Sunday, 24 June 2012

BILAL BIN RABAH R.A. (Muazin Rasulullah SAW)



Bilal bin Rabah dilahirkan di Kota Makkah sekitar 43 tahun sebelum Hijrah. Bilal r.a. adalah budak berkulit hitam dari Habsyah (kini Ethiopia), dibesarkan di Kota Makkah sebagai hamba anak-anak yatim bani Abdul Dar yang berada di bawah jagaan Umaiyah bin Khalaf.

INSAN TERAWAL TERIMA ISLAM

Setelah Rasulullah SAW dibangkitkan menjadi Nabi dengan membawa risalah Islam, Bilal antara orang yang paling awal memeluk Islam. Ketika beliau memeluk Islam, hanya terdapat beberapa orang sahaja yang memeluk Islam iaitu:

  • Khadijah binti Khuwailid
  • Abu Bakar al-Siddiq
  • Ali bin Abi talib
  • Ammar bin Yasir serta ibunya Sumaiyah
  • Suhaib al-Rumi dan al-Miqdad bin al-Aswad


PALING BANYAK TERIMA SEKSAAN

Bilal adalah salah seorang yang paling banyak menerima penyeksaan, kekejaman dan penganiayaan serta mempunyai ketabahan dan keteguhan iman. Sebahagian besar daripada pemeluk Islam pada ketika itu mempunyai keluarga dan saudara mara sebagai tempat mereka berlindung daripada kekejaman golongan Musyrikin kecuali beliau, Ammar bin Yasir bersama bapa Suhaib serta ibunya.

Faktor sedemikian yang menyebabkan mereka menjadi sasaran golongan Musyrikin Quraisy untuk melepaskan geram terhadap Islam.

Pada suatu hari ketika matahari tegak berdiri dan pasir Makkah panas membakar kerana cuaca terlalu panas, Umaiyyah bin Khalaf bersama sekumpulan Musyrikin menanggalkan pakaian Bilal. Kemudian mereka memakaikannya dengan baju besi. Kemudian mereka menjemurnya di bawah panas terik cahaya matahaei dalam keadaan pasir yang panas membakar. Mereka memukulnya dengan menggunakan cemeti sambil memerintahkan Bilal supaya mencaci Nabi Muhammad SAW.

Walau bagaimana perit sekalipun penyeksaan yang mereka timpakan kepada Bilal namun Bilal tetap dengan pendirian beliau dan tidak menyebut apa-apa kecuali perkataan "ahad" yang bermaksud: Allah Yang Esa! Allah Yang Maha Esa!

Apabila Umaiyyah bin Khalaf berasa putus asa menyeksa Bilal, Umaiyyah mengikat leher beliau dengan menggunakan tali yang besar. Kemudian dia menyerahkannya kepada orang jahat dan kanak-kanak. Dia meminta supaya mereka mengheretnya ke seluruh kawasan Kota Makkah dan mereka membawanya ke kawasan-kawasan yang berbatu sambil berlari.

HAMBA YANG MERDEKA

Selepas peristiwa tersebut, Abu Bakar r.a. memerdekakan Bilal dengan membelinya daripada Umaiyyah bin Khalaf dengan harga 9 tahil emas. Umaiyyah bin Khalaf sengaja menjualnya dengan harga yang mahal supaya Abu Bakar tidak mahu membelinya sedangkan dalam hatinya berkata: "Sekiranya Abu Bakar r.a. tidak mahu membelinya dengan harga tersebut, aku tetap akan menjualnya walaupun dengan harga 1 tahil emas."

Sebaliknya Abu Bakar juga berkata dalam hatinya: "Sekiranya dia tidak mahu menjual dengan harga tersebut, aku tetap akan membelinya walaupun dengan harga 100 tahil emas." Bilal bin Rabah r.a. terlalu gembira dengan kemerdekaan tersebut kerana beliau dapat memulakan kehidupan baru dalam suasana kebebasan yang tidak pernah dijanjikan kepadanya. Kemudian beliau berhijrah ke Madinah bersama-sama rombongan umat Islam yang berhijrah ke sana.

MUAZIN RASULULLAH SAW

Dalam sebuah hadis diceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah bermimpi mendengar bunyi hentakan terompah Bilal di syurga. Ketika syariat azan diperintahkan oleh Allah, orang yang pertama disuruh oleh Rasulullah SAW untuk mengumandangkannya adalah Bilal bin Rabah. Bilal menjadi muazin sepanjang hidup Baginda.

Ketika Rasulullah SAW wafat, Bilal masih lagi mengumandangkan azan tetapi apabila sampai kepada perkataan yang bermaksud: "Aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah Rasulullah" Bilal menangis tersedu-sedu. Kemudian beliau meminta Abu Bakar r.a. supaya mengecualikannya daripada menjadi muazin kerana beliau tidak dapat menanggung kesedihan selepas kewafatan Rasulullah SAW.

SUARA AZAN YANG MENYENTUH JIWA

Setelah itu Bilal pergi bersama-sama dengan delegasi dakwah pertama umat Islam kemudian beliau menetap di Darya (sebuah tempat berhampiran dengan Damsyik) sehinggalah al-Faruq Umar bin al-Khattab datang ke Damsyik.

Beliau meminta Bilal supaya mengumandangkan azan sekali lagi kerana Umar terlalu mengasihi dan menghormati beliau. Umar pernah berkata "Abu Bakar adalah tuan kita dan beliau telah memerdekan tuan kita", yang dimaksudkan Umar r.a. ialah memerdekakan Bilal r.a.

Apabila Bilal mengumandangkan azan, Umar dan para sahabat yang pernah mendengar suara azan tersebut terus menangis tersedu-sedu kerana mereka terkenangkan suara azan tersebut.

JASANYA BELUM BERAKHIR

Bilal bin Rabah meninggal dunia setelah mengalami sakit tenat yang mana pada hari-hari tersebut, beliau sering menyebut: "Besok kita akan betemu dengan para kekasih...Muhammad dan sahabat Baginda."

Semoga Allah meredai beliau dan membalas segala jasa yang telah beliau berikan kepada Islam dengan balasan yang baik.

No comments:

Post a Comment

Followers