Wednesday 16 March 2011

ALLAH TIDAK SUKA ORANG SOMBONG

Firman ALLAH bermaksud : “ Sesungguhnya Dia tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur. “ 
( Surah An Nahl :23 )



ULASAN AYAT :

1.        Takabbur ialah sombong, bongkak atau merasa dirinya lebih tinggi dan hebat daripada orang lain, baik dari segi kedudukan, keturunan, kesempurnaan rupa bentuk, kepandaian, kemahiran atau sebagainya.

2.        Sifat sombong ialah sifat yang tercela lagi dibenci oleh ALLAH, orang yang memiliki sifat dan sikap meninggi diri sentiasa memandang orang lain dengan pandangan yang rendah. Orang yang merendahkan kedudukan orang lain sebenarnya dia adalah orang yang direndahkan oleh ALLAH SWT.

3.        Sifat sombong menjadi tabir dan penghalang bagi seseorang itu mendapatkan syurga ALLAH, sombong merupakan batas pemisah antara seorang dengan akhlak dan budi pekerti yang baik. Akhlak yang mulia membuka pintu-pintu syurga sedangkan sombong menyebabkan pintu-pintu syurga tertutup.

4.        Selain itu, seseorang yang mempunyai sifat sombong pasti tidak mempunyai perasaan cinta sesama saudaranya yang mukmin sebagaimana cintanya kepada diri sendiri. Lawan daripada sifat sombong ialah tawaduk, tawaduk (merendah diri ) adalah asas dari segala akhlak orang-orang yang bertaqwa kepada ALLAH.

5.        Pada hari ini, ramai manusia yang terkena penyakit sombong lebih-lebih lagi apabila dia memiliki pangkat, darjat, memiliki harta, kekuasaan, kebijaksanaan walaupun sedikit. Sedikit yang dimiliki, atau lebih sedikit daripada orang yang direndahkannya akan membawa seseorang itu sukar memasuki syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud : ” Tidak dapat masuk syurga seseorang yang dalam hatinya terdapat seberat biji sawi dari sifat takabbur .” ( Riwayat Muslim )

6.        Kita hendaklah sentiasa sedar bahawa semua yang ada di dunia ini adalah makhluk ALLAH. DIA memandang hamba-hambaNYA dengan pandangan kasih dan sayang sekalipun hamba-hambaNYA sering bermaksiat, sedangkan kehinaan dan kelemahan itu sifat hamba. Inikan pula kita sebagai hamba, sanggup melihat saudaranya dengan pandangan yang hina, walhal kita juga adalah hamba yang hina.

7.         ALLAH yang terlebih berhak memiliki sifat ini, jika kita bersikap sombong beerti kita melawan dan merampas sifat yang dimilikiNYA.

8.        Oleh itu, bermula daripada hari ini, kita letakkan azam dan usaha untuk mengikis sifat sombong andai ianya bertahta di hati kita. Hanya kita sahaja yang mengenali diri kita sendiri, apa yang ada di dalam hati hendaklah segera dirawat, kerana ianya lebih parah dan cepat merebak hingga mematikan hati kita, sebelum kita menemui kematiaan yang sebenarnya . NAUZUBILLAH. WALLAHU’ALAM

Sumber : Mutiara Iman

No comments:

Post a Comment

Followers