanyakan dari mereka berlumba-lumba pada melakukan dosa dan pencerobohan serta memakan yang haram. Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan” . (Surah Al Maidah : 62)

ULASAN AYAT:


1)    Ramai dikalangan manusia pada hari ini berlumba-lumba untuk melakukan kejahatan dan dosa. Sedangkan ALLAH menyuruh hamba-hambaNya berlumba melakukan amal kebajikan. Orang yang lalai dan lengah dalam hidupnya, sering bermalas-malasan ketika hendak melakukan kebajikan. Tapi di saat dia hendak melakukan kejahatan maka semangat di hati muncul dan membara. 

2) Jika seseorang itu hendak melakukan kebaikan, maka banyak syaitan yang memujuknya untuk menunda melakukan kebaikan itu. 

3)  Di antara sifat-sifat yang harus dimiliki oleh seorang mukmin adalah “ bersegera kepada ( mengerjakan ) pelbagai kebajikan. Adapun sifat yang dimiliki oleh orang yang derhaka adalah “ bersegera membuat dosa dan permusuhan “ 

4) Oleh itu, setiap hamba hendaklah bersegera dalam tindakan untuk melakukan amal kebaikan, menyedari hakikat dunia dan masa yang semakin pantas meninggalkan kita. Ajal sentiasa berlumba-lumba mendekati kita, justeru marilah sama-sama kita berlumba-lumba melakukan kebajikan dan meninggalkan kejahatan dan dosa. WALLAHU’ALAM

Monday, 18 April 2011

TAUBAT PUNCA KEJAYAAN KITA

Firman ALLAH SWT bermaksud : “ dan bertaubatlah kamu sekalian kepada ALLAH, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”  

(Surah An Nur : 31)



ULASAN AYAT :


1.        Sesungguhnya orang-orang yang bertaubat dan membersihkan diri sangat disukai oleh ALLAH. Justeru, taubat seorang hamba lebih disukai oleh ALLAH daripada kesukaan orang yang kehilangan barang berharga lalu dapat dan bertemu semula dengan barang tersebut.

2.        Sebagai hamba sememangnya kita tidak pernah lepas daripada melakukan kesalahan dan dosa, untuk menghilangkan segala kotoran dosa adalah dengan bertaubat bermakna membersihkan hati dengan airmata penyesalan, pembersihan hati ini hendaklah dengan pengawalan nafsu, penyesalan atas dosa-dosa lalu berazam tidak mengulanginya.


3.        Titik bertolak dan permulaan bagi orang yang berjaya adalah taubat.  Petanda orang yang taubat ialah tunduk, mudah tersentuh hatinya dengan perkara kebaikan dan senang menangis. Ketika orang lain merasa tenang gembira ia tidak tidak tenang kerana takut. Ia sentiasa menghadap kepada ALLAH dengan kesedihan yang mendalam, hatinya gundah kerana merasa sedar akan dirinya seorang hamba dan tahu siapakah TUHANnya.

4.        Kita hendaklah sentiasa merasakan ALLAH itu dekat dan melihat kita agar kita tidak lalai dan leka serta selalu kembali kepada ALLAH SWT. Kejayaan hakiki bagi kita adalah jauhnya kita dari dosa dan noda. Nescaya berjayalah seluruh hidup kita di dunia akhirat.

WALLAHU’ALAM

Wednesday, 13 April 2011

DOA DIKURNIAKAN HIKMAH

Maksudnya : “ Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan agama dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh; “ ( Surah As Syuara’ : 83 )
ULASAN AYAT :

1.        Di dalam ayat ini adalah sebuah doa memohon hikmah serta dihubungkan bersama orang-orang yang soleh. Menurut Iman Ibnu Qudamah : ” Hikmah ialah gabungan antara ilmu dan amalan. ” Manakala menurut Ibnu Qutaibah : ” Tidaklah seseorang itu dinamakan bijaksana sehingga digabungkan antara ilmu dan amalan. ”

2.        Hikmah disini juga bermaksud rahsia atau maksud yang tersirat kadang-kadang di luar jangkauan batasan akal manusia.

3.        Memiliki ilmu dan amal adalah perkara yang amat penting untuk kita usahakan, agar kita mendapat hikmah. Hikmah tidak akan di dapati dengan sendirinya tanpa mencari serta di dahului bersama ilmu dan amal.

4.        Setelah memiliki hikmah maka di dalam doa di atas memohon agar di masukkan juga bersama golongan orang soleh. Ini menunjukkan kepentingan antara kaitan ilmu hikmah dengan orang-orang soleh.

5.        Orang soleh adalah golongan orang-orang yang baik ilmu, amal serta akhlak mereka. Mereka adalah dikalangan hamba-hamba yang mendapat perhatian dan kebaikan ALLAH SWT. Berdamping dengan orang soleh akan menjadikan kehidupan kita diselubungi kebaikan yang melimpah.

6.        Sesungguhnnya ilmu, amal dengan berdamping bersama orang soleh, akan membuatkan hati kita menjadi lapang, meluaskan pandangan, membuka hati dan jiwa kita sehingga keluar daripda berbagai keresahan, kegundahan dan kegelisahan. WALLAHU’ALAM.

PASTIKAN YANG HALAL SAHAJA

Firman ALLAH SWT bermaksud : Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.
                                                                                                         (Surah Al-Baqarah : 188)

ULASAN AYAT :
1.        Imam ibn Al-‘Arabi menegaskan ayat ini menerangkan satu dari kaedah utama dalam muamalat Islam dan ia juga merupakan asas bagi semua kontrak pemilikan. Maksud ‘makan’ didalam ayat tersebut adalah merangkumi penerimaan, pemberian dan penguasaan. Digunakan lafaz ‘makan' sebagai suatu perumpamaan.

2.        Manakala maksud al-bathil menurut Ibn Al-Arabi : Apa sahaja yang tidak halal menurut syarak seperti riba, gharar dan seumpamanya yang tiada satu faedah dan manfaat ( buat Islam)

3.        Syeikh Rashid Ridha meluaskan lagi bentuk dan erti ‘bathil’ kepada : Apa sahaja (bayaran) yang tidak mempunyai timbal balik yang wajar (yang punyai nilai pada pandangan syarak), lagi sebenar, maka ia tergolong dalam erti bathil.

4.        Kehidupan hari ini terdedah kepada pemilikan harta yang haram. Kadangkala kita mengambil harta orang lain sebagai milik kita. Mungkin kita melihat harta tersebut sebagai halal sedangkan kita lupa bahawa mengambil hak orang lain merupakan perkara yang bathil dan sudah semestinya haram di sisi Allah SWT.

5.        Dalam konteks bekerja, ada yang bekerja dengan tekun dan rajin tidak diberikan gaji atau upah yang selayaknya diterima sedangkan orang yang bekerja sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh diberikan gaji dan pangkat yang tinggi hanya kerana mereka pandai berkata-kata dan mengampu pihak atasan.

6.        Adakah kita mahu tergolong dalam golongan yang memakan harta atau hak orang lain? Justeru, kita perlu berhati-hati dan sentiasa memastikan harta kepunyaan kita merupakan harta yang berkat dan paling penting halal serta tidak mengambil harta atau hak kepunyaan orang lain.
WALLAHU’ALAM

JANGAN BAKHIL

Firman ALLAH SWT bermaksud : “ Sebaliknya orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya; “
( Surah Al Lail : 8 )

ULASAN AYAT :

1.        Ayat di atas menyatakan tentang keburukan sifat bakhil seseorang yang tidak mahu berbuat kebajikan. Di dalam tafsir Syeikh As Sobuni menyebut : ” Syeikh Ali Assobuni menyatakan : ” Orang yang bakhil ialah bakhil daripada menginfakan harta dan merasa kaya daripada beribadat kepada ALLAH.

2.        Kita hendaklah membiasakan diri dengan sifat pemurah serta sering melakukan amalan kebajikan agar bebas daripada sifat bakhil. Biasakan diri dengan bersedekah, sekalipun sedikit kerana dengan bersedekah dalam bentuk apa jua akan memadamkan api kesalahan, mengembirakan hati, menghilangkan keresahan dan menambahkan rezeki.

3.        Dan hendaklah kita sentiasa meghulurkan kebajikan malah merasa tamak melakukan amal ibadah tidak merasa cukup dengan apa yang ada.  

      Sesungguhnya kita hendaklah sedar bahawa segala apa yang kita lakukan dalam amalan kebajikan akan dilihat oleh ALLAH. Malah setiap hamba yang melakukan kebajikan dan beramal soleh ALLAH akan gandakan pahala dan ganjaran untuknya bukan sekadar di akhirat malah di dunia lagi ALLAH akan berikan. WALLAHU’ALAM

Wednesday, 6 April 2011

INGAT ALLAH

Firman ALLAH SWT bermaksud : “ Maka ingatlah kepadaKu,  Aku akan ingat kepadamu. “ ( Surah Al Baqarah : 152 )

ULASAN AYAT :

1.        Kita sebagai seorang Muslim, mengingati ALLAH SWT tidak semestinya dalam masa kesusahan atau ketika ditimpa bencana sahaja, tapi ALLAH perlu diingat sepanjang masa selagi nadi berdenyut kerana sebagai hamba, kita tidak boleh melupakan pencipta.

2.        Hendaklah kita ingat ALLAH sentiasa bersama dan melihat apa yang kita lakukan sepanjang masa. Orang yang tidak dijaga-Nya, maka kehidupannya di dunia akan buruk dan tidak mendapat kebahagiaan, Sedangkan di akhirat tempatnya adalah di neraka jahanam, selama langit dan bumi masih ada.

3.        Orang yang mengingati dan menjaga ALLAH sentiasa terdorong untuk melakukan perintah-Nya serta meninggalkan apa saja yang dilarang atau ditegah. Dalam kehidupan manusia hari ini memang ada golongan yang hanya mengingati ALLAH pada masa tertentu saja seperti apabila sakit atau ketika mendapat musibah. Mereka yang melakukan perkara dilarang boleh dianggap lupa mengingati ALLAH.

4.        Melupakan ALLAH boleh berlaku dalam kalangan hamba-Nya yang lalai, terutama mereka yang diberikan kesenangan hidup. Mereka sombong dengan ALLAH, sedangkan kesenangan dan rezeki yang dinikmati itu semuanya datang daripada ALLAH. Mereka lupa kebesaran dan kekuasaan ALLAH.

5.        Sebenarnya ALLAH boleh mengambil kembali kesenangan harta, kemewahan wang ringgit dan rezeki itu bila-bila saja yang ALLAH suka tanpa memberi notis amaran terlebih dulu. Mereka diberi kesenangan tetapi tidak mengingati ALLAH, maka ALLAH juga pasti tidak akan mengingati mereka.

6.        Menjaga hati bermaksud tidak tunduk kepada hawa nafsu yang mendorong ke arah perbuatan maksiat.

7.        Orang yang menjaga hatinya akan memastikan hatinya sentiasa dalam keadaan elok dan bersih (selalu berzikir dan mentaati apa yang diperintahkan oleh ALLAH). Jika hati rosak dan kotor (melakukan perkara mungkar) maka orang itu tidak menjaga hatinya dengan baik.

8.        Orang yang berani melakukan perkara mungkar tentu tidak mengingati dan menjaga ALLAH kerana jika mereka ingat dan menjaga ALLAH, sudah pasti ada rasa takut kepada balasan ALLAH dalam hati mereka.

9.        Sesungguhnya dalam apa keadaan dan suasana sekali pun, kita perlu ingat kepada ALLAH. Jika kita mampu lakukan dengan ikhlas dan jujur, maka ALLAH akan menjaga serta mengingati kita di dunia dan akhirat. Apabila ALLAH mengingati dan menjaga kita, hidup akan tenang, bahagia dan selamat. WALLAHU’ALAM

DOA DIKURNIAKAN HIKMAH

Maksudnya : “ Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan agama dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh; “ ( Surah As Syuara’ : 83 )

ULASAN AYAT :


1.        Di dalam ayat ini adalah sebuah doa memohon hikmah serta dihubungkan bersama orang-orang yang soleh. Menurut Iman Ibnu Qudamah : ” Hikmah ialah gabungan antara ilmu dan amalan. ” Manakala menurut Ibnu Qutaibah : ” Tidaklah seseorang itu dinamakan bijaksana sehingga digabungkan antara ilmu dan amalan. ”

2.        Hikmah disini juga bermaksud rahsia atau maksud yang tersirat kadang-kadang di luar jangkauan batasan akal manusia.

3.        Memiliki ilmu dan amal adalah perkara yang amat penting untuk kita usahakan, agar kita mendapat hikmah. Hikmah tidak akan di dapati dengan sendirinya tanpa mencari serta di dahului bersama ilmu dan amal.

4.        Setelah memiliki hikmah maka di dalam doa di atas memohon agar di masukkan juga bersama golongan orang soleh. Ini menunjukkan kepentingan antara kaitan ilmu hikmah dengan orang-orang soleh.

5.        Orang soleh adalah golongan orang-orang yang baik ilmu, amal serta akhlak mereka. Mereka adalah dikalangan hamba-hamba yang mendapat perhatian dan kebaikan ALLAH SWT. Berdamping dengan orang soleh akan menjadikan kehidupan kita diselubungi kebaikan yang melimpah.

6.        Sesungguhnnya ilmu, amal dengan berdamping bersama orang soleh, akan membuatkan hati kita menjadi lapang, meluaskan pandangan, membuka hati dan jiwa kita sehingga keluar daripda berbagai keresahan, kegundahan dan kegelisahan. WALLAHU’ALAM.

Thursday, 31 March 2011

SENYUMANMU ADALAH SEDEKAH

(تبسمك فى وجه أخيك لك صدقة ( رواه البخارى
Maksudnya : “ Kamu senyum kepada saudara kamu adalah sedekah “
( Riwayat Bukhari )


ULASAN HADIS :

1.        Di dalam hadis ini mengajarkan kepada kita supaya berakhlak mulia dan beradab sesama manusia. Berakhlak mulia adalah sifat yang amat perlu dihiasi oleh setiap ummat Islam dari sekecil-kecil perkara hingga perkara yang besar. Namun malangnya ramai dikalangan kita lebih-lebih lagi orang Islam hilang akhlak, malahan orang yang bukan Islam lebih menjuarai adab yang baik sesama manusia sehingga timbul rasa kasih sayang.


2.        Sifat yang diajarkan oleh Nabi SAW di dalam hadis ini ialah senyum. Senyuman merupakan sedekah. Sifat ini bukanlah sesuatu yang sukar untuk dicernakan dalam diri kita, namun ianya suatu sikap yang perlu diusahakan. Sikap ini hendaklah selalu dilatih. Latih dari hati untuk merasa senang dan kasih terhadap sesama kita hingga ianya akan lahir perasaan itu diwajah sekalipun kita dalam keadaan yang bermasalah. Masalah yang dihadapi bukan punca kita tidak boleh senyum kerana itu hanyalah mainan perasaan, akan tetapi senyuman adalah suatu sikap, bila ianya sudah menjadi sikap rutin, maka senyuman akan bertebaran walau hati dirundung keresahan.


3.        Senyuman bukan hanya pada mereka yang kita kenal atau pada mereka yang dipilih, bahkan senyuman adalah milik semua. Lebih-lebih lagi terhadap tetamu kita dan orang yang berurusan dengan kita. Dengan senyuman ianya boleh meramaikan sahabat dan mengurangkan permusuhan serta jurangnya. Malah boleh menyuburkan suasana harmoni, kasih sayang, serta penawar yang mujarab dalam menyelesaikan masalah hubungan sesama manusia. Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan di ajarkan kepada kita.


4.        Tetapi, senyuman juga harus diperhatikan, jangan senyum bukan pada tempatnya serta dengan tujuan dan niat maksiat seperti senyum antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram hingga lahir perasaan yang salah. Justeru pandailah memilih yang mana baik dan buruk untuk diamalkan. Jangan sampai senyuman sedekah menjadi bala dan maksiat. Ini hanyalah sia-sia.


5.        Senyumlah dan jadikan senyuman itu sikap kita, insyaALLAH dapat pahala sedekah, amal soleh, menghidupkan sunnah, melahirkan kemesraan dan inilah yang dikatakan ISLAM AGAMA MAHABBAH (kasih sayang ). WALLAHU’ALAM.

SOMBONG SIFAT IBLIS

Firman ALLAH SWT bermaksud : “ dia berkata: Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)? “.
( Surah Al Isra’ : 61)

ULASAN AYAT :
1.        Melalui firman ALLAH SWT ini jelas menceritakan kepada kita tentang keangkuhan Iblis merasa dirinya lebih mulia dan lebih bagus daripada Nabi Adam A.S kerana dia dijadikan daripada api, sedangkan Nabi Adam A.S dijadikan daripada tanah. Iblis beranggapan bahawa tidak wajar dia menghormati Nabi Adam A.S.


2.        Ini adalah sifat takabbur ( sombong ) merasa lebih baik daripada orang lain. Akhirnya Iblis dan kuncu-kuncunya dilaknat oleh ALLAH SWT sebagai makhluk yang diusir lagi hina, tidak akan mati sehinggalah kiamat. Mereka akan dicampakkan ke dalam api neraka kekal selamanya. Inilah akibat dari sifat sombong.


3.        Sejarah telah melakarkan akibat daripada sifat sombong sejak diciptakan Nabi Adam A.S, malahan setelah itu terdapat banyak kisah dan iktibar yang tercatat di dalam sejarah mengenai orang-orang yang takabbur. Lantaran sifat ini, telah menjadikan diri mereka terpesong dari jalan yang sebenar, dengan sebab dunia yang ada pada diri mereka, seperti memiliki kekuasaan, kekayaan, kepandaian dan keistimewaan yang pelbagai hingga akhirnya lupa diri bahawa dia adalah hamba dan ALLAH itu adalah TUHAN.


4.        Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berjaga-jaga serta bermuhasabah selalu, takut-takut dihati kita ada sifat sombong, merasa lebih baik, lebih elok, lebih cantik, lebih pandai, lebih bagus, lebih wara’, lebih alim, atau lebih segalanya. Sedangkan apa yang ada itu semua bukan milik kita hanyalah pinjaman semata-mata, bahkan yang lebih itu bukan hanya ada pada diri kita, ada yang lebih baik malah jauh lebih hebat lagi berbanding diri kita yang merasa bahawa kita lebih dari orang lain. Maka inilah sifat sombong yang ada pada Iblis. Moga kita terhindar dan tidak menjadi pengikut sifat Iblis yang dilaknati, NAUZUBILLAH. Jangan menyombong diri kelak diri disorong ke lombong neraka yang ngeri. WALLAHU’ALAM

Monday, 21 March 2011

KEJAYAAN SEBENAR

Firman ALLAH SWT bermaksud ; “ Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar. “ ( Surah Al Buruj ; 11 )

ULASAN AYAT:


1.        Orang-orang sebelum kita telah ramai yang berjaya. Berjaya dalam erti kata yang sebenarnya. Iaitu mereka berjaya menggapai redha ALLAH SWT dan mendapat pula Syurga ALLAH SWT.

2.        Berjaya yang diraih oleh orang terdahulu bukan seperti yang kita raih pada hari ini, berdasarkan kepada pangkat, jawatan dan kekayaan atau nama semata-mata. Namun jika kejayaan itu dihiasi dan diraih dengan disertai rasa ketaqwaan barulah ia dikira berjaya. Andai berjaya sekadar mendapat keredhaan manusia atau kesukaan dunia, maka dia belum dikira berjaya sepertimana orang terdahulu yang beriman.

3.        Kehidupan mereka yang benar-benar berjaya di sisi ALLAH sangat penuh dengan corak keimanan. Iman menjadi asas penting dalam kehidupan mereka, sehingga mereka bersungguh-sungguh dalam beramal demi mencapai janji-janji ALLAH. ALLAH SWT tidak pernah mengecewakan mereka. 

4.        Terdapat banyak ayat-ayat ALLAH yang menceritakan tentang orang-orang beriman, mereka yang taat kepada ALLAH dan melaksanakan amal soleh. Kehidupan mereka berlandaskan perintah ALLAH SWT dan sunnah Rasulullah SAW.

5.        Walaupun hakikatnya mereka yang mengaku beriman dan benar-benar mencari redha ALLAH, mereka terpaksa melalui ujian yang sangat berat lagi hebat, namun mereka tetap tabah. Ini adalah kerana keyakinan mereka kepada ALLAH SWT dibalas dengan sebaik-baik balasan.

6.        Begitulah antara sifat orang yang berjaya dengan sebenarnya. Sama-sama kita raih. insyaALLAH . WALLAHU’ALAM

 

UJIAN ‘CINTA’ TERHADAP KITA

Firman ALLAH SWT bermaksud : “ sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada ALLAH” .
( Surah Al Baqarah : 165 )

ULASAN AYAT:
1) Cinta dapat mengubah pahit menjadi manis, keruh menjadi jernih, sakit menjadi sembuh, derita menjadi nikmat, dan kemarahan menjadi rahmat.


2) Namun hati-hati juga dengan cinta, kerana cinta juga dapat membuat orang yang sihat menjadi sakit, orang yang gemuk menjadi kurus, orang yang normal menjadi gila, orang kaya menjadi miskin, jika cintanya itu disambut oleh para pecinta palsu. Cinta yang tidak dilandasi kepada ALLAH. Itulah para pecinta dunia, harta dan wanita. Dia lupa akan cinta ALLAH, cinta yang begitu agung lagi murni.

3) Cinta ALLAH cinta yang tidak bertepi. Jikalau sudah mendapatkan cintaNYA, dan manisnya bercinta dengan ALLAH, tidak ada lagi keluhan, tidak ada lagi tubuh lesu, tidak ada tatapan kuyu. Yang ada adalah tatapan optimis menghadapi segala cubaan, dan rintangan dalam hidup ini. Tubuh yang kuat dalam beribadah dan melangkah menggapai cita-cita tertinggi yakni syahid di jalanNYA jua.

4) Tidak jarang orang mengaku mencintai ALLAH, dan sering orang mengatakan mencintai Rasulullah SAW, tetapi bagaimana mungkin semua itu diterima ALLAH tanpa ada bukti yang diberikan, sebagaimana seorang lelaki yang mengembara, menyebarangi lautan yang luas, dan mendaki puncak gunung yang tinggi demi mendapatkan cinta seorang wanita. Bagaimana mungkin menggapai cinta ALLAH, tetapi dalam fikirannya selalu dibayang-bayangi oleh wanita atau lelaki yang dicintai. Tidak mungkin dalam satu hati dipenuhi oleh dua cinta. Salah satunya pasti menolak, kecuali cinta yang dilandasi oleh cinta padaNYA. Umpama cinta anak pada ibu bapanya, suami pada isterinya dan sebaliknya.

5) Di saat ALLAH menguji cintanya, dengan memisahkanya dari apa yang membuat dia lalai dalam mengingati ALLAH, orang sering tidak mampu menerimanya. Di saat ALLAH memisahkan seorang isteri dari suaminya, maka isteri atau suami itu akan lemah. Di saat seorang suami yang isterinya dipanggil menghadap Ilahi, suami hilang ghairah dalam hidup. Di saat harta yang dimiliki hangus terbakar, ramai orang yang hijrah ke rumah sakit jiwa, semua ini adalah bentuk ujian dari ALLAH, kerana ALLAH ingin melihat seberapa dalam cinta hamba-hambaNYA kepada DIA penakluk jiwa, ALLAHU RABBI. ALLAH menginginkan bukti, namun hamba tidak berdaya membuktikannya, justeru sering berguguran cintanya kepada ALLAH, disaat ALLAH menarik sedikit nikmat yang dicurahkanNYA.

6) Itu semua adalah bentuk cinta palsu. Semuanya sudah diatur oleh ALLAH, rezeki, maut, jodoh, dan langkah kita, itu semuanya suratan dari ALLAH, yang perlu kita sedari. Amat rugi manusia yang hanya dipenatkan oleh cinta dunia, mengejar cinta makhluk, memburu harta dengan segala cara, dan enggan menolong orang yang susah dan sebagainya. Bersungguh-sungguhlah mencintai ALLAH. Jika cinta kepada selain ALLAH, melebihi cinta pada ALLAH, merupakan salah satu penyebab doa kita tidak dimakbulkan.

7) Bagaimana mungkin ALLAH mengabulkan permintaan seorang hamba yang merintih menadah tangan kepada ALLAH di malam hari, namun ketika siang muncul, dia pun melakukan maksiat, dengan terlupa kepada DIA yang sepatutnya diutamakan dari segalanya. Bagaimana mungkin doa seorang hamba yang ingin mendapatkan rezeki yang halal dan melimpah boleh termakbul, sedang dirinya sendiri belum berhenti daripada berbuat maksiat. Bagaimana mungkin doa seorang hamba yang mendambakan rumah tangga bahagia, sedang dirinya masih diliputi oleh keegoan atau diam sebagai pemimpin rumah tangga. Bagaimana mungkin seorang ibu mendambakan anak-anak yang soleh, sementara dirinya disibukkan bekerja di luar rumah sehingga pendidikan anak terabaikan, dan kasih sayang tidak dicurahkan. Bagaimana mungkin keinginan akan berjayanya dia dalam pekerjaan dapat terwujud, sedangkan pekerjaan yang dilaksanakan tidak benar-benar baik dan ikhlas.

8) Banyak orang mengaku cinta kepada ALLAH dan ALLAH hendak menguji cintanya itu. Namun sering orang gagal membuktikan cintanya pada KHALIQ, kerana disebabkan sedikit musibah yang ditimpakan padanya. Yakinlah bahawa kesenangan dan kesusahan adalah bentuk kasih sayang dan cinta ALLAH kepada hambanya yang beriman.

9) Dengan kesusahan, ALLAH hendak memberikan didikan terhadap ruh kita, agar kita sedar bahawa kita sebagai makhluk adalah bersifat lemah, kita tidak mampu berbuat apa-apa kecuali atas izin-NYA. Saat ini kita buktikan, dan berjuang untuk memperlihatkan cinta kita kepada ALLAH, agar kita terhindar dari cinta palsu.

10) Dan ALLAH tidak akan mensia-siakan hamba-hambaNYA yang betul-betul berkorban demi ALLAH  semata.
WALLAHU’ALAM

Wednesday, 16 March 2011

RASA INGIN DINASIHATI

Maksudnya : Barangsiapa yang menyeru atau mengajak ke arah sesuatu yang sesat (dosa), dia akan menanggung dosanya sebagaimana dosa-dosa orang mengikuti ajakan dan seruannya sehinggalah hari kiamat, tidak terkurang dosa itu walau sedikit. 

(Riwayat Muslim dan Ibnu Majah)


ULASAN HADIS :


1.        Hadis di atas memberikan peringatan kepada kita bahawa jika kita mengajak orang lain melakukan perkara dosa, kita tetap akan menanggung dosa tersebut walau pun kita tidak melakukannya. 


2.        Dalam kehidupan seharian, kita tidak akan terlepas daripada melihat situasi keengganan sesetengah individu mematuhi perintah Allah SWT.Paling menyedihkan, ada yang mengajak individu lain untuk bersama-sama dengannya. 

3.        Tatkala itu, jika di peringkat individu, ahli keluarga yang lain wajib menegur. Manakala di peringkat organisasi, sebagaimana diajar oleh nabi, wajib pula ahli kepimpinan yang lain atau warga kerja organisasi tersebut untuk menegur. Jika teguran tidak dilakukan, dosa terbabit dikongsi bersama oleh pimpinan lain dan penyokong. 


4.        Apalah salahnya jika kita menukar sikap kita daripada membantah penguatkuasaan perkara kebaikan kepada menyokong dan membantu merealisasikan perkara tersebut.Jangan menyalahkan orang yang menegur jika teguran tersebut ada kebenarannya, tapi salahkan diri kita jika kita susah untuk menerima teguran dan nasihat daripada orang lain. 


5.        Jika kita tergolong dalam golongan yang dinyatakan dalam hadis di atas, cukuplah, hentikan perbuatan tersebut. Berazamlah untuk merubah diri dan pastikan kita tergolong dalam golongan yang dinyatakan dalam sebuah hadis lain Riwayat Muslim yang bermaksud ” Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu perkara yang baik di dalam Islam, Dan ianya diamalkan oleh orang sesudahnya, maka ganjarannya sama seperti ganjaran yang diperolehi oleh orang yang mengamalkannya dengan tidak mengurangkan sedikitpun daripadanya”.WALLAHU’ALAM


CIRI-CIRI PEMIMPIN YANG ADIL

Maksudnya : Daripada Abu Hurairah RA berkata, telah bersabda Rasulullah SAW :” 7 golongan yang akan dinaungi oleh ALLAH SWT pada hari tiada naungan melainkan di bawah naunganNYA, Iman yang adil, pemuda yang hidupnya di dalam ibadah…”
(Riwayat Imam Bukhari)

Huraian Hadis :


Hadis Riwayat Bukhari ini telah menerangkan bahawa seorang Pemimpin yang adil dalam turutan pertama dari tujuh kelompok manusia utama yang akan mendapat naungan ALLAH SWT di akhirat nanti.membuktikan bahawa peranan sebagai pemimpin yang bersikap adil sangat dititikberatkan. Ini adalah punca utama untuk mewujudkan suasana yang harmoni di dalam sesuatu tampok kepimpinan. 

Pemimpin mestilah memiliki akhlak dan ciri-ciri seperti berikut:

1.        Dia mestilah seorang yang menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan dan menjadikan Ulama sebagai tempat meminta pandangan, dan juga mengharapkan keredhaan ALLAH dengan ikhlas kerana ALLAH semata-mata. Mempunyai hati yang bersih, jauh daripada penyakit jiwa yang merosakkan amal dan usahanya.

2.        Memiliki akal yang kuat, berhikmah, cendekiawan, bijaksana, berpengalaman,   berpandangan tajam, ilmu yang luas, mampu mengetahui pelbagai perkara dari segenap sudut, cepat memahaminya dan cepat menggunakannya sebaik mungkin. 

3.        Berakhlak dengan sifat al-hilm (lembut). Berdasarkan kepada dalil Al-Quran;

Firman ALLAH SWT :  Maksudnya :

 “Dan orang-orang yang menehan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. ALLAH menyukai   orang-orang yang berbuet kebajikan” (Surah Al-Imran ayat 134)

4.        Berani, bermaruah.  keberanian yang harus dimiliki ialah ketetapan dan ketahanan hati, taat kepada ALLAH, tidak ada wahn (cintakan dunia dan takut mati), berani berterus terang dalam menyatakan yang haq, pandai menyimpan rahsia, sanggup mengakui kesilapan, insaf terhadap diri dan mampu mengawal kemarahan 

Firman ALLAH SWT : Maksudnya :


“Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa ALLAH mengampunimu? Dan ALLAH adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”
(Surah An-Nur ayat 22)

5.        Bersikap as-siddiq ( benar ) dalam perkataan dan perbuatan.  Tawadhu, tidak membanggakan diri kepada manusia. Hatinya tunduk dan patuh pada 
       al-haq.( ALLAH )

6.        Memaafkan dan ihsan terhadap perbuatan keji orang lain terhadap kita. Para pemimpin biasanya terdedah kepada pelbagai kecaman dengan beraneka ragam manusia. Selalunya gangguan dan serangan ditujukan kepada orang yang dipimpin melalui diri pemimpin. Jadi, wajiblah pemimpin menghiasi dirinya dengan sifat pemaaf, menahan kemarahan dan ihsan asalkan tidak membawa kepada kerendahan, kehinaan ataupun kerosakan yang menimpa maslahat syariat.

7.        Menepati janji dan memenuhi sumpah setia. Akhlak ini melahirkan thiqqah ( percaya ) dalam suasana amal, ketenteraman, tolong-menolong dan membawa hasil. 

8.        Sabar, kerana pemimpin pastinya akan berhadapan dengan kesukaran, dipenuhi dengan perkara yang berlawanan dengan kehendak hawa nafsu, penuh dengan onak, racun, rintangan, bencana dan ujian.

9.        Bersifat dengan al-iffah (suci hati jiwa dan amal) dan al-karam (pemurah dan tidak bakhil). Dengan sifat ini pemimpin tidak berminat dengan harta benda yang melemahkan kemahuan dan tidak sesuai dengan usaha serta jihad besar dalam menentang musuh-musuh ALLAH. Pemimpin mestilah menjadi qudwah 
       ( contoh ) melalui sifat pemurah dan mengutamakan kepentingan orang lain daripada kepentingan sendiri.

10.        Adil dan insaf (terutama terhadap diri sendiri). Sifat ini amat penting kepada pemimpin dan mad’u dalam amal jamaie kerana setiap individu akan merasa tenteram terhadap haknya dan menginsafinya.Ini telah disebutkan Hadis diatas tentang adil.

11.        Bersifat wara’ dan zuhud. Ini dapat menjauhi syubhat, meninggalkan perkara yang mengandungi dosa kerana takut terjebak ke dalamnya. Dia sentiasa bermuhasabah dalam segala hal dan setiap waktu.

12.        Tidak mengungkit dan memperkatakan kebaikan diri sendiri. Jangan mengharapkan pujian dan sanjungan manusia dan tidak memuji diri sendiri atas segala usaha yang dilaksanakan dalam berdakwah.

13.        Memelihara perkara yang dimuliakan oleh ALLAH (Hurumatillah). Setiap masa dalam jamaah mesti menjadi pengawal dan penjaga yang sentiasa sedar, berwaspada dan dipercayai dalam memelihara segala kemuliaan ALLAH pada segenap ajaran Islam supaya tidak timbul pencabulan hak atau perbuatan melampaui batas. 

14.        Kesejahteraan hati, tidak menghiraukan umpatan dan mengadu domba di antara manusia. Perkara ini jika dilayan akan memberi ruang yang luas untuk dimasuki syaitan, memarakkan kebencian dan permusuhan hingga akhirnya melahirkan perpecahan dalam jamaah.

15.        Keazaman yang kuat dan tawakkal yang tinggi kepada ALLAH. Pemimpin terdedah kepada pelbagai biah (suasana ), peristiwa dan bebanan yang mempunyai keputusan yang penting dan besar. Pemimpin dituntut menghadapi semuanya dengan azam, kekuatan, hikmah, tanpa kelemahan, keraguan dan menyerah kalah. Sentiasa berbaik sangka dengan ALLAH kerana DIAlah yang Maha Berkuasa di atas setiap perkara. WALLAHUA’LAM

ALLAH TIDAK SUKA ORANG SOMBONG

Firman ALLAH bermaksud : “ Sesungguhnya Dia tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur. “ 
( Surah An Nahl :23 )



ULASAN AYAT :

1.        Takabbur ialah sombong, bongkak atau merasa dirinya lebih tinggi dan hebat daripada orang lain, baik dari segi kedudukan, keturunan, kesempurnaan rupa bentuk, kepandaian, kemahiran atau sebagainya.

2.        Sifat sombong ialah sifat yang tercela lagi dibenci oleh ALLAH, orang yang memiliki sifat dan sikap meninggi diri sentiasa memandang orang lain dengan pandangan yang rendah. Orang yang merendahkan kedudukan orang lain sebenarnya dia adalah orang yang direndahkan oleh ALLAH SWT.

3.        Sifat sombong menjadi tabir dan penghalang bagi seseorang itu mendapatkan syurga ALLAH, sombong merupakan batas pemisah antara seorang dengan akhlak dan budi pekerti yang baik. Akhlak yang mulia membuka pintu-pintu syurga sedangkan sombong menyebabkan pintu-pintu syurga tertutup.

4.        Selain itu, seseorang yang mempunyai sifat sombong pasti tidak mempunyai perasaan cinta sesama saudaranya yang mukmin sebagaimana cintanya kepada diri sendiri. Lawan daripada sifat sombong ialah tawaduk, tawaduk (merendah diri ) adalah asas dari segala akhlak orang-orang yang bertaqwa kepada ALLAH.

5.        Pada hari ini, ramai manusia yang terkena penyakit sombong lebih-lebih lagi apabila dia memiliki pangkat, darjat, memiliki harta, kekuasaan, kebijaksanaan walaupun sedikit. Sedikit yang dimiliki, atau lebih sedikit daripada orang yang direndahkannya akan membawa seseorang itu sukar memasuki syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud : ” Tidak dapat masuk syurga seseorang yang dalam hatinya terdapat seberat biji sawi dari sifat takabbur .” ( Riwayat Muslim )

6.        Kita hendaklah sentiasa sedar bahawa semua yang ada di dunia ini adalah makhluk ALLAH. DIA memandang hamba-hambaNYA dengan pandangan kasih dan sayang sekalipun hamba-hambaNYA sering bermaksiat, sedangkan kehinaan dan kelemahan itu sifat hamba. Inikan pula kita sebagai hamba, sanggup melihat saudaranya dengan pandangan yang hina, walhal kita juga adalah hamba yang hina.

7.         ALLAH yang terlebih berhak memiliki sifat ini, jika kita bersikap sombong beerti kita melawan dan merampas sifat yang dimilikiNYA.

8.        Oleh itu, bermula daripada hari ini, kita letakkan azam dan usaha untuk mengikis sifat sombong andai ianya bertahta di hati kita. Hanya kita sahaja yang mengenali diri kita sendiri, apa yang ada di dalam hati hendaklah segera dirawat, kerana ianya lebih parah dan cepat merebak hingga mematikan hati kita, sebelum kita menemui kematiaan yang sebenarnya . NAUZUBILLAH. WALLAHU’ALAM

Sumber : Mutiara Iman

Followers