Wednesday 6 April 2011

INGAT ALLAH

Firman ALLAH SWT bermaksud : “ Maka ingatlah kepadaKu,  Aku akan ingat kepadamu. “ ( Surah Al Baqarah : 152 )

ULASAN AYAT :

1.        Kita sebagai seorang Muslim, mengingati ALLAH SWT tidak semestinya dalam masa kesusahan atau ketika ditimpa bencana sahaja, tapi ALLAH perlu diingat sepanjang masa selagi nadi berdenyut kerana sebagai hamba, kita tidak boleh melupakan pencipta.

2.        Hendaklah kita ingat ALLAH sentiasa bersama dan melihat apa yang kita lakukan sepanjang masa. Orang yang tidak dijaga-Nya, maka kehidupannya di dunia akan buruk dan tidak mendapat kebahagiaan, Sedangkan di akhirat tempatnya adalah di neraka jahanam, selama langit dan bumi masih ada.

3.        Orang yang mengingati dan menjaga ALLAH sentiasa terdorong untuk melakukan perintah-Nya serta meninggalkan apa saja yang dilarang atau ditegah. Dalam kehidupan manusia hari ini memang ada golongan yang hanya mengingati ALLAH pada masa tertentu saja seperti apabila sakit atau ketika mendapat musibah. Mereka yang melakukan perkara dilarang boleh dianggap lupa mengingati ALLAH.

4.        Melupakan ALLAH boleh berlaku dalam kalangan hamba-Nya yang lalai, terutama mereka yang diberikan kesenangan hidup. Mereka sombong dengan ALLAH, sedangkan kesenangan dan rezeki yang dinikmati itu semuanya datang daripada ALLAH. Mereka lupa kebesaran dan kekuasaan ALLAH.

5.        Sebenarnya ALLAH boleh mengambil kembali kesenangan harta, kemewahan wang ringgit dan rezeki itu bila-bila saja yang ALLAH suka tanpa memberi notis amaran terlebih dulu. Mereka diberi kesenangan tetapi tidak mengingati ALLAH, maka ALLAH juga pasti tidak akan mengingati mereka.

6.        Menjaga hati bermaksud tidak tunduk kepada hawa nafsu yang mendorong ke arah perbuatan maksiat.

7.        Orang yang menjaga hatinya akan memastikan hatinya sentiasa dalam keadaan elok dan bersih (selalu berzikir dan mentaati apa yang diperintahkan oleh ALLAH). Jika hati rosak dan kotor (melakukan perkara mungkar) maka orang itu tidak menjaga hatinya dengan baik.

8.        Orang yang berani melakukan perkara mungkar tentu tidak mengingati dan menjaga ALLAH kerana jika mereka ingat dan menjaga ALLAH, sudah pasti ada rasa takut kepada balasan ALLAH dalam hati mereka.

9.        Sesungguhnya dalam apa keadaan dan suasana sekali pun, kita perlu ingat kepada ALLAH. Jika kita mampu lakukan dengan ikhlas dan jujur, maka ALLAH akan menjaga serta mengingati kita di dunia dan akhirat. Apabila ALLAH mengingati dan menjaga kita, hidup akan tenang, bahagia dan selamat. WALLAHU’ALAM

No comments:

Post a Comment

Followers