Thursday 31 March 2011

SOMBONG SIFAT IBLIS

Firman ALLAH SWT bermaksud : “ dia berkata: Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)? “.
( Surah Al Isra’ : 61)

ULASAN AYAT :
1.        Melalui firman ALLAH SWT ini jelas menceritakan kepada kita tentang keangkuhan Iblis merasa dirinya lebih mulia dan lebih bagus daripada Nabi Adam A.S kerana dia dijadikan daripada api, sedangkan Nabi Adam A.S dijadikan daripada tanah. Iblis beranggapan bahawa tidak wajar dia menghormati Nabi Adam A.S.


2.        Ini adalah sifat takabbur ( sombong ) merasa lebih baik daripada orang lain. Akhirnya Iblis dan kuncu-kuncunya dilaknat oleh ALLAH SWT sebagai makhluk yang diusir lagi hina, tidak akan mati sehinggalah kiamat. Mereka akan dicampakkan ke dalam api neraka kekal selamanya. Inilah akibat dari sifat sombong.


3.        Sejarah telah melakarkan akibat daripada sifat sombong sejak diciptakan Nabi Adam A.S, malahan setelah itu terdapat banyak kisah dan iktibar yang tercatat di dalam sejarah mengenai orang-orang yang takabbur. Lantaran sifat ini, telah menjadikan diri mereka terpesong dari jalan yang sebenar, dengan sebab dunia yang ada pada diri mereka, seperti memiliki kekuasaan, kekayaan, kepandaian dan keistimewaan yang pelbagai hingga akhirnya lupa diri bahawa dia adalah hamba dan ALLAH itu adalah TUHAN.


4.        Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berjaga-jaga serta bermuhasabah selalu, takut-takut dihati kita ada sifat sombong, merasa lebih baik, lebih elok, lebih cantik, lebih pandai, lebih bagus, lebih wara’, lebih alim, atau lebih segalanya. Sedangkan apa yang ada itu semua bukan milik kita hanyalah pinjaman semata-mata, bahkan yang lebih itu bukan hanya ada pada diri kita, ada yang lebih baik malah jauh lebih hebat lagi berbanding diri kita yang merasa bahawa kita lebih dari orang lain. Maka inilah sifat sombong yang ada pada Iblis. Moga kita terhindar dan tidak menjadi pengikut sifat Iblis yang dilaknati, NAUZUBILLAH. Jangan menyombong diri kelak diri disorong ke lombong neraka yang ngeri. WALLAHU’ALAM

No comments:

Post a Comment

Followers