Thursday 31 March 2011

SENYUMANMU ADALAH SEDEKAH

(تبسمك فى وجه أخيك لك صدقة ( رواه البخارى
Maksudnya : “ Kamu senyum kepada saudara kamu adalah sedekah “
( Riwayat Bukhari )


ULASAN HADIS :

1.        Di dalam hadis ini mengajarkan kepada kita supaya berakhlak mulia dan beradab sesama manusia. Berakhlak mulia adalah sifat yang amat perlu dihiasi oleh setiap ummat Islam dari sekecil-kecil perkara hingga perkara yang besar. Namun malangnya ramai dikalangan kita lebih-lebih lagi orang Islam hilang akhlak, malahan orang yang bukan Islam lebih menjuarai adab yang baik sesama manusia sehingga timbul rasa kasih sayang.


2.        Sifat yang diajarkan oleh Nabi SAW di dalam hadis ini ialah senyum. Senyuman merupakan sedekah. Sifat ini bukanlah sesuatu yang sukar untuk dicernakan dalam diri kita, namun ianya suatu sikap yang perlu diusahakan. Sikap ini hendaklah selalu dilatih. Latih dari hati untuk merasa senang dan kasih terhadap sesama kita hingga ianya akan lahir perasaan itu diwajah sekalipun kita dalam keadaan yang bermasalah. Masalah yang dihadapi bukan punca kita tidak boleh senyum kerana itu hanyalah mainan perasaan, akan tetapi senyuman adalah suatu sikap, bila ianya sudah menjadi sikap rutin, maka senyuman akan bertebaran walau hati dirundung keresahan.


3.        Senyuman bukan hanya pada mereka yang kita kenal atau pada mereka yang dipilih, bahkan senyuman adalah milik semua. Lebih-lebih lagi terhadap tetamu kita dan orang yang berurusan dengan kita. Dengan senyuman ianya boleh meramaikan sahabat dan mengurangkan permusuhan serta jurangnya. Malah boleh menyuburkan suasana harmoni, kasih sayang, serta penawar yang mujarab dalam menyelesaikan masalah hubungan sesama manusia. Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan di ajarkan kepada kita.


4.        Tetapi, senyuman juga harus diperhatikan, jangan senyum bukan pada tempatnya serta dengan tujuan dan niat maksiat seperti senyum antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram hingga lahir perasaan yang salah. Justeru pandailah memilih yang mana baik dan buruk untuk diamalkan. Jangan sampai senyuman sedekah menjadi bala dan maksiat. Ini hanyalah sia-sia.


5.        Senyumlah dan jadikan senyuman itu sikap kita, insyaALLAH dapat pahala sedekah, amal soleh, menghidupkan sunnah, melahirkan kemesraan dan inilah yang dikatakan ISLAM AGAMA MAHABBAH (kasih sayang ). WALLAHU’ALAM.

No comments:

Post a Comment

Followers