Wednesday 13 April 2011

PASTIKAN YANG HALAL SAHAJA

Firman ALLAH SWT bermaksud : Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.
                                                                                                         (Surah Al-Baqarah : 188)

ULASAN AYAT :
1.        Imam ibn Al-‘Arabi menegaskan ayat ini menerangkan satu dari kaedah utama dalam muamalat Islam dan ia juga merupakan asas bagi semua kontrak pemilikan. Maksud ‘makan’ didalam ayat tersebut adalah merangkumi penerimaan, pemberian dan penguasaan. Digunakan lafaz ‘makan' sebagai suatu perumpamaan.

2.        Manakala maksud al-bathil menurut Ibn Al-Arabi : Apa sahaja yang tidak halal menurut syarak seperti riba, gharar dan seumpamanya yang tiada satu faedah dan manfaat ( buat Islam)

3.        Syeikh Rashid Ridha meluaskan lagi bentuk dan erti ‘bathil’ kepada : Apa sahaja (bayaran) yang tidak mempunyai timbal balik yang wajar (yang punyai nilai pada pandangan syarak), lagi sebenar, maka ia tergolong dalam erti bathil.

4.        Kehidupan hari ini terdedah kepada pemilikan harta yang haram. Kadangkala kita mengambil harta orang lain sebagai milik kita. Mungkin kita melihat harta tersebut sebagai halal sedangkan kita lupa bahawa mengambil hak orang lain merupakan perkara yang bathil dan sudah semestinya haram di sisi Allah SWT.

5.        Dalam konteks bekerja, ada yang bekerja dengan tekun dan rajin tidak diberikan gaji atau upah yang selayaknya diterima sedangkan orang yang bekerja sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh diberikan gaji dan pangkat yang tinggi hanya kerana mereka pandai berkata-kata dan mengampu pihak atasan.

6.        Adakah kita mahu tergolong dalam golongan yang memakan harta atau hak orang lain? Justeru, kita perlu berhati-hati dan sentiasa memastikan harta kepunyaan kita merupakan harta yang berkat dan paling penting halal serta tidak mengambil harta atau hak kepunyaan orang lain.
WALLAHU’ALAM

No comments:

Post a Comment

Followers