Friday, 11 March 2011

BEKERJALAH KERANA ALLAH

Firman ALLAH SWT bermaksud : “ Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) masa untuk mencari rezeki? “ .(Surah An Naba’ : 11)


Huraian Ayat :



1.        Dalam persoalan keutamaan bekerja dan anjuran untuk bekerja yang terdapat di dalam Al Quran. Kehidupan di siang hari ini adalah hari yang diperuntukkan bagi ummat untuk mencari rezeki dan ianya adalah sebagai suatu nikmat yang wajib di syukuri.

2.        Pada suatu ketika Rasulullah SAW sedang duduk dengan para sahabat, tiba-tiba kelihatan ada seorang yang masih muda, masih kuat dan perkasa tubuhnya. Ia bekerja penuh semangat. Para sahabat berkata : “ Kasihan sekali orang ini, andaikata muda serta kekuatan itu dipergunakan untuk fisabilillah, alangkah baiknya. “ Mendengar ucapan salah seorang sahabat ini, Baginda SAW bersabda : “ Janganlah kamu berkata sedemikian itu, sebab orang itu ia keluar dari rumah untuk bekerja mencari sara hidup untuk anaknya yang masih kecil, maka ia telah berusaha di jalan ALLAH. Jikalau ia bekerja itu untuk dirinya sendiri agar tidak meminta-minta daripada orang lain, itupun berjuang sabilillah. Tetapi apabila ia bekerja kerana menunjuk-nunjuk apa-apa yang dimilliki atau untuk bermegah-megah, maka itulah berjuang di jalan syaitan atau kerana mengikuti jalan syaitan. “ ( Riwayat Thabrani )


3.        Para sahabat Rasulullah SAW bekerja untuk kehidupan yang diredhai mengikut sepertimana saranan Rasulullah SAW. Malah mereka berdagang dengan menempuh pelbagai kesusahan, menempuh daratan, lautan ada juga yang berkebun dan hendaklah kita menjadikan contoh dan teladan. Usaha mereka dalam bekerja bukan kerana mahukan kemegahan, seperti kita hari ini, ada yang bekerja mahukan kemegahan, keseronokkan yang berlebihan, sekalipun ianya bekerja kerana keperluan, ramai yang terlupa bila sudah terlalai dengan tujuan utama mereka bekerja. 


4.        Oleh kerana itu, kita sering terdengar, adanya penindasan, perpecahan dan pertelingkahan dikalangan mereka yang bekerja kerana wujudnya rasa ‘ bekerja tetapi lupa pada ibadah bekerja kerana ALLAH ‘.


5.    Bekerja adalah untuk menampung keperluan kehidupan, kerana mencari keredhaan ALLAH dan menggunakan nikmat ALLAH SWT. Kita hendaklah bekerja bagi kemaslahatan diri kita dan keluarga. Namun, kita hendaklah memastikan segala gerak kerja dan hasil yang bakal kita perolehi adalah dari pekerjaan yang halal, termasuklah cara bekerja, bermuamalah ketika bekerja, pengurusan secara adil, jujur dan benar, bekerja dengan penuh ikhlas kerana ALLAH SWT.  WALLAHU’ALAM


Sumber : Mutiara Iman

No comments:

Post a Comment

Followers